Kementerian Pengangkutan (MoT) bakal membuat rombakan besar terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada Isnin ini. Antara rombakan yang dibuat tersebut adalah untuk mengetatkan kaedah pengeluaran Lesen Kenderaan Motor (LKM atau lebih dikenali sebagai cukai jalan) berdasarkan lokasi.
Apabila ia dilaksanakan kelak, pemilik kenderaan yang mahu memperbaharui LKM masing-masing atau membuat pembayaran bagi kereta baharu yang didaftarkan perlu membuat pengisytiharan tempat di mana kenderaan tersebut digunakan. Jumlah bayaran untuk LKM berkenaan akan ditentukan berdasarkan tempat yang telah diisytiharkan tadi.
Ini bermakna pemilik-pemilik yang sebelum ini mendapatkan LKM lebih murah di kawasan bebas cukai seperti di Langkawi dan Labuan atau di Sabah dan Sarawak, tetapi menggunakan kenderaan tersebut di Semenanjung Malaysia tidak lagi dapat menggunakan helah sedemikian.
Perincian kaedah apa yang akan digunakan dan bagaimana penguatkuasaan akan dijalan akan diumumkan oleh MoT selepas ini.

