Zeekr X 2026 dibuka tempahan di Malaysia — pintu kuasa; 496 PS, 445 km WLTP, anggaran dari RM160k

Ditunjukkan awal minggu ini, Zeekr X 2026 kini dibuka untuk tempahan di Malaysia sebelum tampil di Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) yang bermula, 11 Jun, untuk wakil media. Walaupun pengenalan versi kemaskini ini agak lewat berbanding untuk pasaran Thailand, Eropah dan Australia, Malaysia mendapat kelebihan dari segi spesifikasi yang lebih tinggi di sini.

X masih ditawarkan dalam varian Premium dengan motor tunggal dan juga varian Flagship dengan pacuan semua roda dan dua motor, masing-masing dengan harga anggaran RM160,000 dan RM180,000. Ini disebabkan ada pertambahan kelengkapan serta pelaksanaan duti dan eksais import untuk EV CBU bermula tahun ini. Harga berkenaan sedikit lebih tinggi berbanding model semasa, yang dijual RM155,800 untuk Premium dan RM172,800 untuk Flagship.

Apa peningkatan yang dilakukan? Di luar, ia tidak melibatkan perubahan ketara kecuali X kini tampil dengan rim aero “paddle” 19-inci baru untuk Premium sementara rim hitam 20-inci untuk Flagship. Ini disertai dengan pengenalan warna baru — Porcelain Pink untuk Premium, manakala Onyx Black dan Matte Khaki Green untuk Flagship.

Zeekr X 2026 dibuka tempahan di Malaysia — pintu kuasa; 496 PS, 445 km WLTP, anggaran dari RM160k

Peningkatan kelengkapan lain dilakukan terhadap kabinnya. Pertama, ia melibatkan pintuk berkuasa yang baru — hanya untuk Flagship di pasaran lain, tetapi turut ditawarkan untuk Premium di Malaysia. Ciri ini juga hadir dengan skrin interaktif bulat di tiang B yang akan menunjukkan status pengecasan.

Di dalam pula, warna latar hitam dan putih akan menghiasi kabin Premium, sementara Flagship hadir dengan tema hitam penuh dengan jahitan merah, termasuk tali keledarnya. Perubahan terbesar adalah untuk konsol tengah, yang mengambil alih ruang storan terbuka yang ada untuk model semasa.

Mengikut corak penawaran semasa ketika ini, X kini dilengkapi dengan ruang telefon pintar berkembar dengan pengecas tanpa wayar Qi yang hadir dengan aliran udara penyejuk, storan bertutup serta ruang cawan berkembar. Di bawah perehat lengannya ada peti baharu yang mengekalkan haba atau peti sejuk, yang juga menjadi ciri standard di Malaysia dan bukannya eksklusif untuk model AWD sahaja seperti di pasaran lain. Butang sensitif sentuhan untuk pelbagai fungsi kenderaan di sediakan, sementara ruang but telah diperluas daripada 362 liter kepada 404 liter.

Zeekr X 2026 dibuka tempahan di Malaysia — pintu kuasa; 496 PS, 445 km WLTP, anggaran dari RM160k

Tiada perubahan dilakukan untuk paparan panel instrumen 8.8-inci atau skrin sentuh infotainmen 14.6 inci — Malaysia tidak mendapat skrin sentuh seperti yang ditawarkan di Eropah – tetapi varian Premium kini menerima ciri augmented reality head-up display 24.3-inci sebagai standard. Tempat duduk depan bagaimanapun tidak lagi berliang, kerana ciri itu dikhaskan untuk Flaghsip, bersama dengan ciri urutan untuk tempat duduk depan yang baru.

Spesifikasi mekanikal X menerima peningkatan yang paling penting. Kedua-dua varian menerima motor yang dinaik taraf — versi Standard pacuan roda belakang kini menghasilkan 340 PS (250 kW) dan tork 373 Nm, meningkat daripada 272 PS (200 kW). Ia boleh memecut dari 0-100 km/j dalam 5.8 saat. Sementara untuk Flagship, ia menerima peningkatan sebanyak 68 PS (50 kW) dan 30 Nm, menjadikan angka janaan 496 PS (365 kW) dan 573 Nm. Pecutan 0-100 km/j juga lebih pantas dengan 3.7 saat.

Lebih penting, model asasnya juga menerima bateri baru. Premium kini dikuasakan oleh bateri Energee LFP 61 kWh. Anehnya, Zeekr Malaysia mendakwa hanya terdapat sedikit pengurangan dalam julat jarak WLTP, menjadi 415 km (sebelum ini 440 km) — jarak itu tidak selari dengan 405 km yang dinyatakan untuk pasaran lain. Sementara itu, Flagship pula telah melibatkan peningkatan jarak dengan ketara, iaitu kepada 445 km (sebelum ini 420 km, MY2026 pasaran lain 415 km) yang dicapai dengan pek CATL NMC 66 kWh yang sama seperti sebelumnya.

Zeekr X 2026 dibuka tempahan di Malaysia — pintu kuasa; 496 PS, 445 km WLTP, anggaran dari RM160k

Perubahan bateri untuk Premium bermakna ia kini menyokong pengecasan pantas DC sehingga 230 kW, membolehkan pengecasan 10%-80% dalam masa 18 minit. Ia juga mendapat peningkatan dalam kuasa pengecasan AC kepada 11 kW (naik daripada 7.2 kW) dan mengambil masa 7.5 jam untuk pengecasan penuh. Anehnya lagi, varian Flagship terus ditawarkan dengan kemampuan mengecas yang lebih rendah dengan 150 kW untuk DC, yang mengambil masa 30 minit untuk dicas dari 10%-80%. Bagaimanapun, Flagship kini menyokong pengecasan AC 22 kW dan bukannya 11 kW biasa, membolehkan pengecasan penuh dalam masa hanya 4.5 jam.

Kit keselamatan tidak berubah daripada sebelumnya. Ini merangkumi tujuh-beg udara dan senarai penuh sistem bantuan pemandu. Ini termasuklah AEB, kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go, bantuan ke tengah lorong, pertukaran lorong automatik, bantuan stereng evasif, pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik hadapan dan belakang, amaran perlanggaran belakang, AEB parkir, peninjau perhatian pemandu serta amaran pembukaan pintu.

Tags: