Hyundai Stargazer 2026 facelift di KLIMS — MPV segmen B lawan Xpander, Veloz; harga bermula RM99k

Seperti yang dimaklumkan pada awalnya, Hyundai Stargazer hari ini mula ditunjukkan di KLIMS 2026. Penampilan ini jauh lebih awal berbanding pengenalan rasminya yang dijangka dilakukan pada suku keempat tahun ini nanti seperti yang diumumkan sebelum ini. Dengan penampilan rasmi yang sudah dilakukan, Stargazer kini dibuka untuk tempahan di Malaysia, dan sangat berkemungkinan akan dilancarkan lebih awal.

Untuk pasaran tempatan, tiga varian akan ditawarkan, terdiri daripada yang paling asas, Style (tujuh-tempat duduk), Prime (tujuh-tempat duduk) dan X (enam-tempat duduk) dengan harga anggaran masing-masing RM99k, RM109k dan RM121k.

Bagi 800 pelanggan terawal yang membuat tempahan, pakej istimewa turut diberikan. Ini melibatkan jaminan lapan-tahun/160,000 km, lapan kali (bersamaan empat tahun) servis percuma, ganjaran All-Star bernilai RM1,000 untuk pemilik Hyundai sedia ada; semua ini boleh dinikmati dengan yuran tempahan serendah RM88 sahaja.

Hyundai Stargazer 2026 facelift di KLIMS — MPV segmen B lawan Xpander, Veloz; harga bermula RM99k

Enjin yang melengkapi Stargazer ialah unit Smartstream G 1.5L MPi empat-silider yang menjana sehingga 115 PS pada 6,300 rpm dan 144 Nm pada 4,500 rpm. Ini digandingkan dengan kotak gear Intelligent Variable Transmission (IVT) oleh Hyundai sendiri, yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan.

Dari segi saiz, Hyundai Stargazer mempunyai ukuran 4,460 mm panjang, 1,780 mm lebar, 1,695 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,780 mm — yang juga merupakan jarak roda paling panjang dalam kelasnya.

Dari segi rekaan, Hyundai Stargazer dilengkapi dengan sistem lampu LED sepenuhnya, termasuk DRL dan lampu belakang. Ia juga hadir dengan rekaan gril depan yang luas dan monjol dengan rekaan kemasan berpetak, wajah depan dengan lampu bentuk H, serta untuk X, imej crossover yang lebih ranggi.

Hyundai Stargazer 2026 facelift di KLIMS — MPV segmen B lawan Xpander, Veloz; harga bermula RM99k

Di dalam, antara kelengkapan yang ada bagi Stargazer spesifikasi paling tinggi ialah kluster meter digital 10.25-inci, head unit dengan skrin 10.25-inci dengan sokongan Apple Carplay dan Android Auto, serta akan ada juga ciri brek parkir elektronik dengan Auto Hold. Selain itu, ia dilengkapi dengan rekaan konsol tengah terapung, kawalan penukaran gear shift-by-wire, ada juga paddle shifter dan juga meja di belakang penyandar kerusi depan.

Untuk tempat duduk, ada dua konfigurasi yang ditawarkan — tujuh-tempat duduk untuk varian Style dan Prime, manakala varian X datang dengan enam-tempat duduk (kerusi kapten di tengah). Bagi Style, ia antara lain dilengkapi dengan lampu LED, kerusi balutan fabrik, rim aloi 16-inci, kluster meter 4.2-inci, head unit multimedia lapan-inci dan dua beg udara.

Prime pula datang dengan tambahan kerusi balutan kulit buatan dan fabrik, paparan head unit 10.25-inci, kluster meter 10.25-inci, rim alon 17-inci, enam beg udara, serta ciri pintar Hyundai SmartSense (ADAS Tahap 2). X pula menerima tambahan ciri kerusi balutan kulit buatan, rim aloi 17-inci hitam berkilat, kerusi kapten di barisan kedua, kawalan transmisi shift-by-wire serta penampilan lebih sporty merangkumi rekaan bampar, spoiler, gril dan lengkuk fender yang lebih garang.

Hyundai Stargazer di BIMS 2026

Tags: