Setelah membuat kemunculan di khalayak ramai semasa Malaysia Bike Show awal bulan ini, ZXMoto akan memasuki pasaran secara rasmi dengan pelancaran tiga model iaitu 820RR, 500RR dan 500F September ini.
Perkara ini diberitahu oleh Ketua Pegawai Operasi Mforce Bike Holdings Sdn Bhd, Asri Ahmad semasa majlis pembukaan MForce SmartShop Sin Lean Huat di Kemunting, Perak hujung minggu lalu. Turut diumumkan adalah harga anggarannya, yang dijangka berada bawah RM30k untuk 500RR dan 500F, dan bawah RM40k untuk 820RR.
Bagi 500RR, ia dipacu oleh enjin empat silinder DOHC 470 cc bersama transmisi enam kelajuan dengan klac jenis slipper dan quickshifter, mampu menghasilkan kuasa 84 hp pada 13,500 rpm dan tork 46 Nm pada 11,500 rpm. Tangki bahan api berkapasiti 15 liter, sementara berat keseluruhan adalah 168 kg.
Sebagai sebuah motosikal sport, ZX500RR datang dengan kelengkapan yang mengutamakan prestasi, termasuk suspensi boleh laras sepenuhnya di hadapan dan belakang, siap dengan steering damper, tetapan brek cakera berkembar dengan angkup empat piston di hadapan serta lengan ayun aluminium single-sided.
Dalam versi terkini, ZX500R hadir dengan meter TFT, sistem kawalan cengkaman dan ABS dual-channel, steering yoke aluminium serta 6-axis IMU. Reka bentuk badannya pula cukup agresif berserta sekali dengan winglet hadapan.
ZX500F pula membawa bentuk klasik, seperti motosikal naked retro Jepun, tetapi dengan kelengkapan yang lebih moden. Ia juga dipacu oleh enjin empat silinder DOHC 470 cc bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 73 hp pada 11,000 rpm dan tork 48 Nm pada 9,500 rpm.
Rim aluminium 17 inci pada model ini dipegang oleh masing-masing fork USD boleh laras dan monoshock, sementara brek pula terdiri daripada unit cakera berkembar dengan angkup empat piston di hadapan dan cakera dengan angkup satu piston di belakang.
Antara kelengkapan lain yang disediakan pada ZX500F adalah termasuk meter analog dengan paparan LCD di tengah, tangki bahan api 15.5 liter, lampu LED, ABS dual-channel serta sistem kawalan cengkaman. Berat keseluruhannya adalah 175 kg.
Model yang ditunggu ramai kerana menjadi asas kepada jentera lumba yang memenangi beberapa perlumbaan dalam kategori WSSP Superbike World Championship, iaitu 820RR digerakkan oleh enjin tiga silinder DOHC 819 cc, bersama transmisi enam kelajuan dan quickshifter dua hala, menghasilkan 135 hp pada 12,000 rpm dan tork 80 Nm pada 9,500 rpm.
Untuk mengawal kuasa ini, penunggang disediakan dengan lima mod, termasuk dua yang boleh diubah suai, manakala sistem elektronik lain yang disediakan adalah termasuk kawalan cengkaman, ABS dual-channel serta sistem tanpa kunci.
Sebagai model yang berfokuskan prestasi, ia juga dilengkapi dengan kerangka, lengan ayun serta ekzos aluminium, suspensi boleh laras sepenuhnya di hadapan dan belakang, steering damper serta tetapan cakera berkembar dengan angkup empat piston di hadapan. Berat keseluruhan model ini cuma 193 kg.
GALERI: ZXMoto 820RR
GALERI: ZXMoto ZX500RR
GALERI: ZXMoto ZX500F

