SUV elektrik kompak premium Zeekr X 2026 membuat penampilan sulung di Malaysia menerusi acara Zeekr Dynamic yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini. Kehadiran model kemas kini itu menguatkan lagi jangkaan bahawa ia bakal menjadi antara tarikan utama sempena Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2026 yang berlangsung minggu ini.
Meskipun pihak Zeekr Malaysia masih belum mengesahkan sama ada kemunculan model tersebut di KLIMS merupakan sesi pratonton atau pelancaran rasmi, syarikat itu sebelum ini telah mengesahkan bahawa Zeekr X versi facelift akan diperkenalkan ke pasaran tempatan dalam suku kedua tahun 2026. Ini bermakna pelancarannya dijangka berlangsung sebelum penghujung Jun.
Menurut Zeekr Malaysia, model kemas kini itu akan menawarkan pakej yang lebih menarik kepada pembeli yang mencari SUV elektrik premium bersaiz kompak dengan tahap keselesaan dan pengalaman pemanduan yang sesuai untuk kegunaan harian.
Dari segi reka bentuk, Zeekr X 2026 menerima beberapa pembaharuan yang sebelum ini hanya ditawarkan pada model pasaran China. Antara perubahan paling ketara ialah penggunaan pintu hadapan berkuasa elektrik yang boleh dibuka secara automatik, selain butang khas yang ditempatkan pada tiang B dan tiang C untuk membuka pintu.
Di bahagian kabin, SUV elektrik ini menerima stereng baru dengan pad kawalan sentuhan yang diletakkan di bawah bahagian tengah stereng. Tempat duduk hadapan pula kini dilengkapi fungsi urutan. Walaubagaimanapun, seperti model yang dipasarkan di Thailand, Zeekr X versi Asia Tenggara dijangka tidak menerima skrin infotainmen 14.6 inci yang boleh digerakkan secara elektrik antara pemandu dan penumpang hadapan seperti yang ditawarkan di pasaran Eropah dan juga tempat duduk penumpang hadapan jenis “Zero Gravity.”
Perubahan paling besar bagaimanapun melibatkan aspek trenkuasa. Varian Standard pacuan roda belakang (RWD) kini menghasilkan 340 PS atau 250 kW serta 373 Nm tork, peningkatan yang ketara berbanding model terdahulu yang menjana 272 PS dan 343 Nm.
Varian tersebut turut menerima pek bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) baru berkapasiti 61 kWh, menggantikan bateri 66 kWh Nickel Manganese Cobalt (NMC) yang digunakan sebelum ini. Walaupun kapasiti bateri lebih kecil, teknologi LFP menawarkan kelebihan dari segi ketahanan jangka panjang, kos pengeluaran yang lebih rendah serta tahap keselamatan haba yang lebih baik. Namun begitu, jarak perjalanan mengikut piawaian WLTP menurun daripada 440 km kepada 405 km bagi sekali cas penuh.
Bagi varian tertinggi Flagship AWD yang menggunakan dua motor elektrik dan sistem pacuan semua roda, kuasa maksimum kini meningkat kepada 496 PS atau 365 kW bersama 573 Nm tork. Sebagai perbandingan, model sebelum ini menghasilkan 428 PS dan 543 Nm. Varian Flagship AWD masih menggunakan bateri NMC 66 kWh, namun jarak perjalanan WLTP sedikit berkurangan daripada 420 km kepada 415 km.
Dari aspek pengecasan, varian Standard RWD menyokong pengecasan AC sehingga 11 kW, manakala Flagship AWD menawarkan pengecasan AC sehingga 22 kW. Menariknya, varian asas kini menyokong pengecasan pantas DC sehingga 230 kW, jauh lebih tinggi berbanding had 150 kW yang ditawarkan pada varian Flagship AWD.













