Honda memperkenalkan model edisi khas baru untuk Prelude yang dikenali sebagai Prelude 2027 Limited Edition. Ia akan mula dipasarkan di Jepun pada Ogos tahun ini, tidak sampai satu tahun selepas Prelude generasi baru membuat kemunculan semula di pasaran negara itu.
Di Jepun, Prelude 2027 Limited Edition ditawarkan pada harga 6,306,300 yen (sekitar RM162,000), termasuk cukai penggunaan 10%. Harga tersebut kira-kira dua peratus lebih tinggi berbanding Prelude standard yang dijual pada harga 6,179,800 yen (sekitar RM159,000). Menariknya, harga Prelude edisi khas ini setara dengan Honda Civic Type R yang didatangkan bersama Racing Black Package di pasaran Jepun.
Keistimewaan utama model ini terletak pada kemasan luaran eksklusif Premium Crystal Garnet Metallic. Warna merah gelap itu turut dipadankan dengan kemasan sepadan pada bahagian gril hadapan (atas) serta perincian tengah pada bampar, menggantikan elemen berwarna biru yang terdapat pada model standard.
Rekaan rim 19 inci pada Prelude 2027 Limited Edition ini masih sama seperti model biasa, namun angkup brek yang sebelum ini berwarna biru kini diberikan kemasan merah bagi melengkapkan tema warna keseluruhan.
Di bahagian kabin, tema merah itu diteruskan menerusi penggunaan kemasan berwarna Bordeaux pada konsol tengah dan pelapik perehat tangan pintu. Jahitan merah turut menghiasi beberapa bahagian dalaman, manakala tempat duduk kulit dua tona dipasang sebagai ciri standard. Tempat duduk hadapan juga menerima sulaman logo “Prelude” pada bahagian penyandar kepala sebagai identiti eksklusif edisi khas ini.
Dari segi mekanikal, tiada perubahan dilakukan berbanding Prelude standard. Model ini masih menggunakan sistem hibrid yang menggabungkan enjin petrol empat silinder sebaris 2.0 liter NA dengan kitaran Atkinson. Enjin tersebut menghasilkan kuasa 141 PS dan tork 182 Nm.
Dalam kebanyakan situasi pemanduan, enjin berfungsi sebagai penjana untuk mengecas bateri yang membekalkan tenaga kepada motor elektrik hadapan. Motor tersebut menghasilkan kuasa 184 PS dan tork maksimum 315 Nm. Apabila diperlukan, enjin juga boleh memacu roda hadapan secara terus menerusi transmisi E-CVT.
Sistem hibrid yang dikenali sebagai Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) ini merupakan teknologi yang sama digunakan pada Honda Civic e:HEV, menawarkan gabungan kecekapan bahan api dan prestasi yang lebih responsif.


