Toyota Avanza, Veloz 2022 dilancarkan di Indonesia — platform DNGA, Toyota Safety Sense, dari RM60k

Toyota Avanza, Veloz 2022 dilancarkan di Indonesia — platform DNGA, Toyota Safety Sense, dari RM60k

Toyota Avanza generasi ketiga akhirnya membuat penampilan sulung di Indonesia bersama versi Veloz yang lebih sporty. MPV terbaru ini menggantikan model generasi keduanya yang sudah berada dalam pasaran lebih sedekad, membawakan perubahan menyeluruh yang penting untuk Avanza.

Pertama, Avanza kini menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang turut digunakan oleh Raize serta Daihatsu Rocky dan Perodua Ativa. Peralihan dari ladder frame ini kepada binaan monocoque disertai juga oleh suspensi jenis MacPherson strut di depan, dan torsion beam di belakang.

Lebih penting, ini kali pertama Avanza menerima pacuan roda depan, kerana semua generasi sebelum ini datang sebagai pacuan belakang sahaja. Pilihan enjin seperti biasa dilihat, termasuk unit 1NR-VE 1.3 litre NA DOHC empat-silinder dengan Dual VVT-i yang menghasilkan 98 PS pada 6,000 rpm dan 121 Nm tork pada 4,200 rpm, yang digandingkan dengan hanya transmisi manual lima-kelajuan.

Toyota Avanza, Veloz 2022 dilancarkan di Indonesia — platform DNGA, Toyota Safety Sense, dari RM60k

Pilihan lain ialah unit 2NR-VE 1.5 liter yang menghasilkan 106 PS pada 6,000 rpm dan 137 Nm pada 4,200 rpm yang dipadankan dengan sama ada transmisi manual lima-kelajuan atau CVT (tiada lagi 4AT), bergantung kepada varian.

Rekaan badannya kini lebih besar, dengan dimensi ukuran barunya ialah 4,395 mm panjang (+205 mm) dan 1,730 mm lebar (+70 mm). Bergantung kepada varian, ketinggian kenderaan ini sama ada 1,665 mm (-30 mm) atau 1,700 mm (+5 mm), sementara jarak antara roda bertambah kepada 2,750 mm (+95 mm).

Dari aspek penggayaan, Avanza terbaru ini sangat jauh berbeza berbanding model lamanya, dengan wajah depan menggunakan gril kurus dua jalur dan lampu utama rekaan tajam. Semua ini pula terletak di atas bukaan udara bentuk trapezoidal yang kelihatan sangat ketara, yang turut menempatkan kawasan lampu kabus bersegi.

Toyota Avanza, Veloz 2022 dilancarkan di Indonesia — platform DNGA, Toyota Safety Sense, dari RM60k

Dari sisi, garis badannya kelihatan tajam, menghubungkan bahagian depan dan belakang kenderaan ini, melalui pemegang pintu. Lekuk tayar yang besar juga menyuntik imej SUV kepadanya. Untuk lebih kesan visual, bahagian kemasan pada dasar tiang D digelapkan untuk menjadikannya kelihatan seperti bumbung terapung.

Di belakang, Avanza menerima rekaan lampu tirus yang bersambung dengan bahagian logo Toyota. Ruang yang menempatkan nombor plat pula kini lebih kemas, disertai juga dengan pemantul di bahagian bawah apronnya.

Bagi Veloz, ia menampilkan beberapa sentuhan unik untuk membezakannya daripada model biasa. Antaranya rekaan gril utama bentuk hexagonal dengan mesh bentuk Y. Ini diikuti pula oleh rekaan lampu utama yang berbeza, dan kluster berkenaan bersambung ke tiang A oleh jalur krom.

Toyota Avanza, Veloz 2022 dilancarkan di Indonesia — platform DNGA, Toyota Safety Sense, dari RM60k

Bentuk gril baru itu juga dilengkapi lagi dengan bampar baru dengan seksyen lampu kabus yang lebih menegak dengan disertai kemasan krom, sementara skid plate terletak di bawah bukaan udara di bawahnya. Perbezaan lain termasuklah lampu belakang dengan kelebaran penuh dan juga skid plate untuk mengimbangi imej di depan.

