Menjelang pelaksanaan skim Budi Madani Diesel (Budi Diesel) pada 1 Julai ini, yang akan membolehkan pengguna menikmati harga diesel bersubsidi pada kadar RM2.10 seliter, kementerian kewangan memaklumkan bahawa kerajaan akan mengambil pendekatan terbuka dalam memastikan pelaksanaan program tersebut berjalan lancar.
Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, kerajaan bersedia mempertimbangkan sebarang cadangan berkaitan skim itu, termasuk isu peningkatan kuota subsidi. Bagaimanapun, sebarang keputusan akan dibuat berdasarkan data penggunaan sebenar yang direkodkan selepas pelaksanaan program berkenaan – lapor Bernama.
“Semasa kita mula melaksanakan subsidi bersasar RON 95, ada pihak yang mengatakan kuota yang diberi tidak mencukupi. Namun selepas beberapa bulan pelaksanaan, data dari Januari hingga Mei tahun ini menunjukkan hanya 0.76% pengguna yang menggunakan lebih daripada 200 liter. Jadi, biarkan sistem ini berjalan terlebih dahulu dan kita lihat sama ada ia berkesan atau tidak. Jika terdapat kelemahan dalam sistem, kerajaan tidak mempunyai masalah untuk meneliti semula keputusan tersebut,” katanya.
Walaubagaimanapun, data penggunaan RON 95 itu mungkin tidak menggambarkan keadaan sebenar sepenuhnya. Ini kerana pengguna yang telah melebihi kuota yang ditetapkan berkemungkinan tidak lagi menggunakan MyKad untuk pembelian bahan api seterusnya, sekaligus menyebabkan penggunaan tambahan mereka tidak direkodkan dalam sistem.
Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata pengalaman kerajaan melaksanakan program subsidi bersasar sebelum ini, termasuk bagi sektor e-hailing, menunjukkan bahawa penyesuaian kuota sentiasa boleh dilakukan berdasarkan data penggunaan sebenar.
“Ketika program subsidi bersasar untuk sektor e-hailing mula diperkenalkan, kami menerima maklum balas bahawa kuota yang diberikan tidak mencukupi. Oleh itu, kami meneliti data penggunaan yang direkodkan oleh syarikat e-hailing. Jika seseorang mempunyai penggunaan bahan api yang tinggi, kuotanya akan ditambah. Sebab itu pemandu e-hailing kini mempunyai dua tahap kuota iaitu 600 liter dan 800 liter, dan pelarasan dibuat berdasarkan data,” jelas beliau.
Di bawah skim Budi Diesel, warganegara Malaysia yang memiliki MyKad dan lesen memandu yang sah serta mempunyai kenderaan diesel persendirian dengan cukai jalan aktif yang didaftarkan atas nama sendiri layak menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter.
Kuota subsidi yang diberikan adalah sebanyak 200 liter sebulan dan dikongsi bersama skim Budi95. Kenderaan yang didaftarkan di luar negara pula tidak layak untuk mendapatkan bekalan diesel bersubsidi di bawah program tersebut.


