Apa yang anda lihat ini adalah Daihatsu Xenia, iaitu kembar kepada Toyota Avanza yang baru sahaja didedahkan sehari sebelumnya di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS). Hampir semua bahagian MPV Daihatsu ini sama seperti model Toyota, dengan hanya beberapa perubahan kecil dibuat dan ia datang dengan senarai kelengkapan lebih ringkas yang menjadikannya lebih murah.

Xenia dijual bermula dengan varian paling rendah 1.3 M MT pada harga 190.9 juta rupiah (RM55,681), diikuti 1.3 X MT pada IDR193.9 juta (RM56,554) dan 1.3 X CVT pada IDR209.2 juta (RM61,017). Kemudiannya, terdapat varian 1.3 R MT berharga IDR204 juta (RM59,607) yang ditawarkan bersama dua pakej tambahan iaitu Astra Daihatsu Styling (ADS) pada harga IDR9 juta (RM2,629) dan warna istimewa (SC) Compagno Red pada harga IDR1.5 juta (RM438).

Naik lebih tinggi, terdapat varian 1.3 R CVT pada harga IDR219.3 juta (RM64,016), diikuti 1.5 R MT pada IDR221 juta (RM64,512) dan 1.5 R CVT pada IDR233.7 juta (RM68,219) – varian ini juga diberikan dengan pilihan pakej tambahan ADS dan SC seperti 1.3 R MT. Varian paling tinggi adalah 1.5 R CVT ASA, yang dijual pada harga IDR242.4 juta (RM70,759).

Sama seperti Avanza, Xenia dibina atas platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), dan sekarang menggunakan pacuan dua roda hadapan (sebelum ini pacuan roda belakang). Kerangkanya juga telah ditukar daripada ladder frame kepada monocoque manakala suspensi menggunakan jenis MacPherson di hadapan dan torsion beam di belakang.

Pilihan enjin juga sama, dengan varian 1.3 digerakkan unit empat silinder DOHC 1.3 liter NA 1NR-VE dengan Dual VVT-i yang mampu menghasilkan 98 PS pada 6,000 rpm dan 121 Nm tork pada 4.200 rpm, manakala varian 1.5 mendapat unit 1.5 liter 2NR-VE berkuasa 106 PS pada 6,000 rpm dan 137 Nm tork pada 4,200 rpm.

Pilihan transmisi sedikit berbeza berbanding Avanza, kerana kedua-dua enjin 1.3L dan 1.5L Xenia boleh dipadankan bersama transmisi manual lima kelajuan atau D-CVT, bergantung kepada varian. Pada Avanza, varian 1.3L cuma datang dengan transmisi manual sementara model 1.5L barulah diberikan pilihan kedua-dua transmisi.

Bentuk asas Xenia masih sama seperti Avanza, tetapi beberapa bahagian seperti bampar serta gril di hadapan telah diubah untuk menjadikannya lebih unik. Di belakang, semuanya sama kecuali logo.

Bahagian dalam juga, sekali lagi, adalah sama seperti Avanza, tetapi dengan penggunaan bahan yang kelihatan kurang premium. Masih terdapat tiga baris tempat duduk yang disediakan untuk menempatkan sehingga tujuh orang dalam kenderaan, dengan baris kedua boleh dilipat 60:40 manakala baris paling belakang 50:50.

Melihat kepada kelengkapan, varian asas 1.3 M MT mendapat rim besi 15 inci, lampu utama LED, lampu belakang LED, pendingin hawa manual dengan paparan digital dan corong pendingin hawa belakang, panel meter Optitron, skrin sesentuh tujuh ini, dua pembesar suara, ABS, EBD dan dua beg udara.

Varian 1.3 X ditambah dengan rim aloi 15 inci, dua lagi pembesar suara dan pengesan jarak belakang, manakala varian yang dilengkapi CVT turut mendapat VSC, Brake Assist dan Hill Start Assist. Pergi kepada varian 1.3 R, pelanggan akan mendapat cermin sisi boleh lipat automatik, lampu kabus, peredam bunyi, dua tweeter tambahan, skrin sesentuh sembilan inci, panel meter 4.2 inci, sistem pemula enjin tanpa kunci, butang kawalan audio di stereng, immobiliser serta penggera keselamatan.

Varian 1.5 R mendapat kelengkapan sama seperti 1.3 R, tetapi ditambah dengan jalur merah pada gril, rim 16 inci, pemegang pintu krom, tinggi tempat duduk yang boleh dilaras secara manual, sistem masuk tanpa kunci dan kamera 360 darjah.

Varian paling tinggi 1.5 R CVT ASA didatangkan khas dengan pakej sistem keselamatan dan bantuan pemandu Advanced Safety Assist (ASA) yang termasuk Pre Collision System (amaran dan brek automatik), Pedal Misoperation Control, Leading Vehicle Departure Warning, Lane Departure Warning dan Lane Departure Prevention.

Varian yang dipilih dengan pakej ADS akan mendapat lip bampar hadapan, side skirt, hiasan seperti diffuser di belakang, penapis cahaya cermin, kemasan pemantul cahaya di belakang, hiasan pada tailgate, lampu suasana, kemasan seakan karbon di dalam, alas kaki khas dan penapis udara.