
Menteri Kewangan Kedua, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan hari ini memberikan taklimat berkaitan kaedah pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Bermula 1 Julai ini, Budi Diesel akan diselaraskan di seluruh negara pada kadar RM2.10 seliter. Dengan pelaksanaan ini, harga diesel di seluruh negara akan diseragamkan dan tiada lagi perbezaan harga diesel antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur. Harga diesel bersubsidi ketika ini ialah RM2.15 seliter.
Beliau menjelaskan, langkah ini perlu dilakukan bagi menjamin bekalan bahan api berkenaan sentiasa mencukupi di Malaysia sebagai kesan daripada konflik di Asia Barat yang masih berterusan ketika ini, serta mengurangkan ketirisan di sempadan memandangkan harga bahan api negara ketika ini masih lagi antara yang termurah berbanding negara tetangga. Paling penting, penyasaran semula subsidi diesel ini hanya akan dinikmati oleh mereka yang layak.
Siapa yang layak dan bagaimana mereka boleh menikmati subsidi terbaru diesel ini? Ia adalah sama kaedahnya dengan agihan subsidi menerusi Budi95 sebelum ini. Bagi individu, mereka perlulah merupakan warga negara Malaysia dan mempunyai MyKad, serta mempunyai lesen memandu yang sah. Khusus untuk Budi Diesel, mereka juga perlulah juga merupakan pemilik kenderaan diesel yang berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Bagi pengguna individu yang layak tersebut, kuota bagi Budi Madani (Budi95 dan Budi Diesel) adalah 200 liter, yang akan dipaparkan melalui pendekatan sedia ada yang digunakan untuk Budi95 ketika ini. Ini bermakna, jumlah kuota keseluruhan kekal 200 liter, dan terpulang bagaimana pemilik dan penerima untuk memanfaatkannya. Pilihan bagi Budi95 atau Budi Diesel akan terpapar ketika isian di pam.
Selain itu, bagi pemilik trak pikap dan jip/SUV diesel — yang tertakluk kepada penggunaan kerja dalam perniagaan kecil misalnya dan bukan daripada versi kenderaan diesel mewah — mereka boleh membuat permohonan tambahan 100 liter lagi melalui laman rasmi www.budimadani.gov.my atau di pejabat LHDN — dan akan dipertimbangkan mengikut kes dan situasi penggunaan. Ini tidak terpakai misalnya untuk kenderaan diesel mewah/mahal, sedan atau MPV, seperti Kia Carnival, Ford Ranger Raptor, Hyundai Staria dan yang setara dengannya.
Sedikit tentang garis masa pelaksanaan pembaharuan ini. Bermula 27 Jun 2026, pengguna yang layak di Semenanjung akan mendapat akses awal diesel bersubsidi dengan kadar yang sama seperti di Sabah/Sarawak ketika ini, iaitu RM2.15 seliter, sebelum seluruh negara akan boleh mengakses diesel dengan harga RM2.10 seliter pada 1 Julai 2026. Untuk pengesahan di pam, semuanya sama seperti mana kaedah yang digunakan untuk Budi95 ketika ini.
Perlu juga dinyatakan, harga diesel bersubsidi terbaru ini adalah terpakai untuk diesel B10 yang ada dalam pasaran, sementara bagi diesel B7 pula akan kekal dengan harga apungan pasaran yang diumum secara mingguan.

Dengan pelaksanaan sistem subsidi baru ini, Kementerian Kewangan menganggarkan bahawa kira-kira 700,000 pemilik kenderaan diesel di seluruh negara (400,000 dari Semenanjung Malaysia dan 300,000 dari Malaysia Timur) akan layak menerima subsidi diesel. Ini jauh lebih berkesan daripada subsidi BUDI Diesel semasa, yang hanya memberi manfaat kepada kira-kira 180,000 pemilik, memastikan perlindungan komprehensif untuk semua pemilik kenderaan diesel di Malaysia.
Bagi pengendali pengangkutan awam dan pengangkutan komersial (kedua-dua Malaysia Timur dan Barat) yang menggunakan kenderaan diesel, permohonan boleh terus dihantar di bawah program Sistem Kawalan Subsidi Diesel (SKDS), yang membolehkan mereka membeli diesel pada harga bersubsidi dari stesen minyak menggunakan kad subsidi diesel.
Pemandu E-Hailing yang menggunakan kenderaan diesel pula boleh memohon melalui agensi berkaitan (APAD). Jika layak, mereka juga boleh menikmati diesel bersubsidi secara langsung di stesen minyak menggunakan MyKad. Selain itu, pekebun kecil yang menggunakan kenderaan diesel yang telah memohon dan layak akan terus menerima subsidi tunai bulanan sebanyak RM400 melalui program BUDI Diesel sedia ada.
Dengan pembaharuan ini, selain menjamin bekalan bahan api yang mencukupi untuk kegunaan dalam negara, kerajaan juga menganggarkan dapat jimatkan sekitar RM2 bilion setahun.
Selain itu, Amir Hamzah mengumumkan bahawa semua pemilik kenderaan diesel di Malaysia boleh bertanya tentang kelayakan mereka untuk subsidi diesel bermula serta-merta melalui telefon atau e-mel. Talian hotline untuk pertanyaan ialah 1300-88-9595, dan alamat e-mel ialah [email protected].
