Johor Autoshow 2026 bulan depan batal — pembeli tiket akan dihubungi melalui emel untuk bayaran balik

Acara Johor Autoshow 2026 yang sepatutnya diadakan dari 21-23 Ogos di Angsana Mall, Johor Bahru, telah dibatalkan. Penganjur bersama, Moonman Events dan Institut Robotik & IoT Automotif Malaysia (MARii) memaklumkan bahawa mereka telah membuat “keputusan strategik” untuk membatalkan penganjuran acara tersebut.

“Walaupun acara di Johor ini merupakan bahagian penting dalam kitaran perancangan asal kami yang dimulakan tahun lalu, landskap ekonomi global dan domestik telah berubah dengan ketara dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini. Halangan ekonomi yang tidak dijangka dan pesat berkembang telah mendorong penilaian semula terhadap perancangan tersebut,” jelasnya dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan.

“Berikutan perkembangan ini, Moonman Events dan MARii percaya adalah lebih bijak untuk menyatukan semua sumber semasa dan memilih untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada perancangan dan pelaksanaan Malaysia Autoshow 2027 yang lebih besar, lebih baik dan lebih berani – sebuah acara peringkat kebangsaan yang bakal menjadi penanda aras baru untuk rantau ini,” tambah kenyataan itu.

Bagaimana jika anda sudah membeli tiket? Pihak penganjur juga memaklumkan akan menghubungi semua pembeli tiket secara langsung melalui e-mel untuk memudahkan bayaran balik sepenuhnya.

Jika anda keliru dengan pelbagai penganjuran pameran automotif di Malaysia, berikut ada sedikit latar belakang. Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2026 yang diadakan bulan lalu diusahakan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), yang mana ahlinya terdiri daripada pemain-pemain industri serta syarikat pengedar automotif (seperti UMW Toyota Motor, Honda Malaysia, ETCM, dll.). Moonman Events dan MARii pula merupakan penganjur bagi acara Malaysia Autoshow.

Kedua-duanya adalah dua pameran yang berbeza, dianjurkan oleh pihak yang berbeza, dan diadakan secara berselang-seli secara tahunan — 2026 adalah untuk KLIMS, 2027 adalah untuk MAS, dan seterusnya. Memandangkan mereka tidak boleh mengadakan pameran di Kuala Lumpur tahun ini, Moonman Events dan MARii memutuskan untuk mengadakan pameran di Pulau Pinang dan Johor Bahru. Acara Penang Autoshow 2026 yang pertama telah berlangsung pada bulan April lalu.