Kawasaki KLE500 dipamer di Malaysia – jangka lancar bulan September ini, harga sasaran bawah RM40k

Kawasaki KLE500 generasi baru, yang pertama kali diperkenalkan kepada dunia Oktober tahun lepas sudah tiba di Malaysia, namun hanya untuk pra tonton awal sahaja. Ia dijangka dilancarkan untuk pasaran negara pada bulan September tahun ini, dalam versi pemasangan tempatan.

Melalui maklumat yang kami terima, harga sasaran yang diletakkan untuk KLE500 ini adalah di bawah RM40k, namun ini masih belum dapat dipastikan kerana keadaan ekonomi semasa. Sebagai rujukan, Ninja 500 yang menggunakan enjin sama dijual pada harga bermula RM28k.

Kemunculan KLE500 ini mengujakan pasaran kerana ia membawa kembali nama yang pernah digunakan untuk model dual-purpose tahun 90-an. Namun, KLE500 baru ini lebih moden dan sekarang lebih kepada sebuah motosikal adventure touring.

Kawasaki KLE500 dipamer di Malaysia – jangka lancar bulan September ini, harga sasaran bawah RM40k

Ia dipacu oleh enjin yang sama dengan beberapa model siri 500 daripada Kawasaki, termasuk Ninja 500, Z500 dan Eliminator 500, iaitu unit dua silinder selari 451 cc DOHC bersama transmisi enam kelajuan dengan klac slip & assist, mampu menghasilkan kuasa 45 PS pada 9,000 rpm dan tork 42.6 Nm pada 6,000 rpm.

Penampilan seperti sebuah motosikal rali pada KLE500 ini disokong dengan kelengkapan yang membolehkan ia dibawa ke jalan offroad, termasuk padanan rim spoked 21 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, kerangka trellis serta suspensi daripada Kayaba (fork USD jarak gerak 210 mm, monoshock dengan pelarasan pra beban dan jarak gerak 196 mm).

Sistem brek terdiri daripada unit cakera tunggal 300 mm dengan angkup dua piston di hadapan dan cakera tunggal 230 mm dengan angkup dua piston di belakang. Sistem ABS dual-channel diberikan secara standard, dan bagi memudahkan penggunaan, ia datang dengan butang khas untuk menutup ciri tersebut.

Berdasarkan pemerhatian, model yang dipamerkan di Malaysia ini adalah versi asas kerana ia datang dengan meter jenis LCD dan bukannya TFT. Walaupun begitu, meter ini masih boleh disambungkan kepada telefon pintar secara bluetooth melalui aplikasi Kawasaki Rideology.

Secara keseluruhan, KLE500 mencatat berat 194 kg dan ia datang dengan tangki bahan api berkapasiti 16 liter. Penghadang angin hadapan boleh dilaras secara manual pada tiga tahap. Tinggi tempat duduk dalam keadaan standard adalah 870 mm.

Selain versi asas, Kawasaki juga ada mengeluarkan KLE500 dalam beberapa pilihan versi SE, yang datang dengan penambahan kelengkapan termasuk meter TFT, pelindung enjin, beg barangan, ekzos Akrapovic, pelindung radiator, soket pengecas USB dan warna istimewa.

Tags: