Sebelum ini kita sudah melihat Toyota Avanza 2022 yang bakal dilancar, dalam versi sporty Veloz, tapi gambar yang bocor ini pula adalah versi biasa bagi MPV tujuh tempat duduk tersebut. Nampaknya, rupa serta kemasannya memang betul-betul berbeza.

Kedua-duanya mempunyai gril trapezoid yang besar, tetapi anda boleh lihat terdapat perbezaan di mana gril Veloz yang mempunyai perincian dalam berbentuk Y bersambung terus ke atas sementara gril Avanza yang menggunakan kemasan jalur melintang pula adalah terpisah dengan bahagian atas. Kedudukan logo juga berbeza.

Sudah tentu, dengan bentuk gril yang berlainan ini, bampar juga adalah berbeza. Lampu kabus kedua-duaya masih lagi berbentuk bulat tetapi duduk dalam perumah yang berbeza. Bagi Veloz, kemasan bawah seakan diffuser bersepadu dicat warna perak. Selain daripada itu, Avanza juga tidak menerima jalur krom yang bersambung dari atas lampu sehingga ke tepi seperti Veloz.

Pada bahagian belakang, lampu Avanza tidak bersambung sehingga ke tengah, sekaligus memberikan gambaran bahawa jalur merah yang terdapat pada Veloz mungkin bukanlah LED penuh dan setakat pemantul cahaya hiasan sahaja.

Tiada gambar bahagian dalam yang diperoleh untuk kali ini, tetapi ia sepatutnya tidak mempunyai banyak beza berbanding Veloz. Daripada apa yang kita sudah lihat sebelum ini, papan pemukanya mempunyai skrin sesentuh besar, roda stereng baru dengan butang kawalan di bahagian tepi, butang pemula enjin dan jalur lampu berhampiran tombol gear. Walaubagaimanapun, mungkin ada antara ciri ini hanya akan diberi pada varian lebih tinggi sahaja.

Bahagian barisan penumpang juga kelihatan seperti ada skrin pada bumbung, ruang cawan boleh simpan, slot pengecas USB dan kerusi gelungsur. Belakang kerusi depan juga ada slot untuk tersusun untuk barangan pada kedudukan lebih tinggi. Ada satu slot lebar, mungkin muat untuk tablet dan satu lagi poket untuk telefon.

Perincian rasmi masih belum ada, tetapi kita menjangkakan perubahan yang besar di sebalik badannya, termasuk penggunaan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang turut digunakan oleh Ativa/Rocky/Raize. Jika betul, Avanza akan ditukarkan daripada kerangka ladder frame kepada monocoque, dan daripada pacuan roda belakang kepada pacuan roda hadapan.

Adakah Avanza akan terus menggunakan enjin 1.5L NA, atau berkongsi enjin tiga silinder 1.0L turbo dan 1.2L NA dari Raize/Rocky? Itu kita masih belum tahu, tetapi yang pasti, ciri keselamatan dan bantuan pemandu aktif Toyota Sense akan membuat kemunculan pada model ini – anda boleh nampak ada kamera di bahagian atas cermin hadapannya.

Toyota Avanza 2022 ini akan diperkenalkan di Indonesia 10 November ini. Sama-sama kita nantikan ketibaannya dan ia juga boleh jadi mengujakan kerana sebelum ini Avanza juga cukup popular di negara kita.