Selain beberapa model SUV MG yang dipamerkan di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026, satu lagi model yang mencuri perhatian ialah IM6, SUV elektrik premium daripada jenama IM Motors di bawah SAIC Motor. Model ini bukan sekadar dipertontonkan kepada orang ramai, malah turut membawa berita penting apabila SAIC Motor Malaysia mengesahkan kemasukan rasmi jenama tersebut ke pasaran tempatan dalam masa terdekat.
Menurut syarikat itu, pelancaran jenama IM di Malaysia disasarkan bermula pada awal suku ketiga tahun 2026. Berbeza dengan pasaran China yang menampilkan IM sebagai jenama sendiri, model-model tersebut akan dipasarkan di bawah payung MG untuk pasaran Malaysia. Oleh itu, model berkenaan akan dikenali sebagai MG IM, sama seperti strategi yang digunakan di Thailand dan Australia.
Model pertama yang bakal mengetuai kemasukan jenama itu ialah MG IM6, sebuah SUV elektrik premium yang akan diimport sepenuhnya (CBU) dari China. Kehadirannya dijangka meletakkan model ini sebagai pesaing terus kepada BYD Sealion 7 dan Xpeng G6 dalam segmen SUV elektrik bersaiz sederhana premium.
Dari segi dimensi, MG IM6 mempunyai panjang 4,904 mm dan lebar 1,988 mm, menjadikannya lebih besar berbanding kedua-dua pesaing tersebut. Jarak rodanya pula mencecah 2,950 mm, iaitu 20 mm lebih panjang daripada BYD Sealion 7. Ruang kargo menawarkan kapasiti 596 liter dan boleh diperluaskan sehingga 1,571 liter apabila tempat duduk belakang dilipat. Selain itu, terdapat ruang simpanan hadapan atau frunk berkapasiti 32 liter.
Rekaan luaran IM6 tampil dengan garis badan yang lebih organik dan aerodinamik berbanding kebanyakan SUV elektrik moden. Bahagian belakangnya turut mengingatkan kepada rekaan SUV mewah berprestasi tinggi, sekaligus memberikan identiti tersendiri yang membezakan model ini daripada pesaing-pesaingnya.
Di Thailand, MG IM6 ditawarkan dengan dua pilihan rangkaian kuasa. Varian Premium RWD menggunakan motor elektrik tunggal pada gandar belakang yang menghasilkan 295 PS dan 450 Nm tork. Gabungan ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 5.9 saat.
Varian tersebut dipadankan dengan bateri lithium-ion NMC berkapasiti 75 kWh yang menawarkan jarak perjalanan sehingga 450 km mengikut piawaian WLTP. Ia turut menyokong pengecasan AC sehingga 11 kW dan pengecasan pantas DC sehingga 153 kW. Fungsi Vehicle-to-Load (V2L) berkapasiti 6.6 kW turut disediakan untuk membolehkan kuasa bateri digunakan bagi mengendalikan peralatan elektrik luaran.
Bagi mereka yang mahukan prestasi lebih ekstrem, varian Performance AWD menampilkan konfigurasi dua-motor dengan tambahan motor elektrik pada gandar hadapan. Hasilnya, kuasa keseluruhan meningkat kepada 787 PS dan 802 Nm tork.
Prestasi yang ditawarkan amat mengagumkan untuk sebuah SUV keluarga, dengan pecutan 0-100 km/j hanya mengambil masa 3.48 saat. Angka tersebut meletakkan IM6 hampir setaraf dengan beberapa SUV elektrik berprestasi tinggi dalam kategori premium.
Varian Performance AWD menggunakan bateri NMC berkapasiti 100 kWh yang menawarkan jarak perjalanan sehingga 505 km mengikut piawaian WLTP. Sistem pengecasannya juga jauh lebih berkuasa dengan sokongan pengecasan AC sehingga 22 kW dan pengecasan DC sehingga 396 kW. Proses pengecasan dari 10 hingga 80 peratus boleh diselesaikan dalam masa kurang daripada 20 minit.
Kelajuan maksimum bagi varian ini turut meningkat kepada 240 km/j, iaitu 40 km/j lebih tinggi berbanding model pacuan roda belakang.
Sebagai model paling lengkap dalam barisan IM6, varian Performance AWD turut dilengkapi suspensi udara adaptif yang boleh melaraskan ketinggian kenderaan secara automatik mengikut mod pemanduan. Sistem ini menawarkan tiga kedudukan berbeza iaitu normal, 20 mm lebih tinggi atau 50 mm lebih rendah.
Turut melengkapkan pakej prestasi ialah sistem stereng empat roda, brek cakera dengan angkup brek berwarna oren daripada Continental serta rim aloi bersaiz 21 inci. Varian Premium RWD pula menggunakan rim 20 inci.
Di bahagian kabin, MG IM6 menawarkan tahap kelengkapan yang sangat tinggi. Antara ciri standard termasuk kaca akustik pada semua tingkap, bumbung panoramik, pemegang pintu jenis tersembunyi, pintu belakang berkuasa elektrik dengan fungsi bukaan bebas tangan, serta kad kunci NFC.
Tempat duduk menggunakan kemasan kulit sintetik premium dengan reka bentuk yang menekankan keselesaan. Tempat duduk pemandu menawarkan pelarasan elektrik lapan hala bersama sokongan lumbar, manakala penumpang hadapan menerima pelarasan elektrik enam hala. Kedua-dua tempat duduk hadapan turut dilengkapi fungsi pengudaraan.
Sistem infotainmen pula dikendalikan menerusi paparan utama bersaiz 26.3 inci, manakala sebahagian besar kawalan kenderaan ditempatkan pada skrin berasingan di konsol tengah. Walaupun begitu, IM6 masih mengekalkan dua tuil fizikal termasuk satu untuk pemilihan gear.
Kelengkapan lain yang ditawarkan termasuk kamera pandangan sekeliling 360 darjah, sistem audio premium dengan 20 pembesar suara, lampu suasana 256 warna, penyaman udara automatik dua zon dengan penapis PM2.5, corong udara belakang serta pengecas telefon pintar tanpa wayar.
Sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar turut disediakan bersama pakej penuh sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) yang merangkumi pelbagai fungsi keselamatan aktif.
Di Thailand, MG IM6 Premium RWD dijual pada harga 1.349 juta baht, manakala varian Performance AWD ditawarkan pada harga 1.749 juta baht. Pasaran tersebut turut menerima jaminan seumur hidup untuk bateri, motor elektrik dan unit kawalan EV, selain jaminan lima tahun atau 160,000 km untuk kenderaan.
Bagi pasaran Malaysia, harga rasmi masih belum diumumkan. Namun memandangkan model ini akan dibawa masuk sebagai kenderaan import sepenuhnya (CBU) dan tertakluk kepada peraturan baru MITI, harga jualannya dijangka melebihi RM300,000.
























