Teksi Malaysia perlu bayar sebanyak S$15 setiap kali masuk Singapura bermula 2027, naik dari S$2 sebulan

Bermula 1 Januari 2027, teksi Malaysia perlu membayar sebanyak S$15 (RM47.58) setiap kali masuk ke Singapura, lapor CNA. Ini merupakan peningkatan yang sangat ketara berbanding S$2 (RM6.34) sebulan untuk Permit Kenderaan Perkhidmatan Awam ASEAN (PSVP) yang diperlukan ketika ini.

“Pelarasan ini bertujuan untuk merapatkan jurang kos antara teksi berdaftar Malaysia dan teksi berdaftar Singapura yang beroperasi di Singapura,” kata Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) negara itu hari ini dalam satu kenyataan.

“LTA akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap perkhidmatan pengangkutan dari satu tempat ke tempat lain yang menyalahi undang-undang, untuk menjaga keselamatan penumpang serta mata pencarian pemandu berlesen. Penumpang dinasihatkan untuk hanya menggunakan teksi berlesen untuk perjalanan rentas sempadan kerana hanya teksi berkenaan yang mempunyai perlindungan insuran yang sah,” tambah LTA.

Perubahan terhadap perkhidmatan teksi rentas sempadan Malaysia-Singapura berkuat kuasa pada 4 Mei, membolehkan penumpang diturunkan di mana-mana sahaja di Singapura dan di seluruh Johor, dan bukannya hanya Terminal Jalan Ban San dan Larkin Sentral. Skim yang dikemas kini itu turut memperkenalkan tempat pengambilan tambahan yang ditetapkan di kedua-dua negara.