Kerajaan setuju pesalah kemalangan jalan raya kena bayar pampasan kepada mangsa atau waris – Loke

Jemaah Menteri telah bersetuju menetapkan bahawa pesalah yang disabitkan atas kes kemalangan jalan raya bakal dikenakan hukuman tambahan membayar pampasan kepada mangsa atau waris mangsa, menerusi pindaan baharu Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), laporan Berita Harian.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, keputusan Kabinet pada Rabu lalu itu bertujuan memastikan pesalah bukan saja dikenakan hukuman sedia ada seperti penjara, denda dan hilang kelayakan memandu, malah turut dipertanggungjawabkan atas kesan perbuatan mereka kepada mangsa serta keluarga mangsa.

Beliau berkata, mekanisme pampasan itu akan meliputi kesalahan seperti memandu bawah pengaruh alkohol atau dadah, memandu secara melulu, dan kesalahan lain yang menyebabkan kemalangan jalan raya.

“Ketika ini, pesalah hanya dikenakan hukuman penjara ataupun denda, namun tiada unsur pampasan kepada keluarga mangsa. Apa yang kita mahu wujudkan ialah satu mekanisme baharu dalam perundangan negara di mana mahkamah juga boleh mengarahkan mereka yang didapati bersalah itu untuk membayar pampasan kepada mangsa atau keluarga mangsa,” katanya.

Memetik laporan Sinar Harian, beliau turut berkata, ketika ini mangsa atau waris lazimnya perlu memfailkan tuntutan sivil bagi mendapatkan pampasan, namun proses itu memerlukan kos guaman selain mengambil masa yang panjang.