Perodua kurangkan harga alat ganti dan kos buruh untuk penyelenggaraan sebanyak 10% bermula 19 Jun

Perodua hari ini mengumumkan bahawa ia akan menawarkan pengurangan harga ke atas komponen alat ganti penyelenggaran untuk model-model keluarannya, termasuk kos buruh sebanyak 10 peratus bermula esok, 19 Jun 2026. Walau bagaimanapun pengurangan harga ini masih tertakluk kepada terma dan syarat, dan syarikat itu menyatakan bahawa inisiatif yang diambil ini adalah usahanya untuk membantu rakyat Malaysia yang berhadapan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Menurut Perodua kempen ini ditawarkan kepada semua model kenderaan keluarannya termasuklah model EV pertamanya yang dilancarkan pada akhir tahun lalu iaitu QV-E, dan ia termasuk aspek pemeriksaan, gantian komponen serta kos buruh yang berkaitan dengan penyelenggaraan kenderaan.

“Pengurangan harga itu tertakluk kepada harga alat ganti komponen penyelenggaran serta kos buruh yang dikenakan kepada pelanggan, dan secara keseluruhannya, pelanggan dijangka menikmati penjimatan sebanyak 10% daripada jumlah bil penyelenggaraan mereka bermula esok (19 Jun),” kata CEO dan presiden Perodua Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

“Kami mengalu-alukan pelanggan untuk datang ke pusat servis bertauliah Perodua bagi mengetahui lebih lanjut mengenai tawaran ini serta menggunakan alat ganti tulen untuk kenderaan Perodua anda agar ia boleh kekal cekap dan dipercayai sepanjang masa.

“Kami percaya penurunan kos penyelenggaran ini akan membantu pelanggan mengurangkan kos mobiliti mereka, dan kami di Perodua menjalankan tanggungjawab kami untuk memberi nilai yang lebih baik kepada pelanggan kami,” tambahnya.

Bos besar Perodua itu turut memberitahu bahawa berdasarkan data dalaman syarikatnya, buat masa sekarang terdapat lebih daripada 5 juta kenderaan Perodua di atas jalan raya, manakala pada 2025 sejumlah 3.7 juta kenderaan masih lagi diselenggara di pusat servis Perodua seluruh negara.

Awal minggu ini, Perodua turut telah menurunkan harga bagi model QV-E. Model berkenaan kini dijual dengan harga RM93,999 lengkap bersama bateri, atau RM69,999 sekiranya anda memilih untuk memilikinya dengan program sewaan bateri (Battery-as-a-Service atau BaaS). Malah bagi program BaaS, bayaran bulanannya juga kini lebih rendah iaitu RM215 termasuk cukai, untuk sembilan tahun.

Sebagai perbandingan, ketika dilancarkan pada Disember tahun lalu, QV-E dijual pada harga RM80,000 tanpa bateri, manakala bayaran bagi program BaaS pula adalah RM275 sebulan untuk sembilan tahun. Malah untuk tempoh masa terhad, QV-E ditawarkan pada harga lebih rendah iaitu RM87,499 lengkap dengan bateri atau RM63,499 dengan pakej BaaS (bayaran bulanan kekal RM215 selama sembilan tahun). Harga promosi ini sah bermula hari ini sehingga 30 September 2026 nanti.

“Kami telah menambah baik kecekapan dan dalam masa yang sama mengurangkan pembaziran di dalam operasi kami. Manfaat-manfaat yang diperoleh daripada aktiviti turut dikongsi bersama dengan pelanggan-pelanggan kami,” kata Zainal bagi mengulas berkenaan pengurangan harga untuk QV-E tersebut.