
Setelah memberi bayangan dalam iklan teaser sebelum ini, Hyundai Motor Malaysia (HMY) akan menunjukkan model MPV kompak Hyundai Stargazer di Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) bermula 15 Jun 2026 nanti.
Pengunjung KLIMS akan dapat melihat versi facelift terkini Stargazer, yang pertama kali diperkenalkan di Indonesia Julai lalu. Hal ini jelas kelihatan dalam iklan teaser terbaru yang dikongsi, yang menunjukkan MPV ini sebelah menyebelah yang memaparkan lampu depan dan belakangnya, yang berbeza berbanding versi lama — kini dengan rekaan bentuk H, dan tiada lagi jalur lampu melintang di depan, dari sisi ke sisi penuh.
Di Malaysia, Stargazer akan bersaing dengan model seperti Toyota Veloz dan Mitsubishi Xpander, dengan Perodua Alza merupakan alternatif dengan harga yang lebih berpatutan. Mempunyai ukuran 4,575 mm panjang dan 1,780 mm lebar, Stargazer mempunyai jejak yang lebih besar berbanding pesaingnya itu, di samping mempunyai jarak roda terpanjang dengan 2,780 mm.

Di Indonesia, terdapat juga versi X yang diinspirasikan oleh model crossover yang menampilkan bampar hadapan dan belakang yang lebih tebal, spoiler lebih besar, landasan bumbung yang lebih kukuh serta kemasan lengkuk roda hitam, tetapi versi itu mungkin tidak akan dipamerkan di KLIMS.
Di pasaran seperti Indonesia dan Thailand di mana Stargazer telah hadir, model yang dinaik taraf ini dilengkapi dengan enjin Smartstream 1.5 liter empat-silinder sebaris MPI petrol, yang menghasilkan janaan sebanyak 115 (113 hp atau 84.4 kW) dan tork 144 Nm. Ini digandingkan dengan IVT Hyundai, iaitu kotak gear jenis (CVT) yang menggunakan tali sawat rantai, atau pilihan satu lagi ialah kotak gear manual enam-kelajuan.
Dengan kehadiran sulung Stargazer di Malaysia Isnin depan di KLIMS, ia akan menyertai model Ioniq 5 N dan Ioniq 6 N yang telah dilancarkan semalam di ruang pameran Hyundai. Sebelum ini, adalah dimaklumkan bahawa Stargazer hanya akan dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada suku keempat tahun ini.
Hyundai Stargazer di GIIAS 2025




















