eRacing GP 12 Hours of Spa bermula esok – 30 pasukan pelumba simulator seluruh Asia bersaing!

eRacing GP – kejohanan perlumbaan simulator yang dikendalikan oleh Axle Sport, iaitu firma pembangunan pelumba dari Malaysia diurus oleh bekas pelumba F1 negara, Alex Yoong bakal melangsungkan perlumbaan 12 Hours of Spa pada hujung minggu ini.

Perlumbaan ketahanan selama 12 Jam di versi maya litar lagenda, Spa-Francorchamps di Belgium berkenaan bukan sahaja menampilkan pasukan-pasukan tempatan, malah ia telah menarik pelumba-pelumba dari lima negara sekitar rantau Asia.

Antara yang bertanding adalah pelumba simulator terbaik dari Singapura, Aleef Hamilton, yang akan berlumba bersama Alister Yoong dari Malaysia. Pasangan berkenaan dijangka bakal memberikan saingan yang sengit kepada juara Endurance Editon musim lalu, Apex Racing Brunei.

Pasukan OVERME.team dari Thailand pula akan menampilkan trio yang diketuai oleh pelumba simulator terkemuka negara itu iaitu Thanprasit Sartsuk, manakala Pepega Racing Malaysia akan menampilkan tidak kurang daripada tiga pasukan, menampilkan juara Vios Challenge Toyota Gazoo Racing kelas Rookie musim lalu iaitu Justin Rahul Dev bersama Genevieve Ooi menjadi satu-satunya pelumba wanita bertanding dalam perlumbaan kali ini.

Pasukan-pasukan yang berlumba dalam eRacing GP 12 Hours of Spa bersaing dalam tiga kelas berasingan iaitu Hypercars (GTP), LMP2 dan GT3. Untuk kelas GTP, pasukan-pasukan ini boleh memilih untuk berlumba dengan jentera BMW M Hybrid V8, Cadillac V-Series.R GTP, Ferrari 499P dan Porsche 963 GTP.

Dalam kelas LMP2 pula kessemua pasukan akan menggunakankan jentera Dallara P217. Manakala bagi kelas GT3 enam jentera kompetitif boleh dipilih termasuk BMW M4 GT3 EVO, Chevrolet Corvette Z06 GT3.R, Ferrari 296 GT3, McLaren 720S GT3 EVO, Mercedes-AMG GT3 (2020) dan Porsche 911 GT3 R (992).

Selain dari mata kejuaraan dan pengiktirafan, para peserta akan berentap juga bakal merebut trofi Royal Selangor, di mana pengeluar barangan pewter premium berkenaan menjadi penaja utama dalam perlumbaan kali ini.

“Kerjasama Royal Selangor dengan eRacing GP mencerminkan nilai-nilai bersama antara kemahiran tradisional dan sukan permotoran moden, di mana dedikasi, perhatian terhadap perincian dan usaha gigih untuk mencapai kesempurnaan menentukan kejayaan,” kata Hilda Razali, Ketua Pemasaran Global, Royal Selangor International.

“Perlumbaan endurance mewakili cabaran yang paling getir dalam sukan permotoran,” kata Alex Yoong. “Acara seperti ini direka untuk memberi ganjaran bukan sahaja kepada kepantasan, tetapi juga kerja berpasukan, persediaan dan daya tahan. Ia merupakan acara yang merangkumi intipati pertandingan ketahanan sambil memberi peluang kepada pelumba simulator untuk bersaing dengan antara yang terbaik di Asia,” tambahnya

eRacing GP 12 Hours of Spa akan bermula pada jam 11.00 pagi, 18 Julai ini dan anda boleh tonton siaran langsungnya menerusi saluran media sosial eRacing GP.