Pusingan kedua bagi perlumbaan Toyota Gazoo Racing (TGR) Vios Challenge Malaysia musim kesembilan bakal berlangsung pada hujung minggu ini, dan ia akan disertai oleh seorang lagi pelumba muda yang lahir dari perlumbaan simulator iaitu Ethen Low yang baru berumur 16-tahun.
Low merupakan antara lima orang pelumba yang terpilih dalam program pembangunan pelumba muda Toyota Gazoo Racing Malaysia tahun ini, beraksi dalam kategori Rookie TGR Vios Challenge 2026. Namun disebabkan belum ‘cukup umur’, Low terlepas untuk beraksi di pusingan pertama yang berlangsung pada April lalu, sekaligus terlepas peluang untuk mengutip mata dalam dua perlumbaan pusingan pembukaan tersebut.
Ini kerana lesen perlumbaan nasional dari Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) hanya boleh diserahkan kepada Low ketika dia cukup berusia 16-tahun pada 3 Jun lalu. “Saya amat bersyukur kerana dapat berlumba hujung minggu ini. Saya rasa agak gementar tetapi yakin saya akan dapat beraksi sebaik mungkin dalam Pusingan 2,” kata Low.
“Saya menghabiskan dua bulan terakhir sebelum ini dengan menumpukan perhatian bagi menyempurnakan kawalan kereta sdan mendapatkan sedikit masa duduk di dalam kereta sebenar yang sangat diperlukan semasa track day persendirian. Saya juga telah berlatih untuk memastikan saya bersedia dari segi mental.
“Saya bersedia untuk apa yang saya percaya akan menjadi perlumbaan yang sangat sengit dengan empat pelumba baharu lain dalam program ini. Mereka sememangnya telah menunjukkan tahap daya saing yang tinggi dalam Pusingan 1 dan saya tidak sabar untuk menyertai mereka dalam pertarungan ini. Saya pasti percaya saya masih akan dapat bersaing untuk mengejar kejuaraan walaupun hanya berbaki 3 pusingan. Kehilangan satu pusingan hanya mendorong saya untuk bekerja lebih keras untuk bersaing dalam kejuaraan ini,” tambah Low.
Empat pelumba Rookie lain yang bersaing dalam kejohanan musim ini adalah termasuk pelumba simulator dan kart Ervin Lim (18-tahun), pelumba simulator Ngo Yong Jian (20-tahun), pelumba simulator dan pelumba kereta salon Imran Iskandar (17-tahun), dan pelumba simulator Megat Damian (21-tahun). Buat masa sekarang Ervin Lim mendahului senarai pungutan mata apabila dia berjaya mendapatkan tempat pertama dan ketiga dalam dua perlumbaan awal sebelum ini.
Seperti biasa, TGR Vios Challenge akan turut menampilkan tiga kategori lain dalam pusingan kali ini iaitu Sporting (amatur), Super Sporting (professional) dan juga Vios Classic (kategori untuk memberikan peluang kereta-kereta lumba Vios Challenge generasi pertama dan kedua untuk berlumba semula). Secara keseluruhan perlumbaan bagi musim ini akan menyediakan hadiah wang tunai terkumpul sehingga RM876,000 untuk direbut oleh semua pelumba yang bertanding.
TGR Vios Challange Malaysia musim kesembilan pusingan kedua akan berlangsung di Litar Antarabangsa Petronas Sepang bermula 20 hingga 21 Jun ini.
