BYD mendedahkan model baru Dolphin G bulan lalu dan kini lebih banyak maklumat mengenai hatchback segmen B plug-in hybrid (PHEV) itu didedahkan. Dibangunkan khusus untuk pasaran Eropah, model tersebut dijangka mula dibuka untuk tempahan dalam tempoh beberapa bulan akan datang sebelum penghantaran kepada pelanggan bermula pada suku keempat tahun ini.
Salah satu tarikan utama Dolphin G ialah penggunaan rangkaian kuasa Dual Mode-Intelligent (DM-i) generasi kelima yang membuat penampilan sulungnya di Eropah. Sistem hibrid terbaru BYD itu menggabungkan enjin petrol empat silinder 1.5 liter yang menghasilkan 95 PS dan 120 Nm tork bersama motor elektrik berkuasa 163 PS dan 210 Nm. Ia turut dilengkapi motor penjana, transmisi hibrid khusus (DHT) serta klac yang membolehkan enjin memacu roda secara terus dalam situasi tertentu.
Jumlah kuasa sistem bergantung kepada pilihan bateri Blade LFP yang digunakan. Varian asas dengan bateri berkapasiti 7.42 kWh menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 176 PS dan 210 Nm tork, manakala varian yang dilengkapi bateri 18.3 kWh menawarkan kuasa lebih tinggi, sehingga 212 PS. Walaupun terdapat perbezaan output, semua varian mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 8.3 saat dengan kelajuan maksimum 180 km/j.
Dari aspek kecekapan, bateri 7.42 kWh menawarkan jarak pemanduan elektrik sehingga 40 kilometer, manakala bateri 18.3 kWh mampu mencapai sehingga 105 kilometer tanpa penggunaan petrol. Dengan tangki bahan api berkapasiti 42 liter, BYD mendakwa Dolphin G mampu mencatat jarak keseluruhan sejauh 1,019 kilometer bagi varian bateri kecil dan sehingga 1,040 kilometer untuk versi bateri lebih besar.
Penggunaan bahan api pula direkodkan pada kadar 23.2 km/l atau bersamaan 4.3 l/100 km untuk varian bateri 7.42 kWh. Bagi varian bateri 18.3 kWh, penggunaan bahan api adalah sedikit lebih tinggi pada 22.2 km/l atau 4.5 l/100 km.
Keupayaan pengecasan turut berbeza mengikut kapasiti bateri. Bateri 7.42 kWh menyokong pengecasan AC sehingga 3.3 kW dan memerlukan sekitar 2.8 jam untuk dicas 15-100%. Sementara itu, bateri 18.3 kWh menyokong pengecasan AC sehingga 6.6 kW dan mengambil masa kira-kira 2.9 jam untuk mencapai tahap pengecasan yang sama.
Varian dengan bateri lebih besar juga menjadi satu-satunya versi yang menyokong pengecasan pantas DC sehingga 39 kW, membolehkan tahap bateri meningkat daripada 10 kepada 80 peratus dalam masa hanya 26 minit.
Dari segi saiz, Dolphin G ditempatkan di antara Dolphin EV dan Dolphin Surf, yang turut dikenali sebagai Atto 1. Model ini berukuran 4,160 mm panjang, 1,825 mm lebar dan 1,575 mm tinggi. Berbanding Dolphin EV, ia 130 mm lebih pendek, namun 55 mm lebih lebar dan lima milimeter lebih tinggi. Jarak rodanya pula berukuran 2,610 mm, iaitu 90 mm lebih pendek.
Reka bentuk luaran masih mengekalkan identiti keluarga Dolphin dengan siluet badan satu kotak yang aerodinamik serta tiang-C berwarna hitam. Namun, Dolphin G tampil lebih moden dan sporty menerusi penggunaan lampu hadapan yang lebih tirus dan berbentuk segi tiga, disambungkan dengan jalur hitam ringkas di tengah. Bahagian hadapan turut menampilkan bukaan udara tengah yang lebih agresif lengkap dengan sistem penutup gril aktif serta saluran udara sisi yang lebih kemas.
Pada bahagian sisi, rekaan badan kelihatan lebih bersih berbanding Dolphin EV. Kebanyakan garisan badan yang kompleks telah disederhanakan dengan hanya satu garisan bahu utama, pemegang pintu jenis tersembunyi serta elemen permukaan berbentuk segi tiga pada bahagian pintu.
Garisan tingkap belakang yang unik turut memberikan karakter tersendiri sebelum bertemu lampu belakang penuh yang merentasi keseluruhan bahagian belakang. Bergantung kepada varian, Dolphin G ditawarkan dengan rim aloi bersaiz 16 atau 18 inci.
Bahagian dalaman pula menampilkan pendekatan yang lebih ringkas dan matang berbanding Dolphin sedia ada. Papan pemuka direka secara mendatar dengan panel hitam berkilat yang menempatkan panel instrumen digital bersaiz 8.8 inci, jauh lebih besar berbanding unit lima inci pada Dolphin elektrik. Corong pendingin hawa bulat yang sinonim dengan model terdahulu turut digantikan dengan rekaan segi empat yang lebih minimalis.
Walaupun lebih sederhana, beberapa elemen unik masih dikekalkan termasuk pemegang pintu dalaman yang diinspirasikan daripada sirip ikan lumba-lumba serta stereng dengan jejari berbentuk sayap. Sistem infotainmen pula hadir dengan skrin sentuh bersaiz 10.1 atau 12.8 inci bergantung kepada varian, lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, integrasi perkhidmatan Google serta head-up display untuk varian tertinggi.
BYD turut mengalihkan suis pemilih gear ke belakang stereng, sekaligus membebaskan ruang pada konsol tengah. Hasilnya, Dolphin G kini mempunyai konsol terapung yang dilengkapi pengecas telefon pintar tanpa wayar 15 watt serta tiga pemegang cawan. Kelengkapan lain termasuk tempat duduk pemandu larasan kuasa, bumbung kaca panoramik dengan pelindung matahari elektrik, fungsi Vehicle-to-Load (V2L) berkuasa 3.3 kW, kamera 360 darjah dan ruang kargo berkapasiti 425 liter.
Buat masa ini, masih belum dapat dipastikan sama ada Dolphin G akan ditawarkan di Malaysia sebagai pelengkap kepada Dolphin EV. Namun begitu, kos sistem plug-in hybrid yang lebih tinggi berkemungkinan menyebabkan harganya melebihi pesaing utama seperti Honda City Hatchback dan Toyota Yaris.
Penawarannya di pasaran tempatan juga bergantung kepada kemampuan BYD untuk memasang model tersebut secara tempatan, sama ada menerusi pengaktifan semula kilangnya di Tanjung Malim atau kerjasama dengan pengeluar kontrak seperti Sime Motors.



