Omoda C9 akan diberi facelift di pasaran China tidak lama lagi, di mana model ini dipasarkan sebagai Exeed EX6. Walaupun Omoda C9 baru berada di pasaran Malaysia kurang daripada dua tahun, model asal sebenarnya telah diperkenalkan di China lebih tiga tahun lalu dengan nama Exeed Yaoguang. Oleh itu, masa untuk pembaharuan dilihat sudah tiba.
Kemas kini yang bakal diperkenalkan bukan sekadar perubahan kecil, sebaliknya melibatkan rekaan luaran yang lebih menyeluruh. Berdasarkan imej rasmi yang didedahkan oleh jenama premium Chery itu, bahagian hadapan kini tampil dengan identiti baru yang selari dengan model-model terkini Exeed.
Ia menampilkan lampu utama jenis berasingan dengan jalur lampu LED melintang di bahagian atas, manakala unit lampu utama ditempatkan lebih rendah. Lampu tersebut turut menerima grafik bercorak bintang yang bercahaya dan diapit lampu nyalaan siang berbentuk C, sekaligus menyerlahkan rekaan gril baru dengan kemasan panel heksagon sama warna dengan badan.
Di bahagian sisi, kemasan pada fender hadapan yang sebelum ini bersambung ke pintu hadapan telah digantikan dengan panel yang lebih pendek. Perubahan ini turut membolehkan pemasangan kamera tambahan bagi sistem bantuan pemandu.
Selain itu, pemegang pintu jenis tersembunyi yang keluar secara automatik telah digantikan dengan pemegang mekanikal biasa yang ditarik ke atas. Langkah ini dipercayai dibuat sebagai persediaan terhadap peraturan baru di China yang bakal melarang penggunaan mekanisme pelepas pintu tersembunyi.
Rekaan bahagian belakang pula tidak mengalami perubahan besar. Lampu belakang LED yang merentasi keseluruhan bahagian belakang masih dikekalkan, namun kini menggunakan corak bintang yang sama seperti di bahagian hadapan, menggantikan tulisan Exeed yang sebelum ini berada di tengah.
Bampar belakang juga direka semula dengan penampilan lebih ringkas, tanpa reflektor menegak bersaiz besar, kemasan diffuser yang agresif serta empat muncung ekzos hiasan. Penampilan keseluruhan turut diperkemaskan dengan penggunaan rim aloi dua-tona yang lebih sporty.
Bahagian kabin masih belum didedahkan secara rasmi, namun perubahan besar turut dijangka dilakukan pada ruang dalaman. Paparan skrin berkembar yang sebelum ini menyerupai rekaan Mercedes-Benz dijangka digantikan dengan dua skrin berasingan, sejajar dengan trend terkini kenderaan buatan China.
Ruang konsol tengah juga dijangka dilengkapi dua tempat letak telefon pintar, seperti yang telah diperkenalkan pada model Jaecoo J8 facelift dan Chery Tiggo 9 generasi baru di pasaran China.
Dari segi rangkaian kuasa, tiada perubahan besar dijangka dilakukan. Model ini berkemungkinan masih menggunakan enjin 2.0 liter turbo empat silinder yang menghasilkan 261 PS dan 400 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan.
Turut dijangka dikekalkan ialah varian hibrid plug-in (PHEV) yang menggunakan sistem Super Hybrid System (SHS). Sistem ini menggabungkan enjin 1.5 liter, dua motor elektrik serta transmisi hibrid khas tiga kelajuan (DHT), menghasilkan kuasa keseluruhan 537 PS dan tork maksimum 630 Nm.
Setakat ini, Omoda & Jaecoo masih belum mengesahkan sama ada versi facelift ini akan dipasarkan di luar China. Namun, laporan CarExpert dari Australia menyatakan model tersebut berpotensi diperkenalkan di negara itu pada tahun hadapan. Jika perkara itu menjadi kenyataan, Malaysia juga dijangka antara pasaran yang bakal menerima model Omoda C9 facelift dalam tempoh yang sama.