Ruang dalaman juga sangat segar rekaannya, dengan papan pemuka berimej kontemporari. Sistem infotainmen terletak di atas kawasan corong udara, dengan kawalan digital bagi sistem pendingin hawa manualnya turut tersedia dalam kabin, serta rekaan roda stereng baru.

Tombol gear pula di bawa lebih ke depan pada kedudukan lebih tinggi yang menghubungkan bahagian tengahnya, sementara konsol tengah menempatkan brek tangan, ruang barangan dan perehat lengan. Ada tiga baris tempat duduk tersedia untuk memuatkan tujuh orang. Dengan ukuran yang bertambah itu, ruang juga jadi lebih luas.

Toyota Avanza, Veloz 2022 dilancarkan di Indonesia — platform DNGA, Toyota Safety Sense, dari RM60k

Avanza ditawarkan dalam empat varian di Indonesia, bermula dari yang paling asas 1.3E yang dijual pada harga 206.2 juta rupiah (RM60,173). Ini versi 1NR-VE, manual lima-kelajuan dengan rim aloi 15-inci, kerusi balutan fabrik, skrin sentuh tujuh inci, slot USB, VSC, ABS, EBD, bantuan brek, bantuan mula mendaki, dua beg udara dan amaran tali keledar untuk semua kerusi.

Naik satu tingkat ialah 1.5G, dengan enjin 2NR-VE sama ada dengan transmisi manual berharga 228.5 juta rupiah (RM66,673) atau automatik dengan 241.4 juta rupiah (RM70,437). Kelebihan 1.5G berbanding 1.5E adalah dengan penggunaan rim 16-inci, sensor parkir belakang, sistem penggera dan immbobiliser, paparan multi-info TFT 4.2-inci, skrin sentuh sembilan-inci, sistem tanpa kunci serta stereng larasan kecondongan dan jarak dari pemandu.

Varian paling tinggi adalah 1.5G CVT TSS pada harga 264.4 juta rupiah (RM77,148), yang ditambah dengan Toyota Safety Sense — ini antara naiktaraf terpenting bagi model tersebut. Ciri ini merangkumi Pre Collision System, Front Departure Alert, Lane Departure Assist, Pedal Misoperation Control, Rear Crossing Traffic Alert dan Blind Spot Monitoring. Varian ini juga menerima enam beg udara dan sistem telematik T Intouch.

Veloz pula hadir dengan lebih banyak kelengkapan dan hanya dengan enjin 2NR-VE. Veloz hadir dalam tiga varian, bermula dengan varian MT pada harga 251.2 juta rupiah (RM73,295), diikuti dengan Q CVT pada harga 272.1 juta rupiah (RM79,393) dan Q CVT TSS pada 291.5 juta rupiah (RM85,054).

Semua varian ini hadir dengan kerusi balutan gabungan fabrik dan kulit, kluster instrumen tujuh-inci, brek parkir elektrik dengan Brake Hold automatik, pengecas tanpa wayar, sistem infotainmen dengan skrin sentuh sembilan inci, pendingin hawa automatik, sistem lampu suasana, perehat lengan material lembut, skirn hiburan di belakang, sensor parkir belakang dan sistem keselamatan pasif.

Khas untuk Q CVT pula ialah rim 17-inci, mod pemanduan dan peninjau sekeliling, sementara MT menggunakan rim 16-inci dan kamera undur. Q CVT TSS paling tinggi pula menerima Toyota Safety Sense dan enam beg udara (varian lain hanya dua). Dengan penampilan terbaru dan segar ini, adakah Avanza jadi lebih menarik?

GALERI: Toyota Avanza 2022

GALERI: Toyota Veloz 2022

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

 

Add a comment

required

required