Tiada tarikh akhir untuk permohonan Budi Diesel, pastikan semua pengguna yang layak nikmati subsidi

Kerajaan Malaysia belum menetapkan tarikh akhir untuk permohonan Budi Madani Diesel (Budi Diesel) bagi memastikan pemilik kenderaan diesel yang layak dapat mendapat manfaat daripada program subsidi bahan api, lapor New Straits Times.

Ini bertujuan untuk memastikan pelaksanaannya adil, kerana keadaan dan situasi seseorang boleh berubah dari semasa ke semasa, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. “Mereka mungkin tidak memiliki kenderaan diesel hari ini, tetapi mungkin membeli sebuah trak pikap atau kenderaan pacuan empat roda bulan depan,” katanya.

Mekanisme subsidi yang disasarkan ini direka bentuk bagi memastikan bantuan kerajaan sampai kepada mereka yang memerlukan bantuan, sambil mengurangkan ketirisan dan penyeludupan. “Perkara yang penting adalah untuk memastikan dana kerajaan tidak diberikan kepada mereka yang sememangnya tidak layak mendapat subsidi. Dana ini mesti memberi manfaat kepada rakyat Malaysia,” kata Amir Hamzah.

Tiada tarikh akhir untuk permohonan Budi Diesel, pastikan semua pengguna yang layak nikmati subsidi

Kerajaan telah mengumumkan pada 21 Jun bahawa harga diesel bersubsidi untuk rakyat Malaysia akan diturunkan kepada RM2.10 seliter di seluruh negara mulai 1 Julai. Ini juga akan terpakai untuk Sabah dan Sarawak, di mana diesel kini dijual dengan harga RM2.15 seliter, dan harga bahan api di negeri-negeri ini akan diturunkan untuk diseragamkan dengan harga di Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, kerajaan Malaysia juga terbuka kepada cadangan untuk penambahbaikan program subsidi bahan api Diesel Budi Madani agar ia berjalan lancar, ujar beliau lagi.

“Ketika mula melaksanakan subsidi RON 95, ada yang mengatakan kuota itu tidak mencukupi. Tetapi sekarang, selepas beberapa bulan pelaksanaan, kita dapat lihat data dari Januari hingga Mei tahun ini yang menunjukkan bahawa hanya 0.76% menggunakan lebih daripada 200 liter. Jadi, biarkan sistem berjalan dahulu dan lihat sama ada ia berkesan atau tidak. Jika terdapat jurang dalam sistem, kerajaan tidak mempunyai masalah untuk menyemaknya semula (keputusan itu),” katanya.