Dongfeng Voyah Dream ditunjuk di KLIMS 2026 – MPV mewah PHEV, 1.5T dua-motor elektrik, 653 PS/915 Nm

Selain dari SUV MHero II, pengedar DongFeng di Malaysia iaitu Volt Auto turut mendedahkan sekali MPV mewah Voyah Dream di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2026 hanya berbaki tiga hari lagi. Bagi yang belum mengetahui, Voyah adalah divisi mewah bagi Dongfeng, seperti sub-jenama Wey untuk GWM. Dan Voyah Dreamer ini juga akan berhadapan terus dengan Wey G9 sekiranya ia dilancarkan di sini kelak.

Seperti juga MHero II, Voyah Dream yang dibawa ini masih dalam versi pemanduan sebelah kiri (LHD), dan Volt Auto masih belum mengumumkan sebarang spesifikasi rasmi untuk model pasaran Malaysia yang akan dilancarkan di sini kelak.

Jadi spesifikasi yang kami sebutkan hari ini adalah berdasarkan spesifikasi model pasaran China. MPV ini dihasilkan dengan dimensi panjang 5,315 mm, lebar 1,980 mm, tinggi 1,820 mm, manakala jarak rodanya pula adalah sejauh dengan 3,200 mm. Berbanding Toyota Alphard, Voyah Dreamer ini adalah 305 mm lebih panjang, 130 mm lebih lebar, 130 mm lebih rendah serta jarak roda 200 mm lebih jauh.

Dongfeng Voyah Dream ditunjuk di KLIMS 2026 – MPV mewah PHEV, 1.5T dua-motor elektrik, 653 PS/915 Nm

Model yang dibawa ke KLIMS ini menampilkan konfigurasi tujuh-tempat duduk, namun Di China ia turut hadir dengan versi empat-tempat duduk yang lebih mewah. Antara perincian yang ditawarkan di pasaran asalnya berkenaan termasuk skrin sesentuh utama 15.6-inci, paparan head-up AR 29-inci, monitor siling 17-3-inci serta peti sejuk konsol tengah berkapasiti 13-liter.

Ia juga datang dengan stereng gandar belakang dengan sudut belokan sehingga lima-darjah serta kebolehan membuat pusingan seperti kereta kebal, serta suspensi udara dengan kawalan hentakan berterusan.

Di China, Voyah Dream ditawarkan dalam versi plug-in hybrid (PHEV) dan juga elektrik penuh EV. Bagi versi PHEV, ia menggandingkan enjin 1.5 liter turbo dan juga dua buah motor elektrik masing-masing memacu gandar hadapan dan belakang. Ini membolehkan Voyah Dream bergerak dengan kebolehan pacuan semua roda dengan kuasa keseluruhan 653 PS dan tork maksima 915 Nm, memberikan kuasa pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 203 km/j.

Ada dua pilihan bateri ditawarkan iaitu 62.5 kWj yang membolehkan ia bergerak sejauh 287 km (WLTP) dengan hanya kuasa elektrik serta 1,530 km gandingan petrol dan elektrik, dan juga pilihan bateri 43.2 kWj untuk jarak elektrik 185 km (WLTP). Walaupun ia bukan digerakkan sepenuhnya oleh kuasa elektrik, Voyah Dream PHEV ini tetap menerima asas seni bina elektrikal 800 volt, membolehkan ia menerima sistem pengecasan 5C.

Manakala untuk versi EV penuh, ia turut menerima dua motor elektrik menghasilkan kuasa keseluruhan 551 PS, digerakkan dengan bateri NMC berkapasiti 108.7 kWj. Ini membolehkan MPV EV tersebut bergerak sejauh 574 km dalam kitaran WLTP.

Bila model ini akan dilancarkan? Volt Auto masih belum menyebut sebarang garis masa bila model ini akan dilancarkan ke pasaran tempatan, dan masih belum ada sebarang petunjuk berkenaan harga.

Tags: ,