Zeekr X 2026 dipamer di KLIMS – varian RWD dan AWD, ciri bertambah, harga anggaran dari RM160k

Zeekr X 2026 yang diperkenalkan minggu lalu kini dipamerkan kepada umum sempena Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026. Crossover elektrik kompak itu menjadi antara tarikan utama di ruang pameran Zeekr bersama SUV mewah 9X dan MPV premium 009 Grand, yang yang juga tempahan untuknya sudah dibuka.

Bagi pasaran Malaysia, Zeekr X 2026 masih ditawarkan dalam dua varian iaitu Premium dengan pacuan roda belakang dan satu motor elektrik, serta Flagship yang menggunakan konfigurasi dua motor elektrik bersama sistem pacuan semua roda (AWD).

Seperti yang diumumkan sebelum ini, harga anggaran bagi model yang dikemas kini ini berada dalam lingkungan RM160,000 hingga RM180,000. Ini menjadikannya sedikit lebih mahal berbanding model semasa yang ditawarkan pada harga RM155,800 bagi varian Premium dan RM172,800 untuk varian Flagship.

Zeekr X 2026 dipamer di KLIMS – varian RWD dan AWD, ciri bertambah, harga anggaran dari RM160k

Dari aspek penampilan, perubahan yang dibuat tidak terlalu ketara. Varian Premium kini menerima reka bentuk rim aloi baru bersaiz 19 inci, manakala varian Flagship menggunakan kemasan hitam untuk rekaan rim yang sedia ada. Zeekr turut memperkenalkan pilihan warna baru, termasuk Porcelain Pink untuk Premium serta Onyx Black dan Matte Khaki Green bagi Flagship.

Salah satu perubahan paling menarik ialah penggunaan butang elektronik pada tiang B dan C untuk membuka pintu, menggantikan pemegang pintu jenis rata yang digunakan pada model terdahulu. Pintu hadapan kini beroperasi secara automatik, manakala skrin interaktif pada tiang B berfungsi sebagai penunjuk status pengecasan bateri.

Bahagian kabin turut menerima beberapa penambahbaikan. Kawalan sesentuh baru diperkenalkan di bawah hab stereng, sementara konsol tengah kini menempatkan dua ruang penyimpanan telefon pintar termasuk pengecas tanpa wayar Qi dengan fungsi penyejukan. Selain itu, terdapat dua pemegang cawan dan ruang simpanan bertutup yang sebelum ini menggunakan rekaan terbuka.

Zeekr X 2026 dipamer di KLIMS – varian RWD dan AWD, ciri bertambah, harga anggaran dari RM160k

Ruang perehat tangan tengah kini dilengkapi petak simpanan yang boleh dipanaskan atau disejukkan. Kapasiti ruang bagasi belakang juga meningkat daripada 362 liter kepada 404 liter, memberikan tahap praktikaliti yang lebih baik untuk kegunaan harian.

Paparan digital dalam kabin kekal sama seperti sebelumnya dengan skrin infotainmen bersaiz 14.6 inci serta paparan instrumen digital pemandu berukuran 8.8 inci. Namun begitu, kerusi hadapan dengan fungsi pengudaraan dan urutan tidak lagi ditawarkan sebagai kelengkapan standard untuk kedua-dua varian. Ciri tersebut kini hanya tersedia pada varian Flagship.

Dari sudut prestasi, Zeekr turut melakukan peningkatan pada sistem rangkaian kuasa. Varian Premium kini menghasilkan 340 PS dan 373 Nm menerusi motor elektrik tunggal di belakang, meningkat daripada 272 PS pada model terdahulu. Walaupun kuasa bertambah, pecutan 0-100 km/j kekal pada 5.8 saat.

Bagi varian Flagship, jumlah kuasa meningkat kepada 496 PS dan 573 Nm. Penambahan ini membolehkan masa pecutan 0-100 km/j ditambah baik kepada 3.7 saat, iaitu 0.1 saat lebih pantas berbanding model sebelumnya.

Varian Premium menggunakan bateri Energee LFP berkapasiti 61 kWh yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 415 km mengikut piawaian WLTP. Angka ini sedikit lebih rendah berbanding 440 km yang dicatatkan oleh model terdahulu. Sementara itu, varian Flagship mengekalkan bateri CATL NMC berkapasiti 66 kWh, namun jarak pemanduan meningkat kepada 445 km WLTP.

Keupayaan pengecasan juga menerima penambahbaikan. Varian Premium kini menyokong pengecasan pantas DC sehingga 230 kW yang membolehkan bateri dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam masa hanya 18 minit. Pengecasan AC pula ditingkatkan kepada 11 kW dengan tempoh pengecasan penuh sekitar 7.5 jam.

Zeekr X 2026 dipamer di KLIMS – varian RWD dan AWD, ciri bertambah, harga anggaran dari RM160k

Bagi varian Flagship, sistem pengecasan AC kini menyokong sehingga 22 kW, membolehkan bateri dicas sepenuhnya dalam masa 4.5 jam. Pengecasan DC pula menyokong kuasa sehingga 150 kW yang membolehkan tahap bateri meningkat dari 10 hingga 80 peratus dalam masa kira-kira 30 minit.

Dari aspek keselamatan, Zeekr X 2026 dilengkapi tujuh beg udara serta rangkaian sistem bantuan pemandu termaju. Antaranya termasuk brek kecemasan autonomous (AEB), kawalan jelajah adaptif dengan fungsi henti dan gerak semula, bantuan pemusatan lorong, pertukaran lorong automatik, bantuan stereng mengelak, pemantauan titik buta, amaran trafik silang hadapan dan belakang, amaran pelanggaran belakang, AEB ketika parkir, pemantauan tahap tumpuan pemandu serta amaran pembukaan pintu.

Tags: