
Hyundai Motor Malaysia (HMY) akan kekal sebagai rakan mobiliti rasmi bagi pasukan Selangor FC untuk musim 2026/27 yang akan datang, di mana kerjasama tersebut sebelum ini telah dimeterai buat pertama kalinya pada Ogos tahun lalu.
Baru-baru ini, kedua-dua pihak menandatangani lanjutan kontrak di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026, yang turut menyaksikan HMY melancarkan dua kenderaan elektrik (EV) berprestasi tinggi serta memperkenalkan model Hyundai Stargazer. Sebagai sebahagian daripada perjanjian tersebut, HMY akan menyediakan sebuah unit Hyundai Tucson varian Prestige kepada The Red Giants sebagai kenderaan rasmi kelab untuk kegunaan kakitangan pasukan.
“Tahun pertama kerjasama kami membuktikan bahawa prestasi dan kemajuan bergerak seiring. Melihat pencapaian luar biasa Selangor FC dalam perlawanan akhir 2025–2026 ASEAN Club Championship Shopee Cup Finals telah mengukuhkan lagi komitmen kami untuk menyokong cita-cita kompetitif mereka,” kata Jahabarnisa Haja Mohideen, Pengarah Urusan HMY.
Sambungnya, “Dalam kita melangkah ke fasa seterusnya ini, kami bukan sekadar mengekalkan penajaan korporat bahkan kami secara aktif memperhalusi penyelesaian mobiliti bagi memastikan pasukan, pihak pengurusan dan para peminat menikmati perjalanan yang lancar menuju kejayaan pada masa hadapan.”
Dr Johan Kamal Hamidon selaku Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC pula berkata, “Hari ini, kami menyambut satu babak baharu dalam perjalanan kami. Bersama Hyundai Motor Malaysia, kami percaya kerjasama ini akan membawa impak positif kepada Selangor FC dan bola sepak Malaysia secara keseluruhannya. Ia bukan sekadar mengenai mengejar trofi, tetapi juga membentuk budaya, disiplin dan pertumbuhan berterusan – yang merupakan visi bersama dengan Hyundai.”
