
Chery telah umumkan nama trak pikap terbarunya — yang sebelum ini diberikan kod nama KP31 — ialah Stockman. Dipilih melalui pertandingan menamakan model itu yang dibuka kepada umum di Australia, ia merupakan sebuah nama yang membawa semangat daya tahan dan perladangan yang kental, yang sesuai dengan latar sasaran pasaran di negara itu. Pemenangnya, Steve Kodikara dari Victoria, bakal menerima unit pertama sebaik sahaja model terbabit tiba di sana, lewat tahun ini.
Stockman dikatakan sebagai trak pikap plug-in hybrid (PHEV) diesel yang pertama di dunia, dan akan dikuasakan oleh enjin 2.5 liter turbo empat-silinder dengan kecekapan haba pada kadar 47%. Ditambah dengan sokongan elektrifikasi, trak tersebut didakwa mampu menjimatkan sehingga 10% bahan api berbanding trak diesel biasa. Varian PHEV petrol pula dijangka akan diperkenalkan kemudian.
Dari segi penampilan, Chery Stockman ini mengambil ilham daripada rupa umum Ford Bronco, dengan gril berkelebaran penuh, lampu hadapan bulat, tulisan jenama Chery yang besar serta kedudukan cermin tegak. Binaan Stockman adalah separuh lebih besar daripada saiz trak satu tan biasa. Ia mempunyai ukuran 5,450 mm panjang, yang menjadikannya 80 mm lebih panjang berbanding Ford Ranger. Bagaimanapun, Chery Stockman masih lebih kecil berbanding Foton Tunland V7 dan V9, yang sudah hampir menyamai wilayah trak pikap saiz penuh seperti Ford F-150 dan Ram 1500.

Di bahagian dalam, Stockman meneruskan tema lasak dengan papan pemuka yang rapat ke cermin depan, dilengapi ruang pemegang yang besar, konsol tengah yang lebar dengan tuil gear pendek serta suis kawalan yang agresif, termasuk untuk kawalan pendingin. Sudah tentu, bukanlah namanya kenderaan China jika tanpa skrin sentuh infotainmen yang besar dan pelantar berkembar untuk telefon pintar.
Turut kelihatan dalam imej terbaru ini ialah konsol bumbung dengan lima suis tambahan untuk menyambung dan mengendalikan pelbagai aksesori, serta beberapa butang sistem atau mod pacuan. Semua kawalan ini berfungsi sebagai pengunci untuk differential depan, tengah dan belakang, serta ciri “tank turn” seperti yang ada untuk SUV GWM Tank.

Chery Stockman dijangka bakal disertai oleh versi sama daripada Jaecoo yang mungkin menawarkan reka bentuk yang berbeza dan lebih premium, serta sentuhan mewah yang lebih ketara. Tidak hanya itu; akan hadir juga nanti model ala Tiggo V, trak berasaskan SUV dengan binaan unibody yang lengkap dengan kanopi belakang boleh tanggal, yang juga akan ditawarkan di bawah jenama Jaecoo. Ini adalah sebahagian daripada limpahan trak pikap secara besar-besaran ke dalam pasaran yang turut akan meliputi sebuah sub-jenama baru, Himla.
Himla ini juga bakal dilancarkan di Malaysia tahun depan, hampir pasti sebagai sebahagian daripada operasi pemasangan tempatan CKD besar-besaran yang sedang dijalankan oleh kumpulan Chery di Lembah Beringin. Wajar untuk Chery Stockman ini juga dijual di Malaysia?
