Hyundai Motors Malaysia (HMY) telah pun membuat satu hantaran di laman sosial Facebook rasminya bagi mengesahkan bahawa MPV segmen-B Hyundai Stargazer sah akan membuat penampilan sulung di Malaysia ketika berlangsungnya Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2026 minggu ini.

Hantaran yang dibuat berbentuk teaser berkenaan menampilkan bayangan muka hadapan Stargazer yang dibentuk menerusi susunan bintang di angkasa, dengan kapsyen bertulis “Bintang baharu mengambil tempat di pentas utama”. Ketibaan Stargazer ini telah pun diumumkan oleh HMY pada awal tahun ini, dan menyebut bahawa ia akan dilancarkan pada suku ke-4 nanti. Jadi pendedahannya di KLIMS nanti mungkin hanya sebagai pratonton, bukan terus dilancarkan.

Hyundai Stargazer membuat kemunculan sulung globalnya pada 2022, dengan diperkenalkan di pasaran Indonesia untuk berhadapan dengan model-model seperti Mitsubishi Xpander, Honda BR-V dan juga kembar Perodua Alza iaitu Toyota Veloz/Daihatsu Xenia. Ia merupakan MPV tujuh-tempat duduk yang dihasilkan dengan dimensi 4,460 mm panjang, 1,780 mm lebar, 1,695 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,780 mm.

Seperti pesaing-pesaingnya yang lain, Stargazer digerakkan dengan enjin 1.5 liter Smartstream NA empat-silinder MPI yang menghasilkan kuasa 115 PS dan tork maksima 143.8 Nm, digandingkan dengan transmisi IVT dan memacu hanya roda hadapan.

Di Indonesia Stargazer telahpun diperkenalkan dalam versi facelift pada Julai tahun lalu, dikenali sebagai Stargazer Cartenz. Model facelift ini menampilkan perubahan rupa luaran yang ketara, terutamanya bahagian hadapan dengan bonet lebih panjang, lampu utama yang diletakkan lebih tinggi serta lampu nyalaan siang berbentuk ‘H’. Gril hadapan kini lebih besar dengan corak segi empat, manakala bahagian apron bawah tampil lebih agresif. Di belakang, lampu turut menerima sentuhan rekaan serupa.

Selain Hyundai Stargazer Cartenz standard, MPV ini turut ditawarkan dalam versi yang lebih lasak seperti SUV dikenali sebagai Stargazer Cartenz X di pasaran negara tersebut. Ia dijual pada harga 269.9 juta rupiah (sekitar RM70,000) sehingga 350.4 juta rupiah (RM91,000), manakala Cartenz X dijual antara 361.9 juta rupiah (RM94,000) hingga 391.9 juta rupiah (RM101,000).

Untuk pasaran Malaysia, buat masa sekarang HMY masih belum menyebut sebarang perincian berkenaan spesifikasi yang bakal diberikan, malah sebarang bayangan harga juga masih belum didedahkan.

Jadi sekiranya anda mahu melihat sendiri Hyundai Stargazer ini sebelum dilancarkan secara rasmi ke pasaran tempatan, anda boleh datang ke KLIMS 2026 yang akan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula 12 hingga 21 Jun ini.

GALERI: Hyundai Stargazer Cartenz di GIIAS 2025

GALERI: Hyundai Stargazer Cartenz X di GIIAS 2025

Tags: