
Selepas diperkenalkan di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 pada minggu lalu, pagi ini Zeekr X 2026 secara rasminya telah pun dilancarkan untuk pasaran tempatan.
Untuk pasaran kita, crossover elektrik kompak ini didatangkan dengan dua varian iaitu Premium dengan pacuan roda belakang dan satu motor elektrik, serta Flagship yang menggunakan konfigurasi dua motor elektrik bersama sistem pacuan semua roda (AWD). Ia ditawarkan pada harga bermula RM158,800 untuk Premium dan Flagship pula berharga dari RM175,800. Sebagai perbandingan, Zeekr X terdahulu sedikit lebih murah iaitu RM155,800 bagi varian Premium dan RM172,800 untuk varian Flagship.
Bagi barisan Zeekr X 2026 ini, perubahan yang dilakukan tidak terlalu drastik. Varian Premium kini menerima reka bentuk rim aloi baharu bersaiz 19-inci, manakala varian Flagship menggunakan kemasan hitam untuk rekaan rim yang sedia ada. Zeekr turut memperkenalkan pilihan warna luaran baharu, termasuk Porcelain Pink untuk Premium serta Onyx Black dan Matte Khaki Green bagi Flagship.
Selain itu, ciri baharu yang ditampilkan ialah penggunaan butang elektronik pada tiang-B dan -C untuk membuka pintu, menggantikan pemegang pintu jenis rata yang digunakan pada model terdahulu. Pintu hadapan kini beroperasi secara automatik, manakala skrin interaktif pada tiang-B berfungsi sebagai penunjuk status pengecasan bateri.

Bahagian kabin turut menerima beberapa penambahbaikan termasuklah memperkenalkan kawalan sesentuh baharu di bawah hab stereng, sementara konsol tengah yang berkonsepkan smart console kini menempatkan dua ruang penyimpanan telefon pintar termasuk pengecas tanpa wayar Qi dengan fungsi penyejukan. Ia turut diberikan dua pemegang cawan dan ruang simpanan bertutup yang sebelum ini menggunakan rekaan terbuka.
Bukan itu sahaja, ruang perehat tangan tengah kini dilengkapi petak simpanan yang boleh dipanaskan atau disejukkan. Manakala kapasiti ruang bagasi belakang juga meningkat daripada 362 liter kepada 404 liter, memberikan tahap praktikaliti yang lebih baik untuk kegunaan harian.
Paparan digital dalam kabin kekal sama seperti sebelumnya dengan skrin infotainmen bersaiz 14.6-inci serta paparan instrumen digital pemandu berukuran 8.8-inci. Namun begitu, tempat duduk hadapan dengan fungsi pengudaraan dan urutan tidak lagi ditawarkan sebagai kelengkapan standard untuk kedua-dua varian. Walau bagaimana pun, ciri tersebut kini hanya diberikan untuk varian Flagship sahaja.

Ciri lain termasuk sistem bunyi premium Yamaha dengan 14-pembesar suara, pencahayaan ambien, roda stereng Super Fibre PU dengan fungsi pemanas, V2L 3.3 kWh untuk menjana peranti elektronik ringkas dan kemaskini OTA.
Dari sudut prestasi, Zeekr turut melakukan peningkatan pada sistem rangkaian kuasa. Varian Premium kini menghasilkan 340 PS dan 373 Nm menerusi motor elektrik tunggal di belakang, meningkat daripada 272 PS pada model terdahulu. Walaupun kuasa bertambah, pecutan 0-100 km/j kekal pada 5.8 saat.
Bagi varian Flagship, jumlah kuasa meningkat kepada 496 PS dan 573 Nm. Penambahan ini membolehkan masa pecutan 0-100 km/j ditambah baik kepada 3.7 saat, iaitu 0.1 saat lebih pantas berbanding model sebelumnya.
Varian Premium menggunakan bateri Energee LFP berkapasiti 61 kWh yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 415 km mengikut piawaian WLTP. Angka ini sedikit lebih rendah berbanding 440 km yang dicatatkan oleh model terdahulu. Sementara itu, varian Flagship mengekalkan bateri CATL NMC berkapasiti 66 kWh, namun jarak pemanduan meningkat kepada 445 km WLTP.
Keupayaan pengecasan juga menerima penambahbaikan. Varian Premium kini menyokong pengecasan pantas DC sehingga 230 kW yang membolehkan bateri dicas dari 10% hingga 80% dalam masa hanya 18 minit. Pengecasan AC pula ditingkatkan kepada 11 kW dengan tempoh pengecasan penuh sekitar 7.5 jam.
Bagi varian Flagship, sistem pengecasan AC kini menyokong sehingga 22 kW, membolehkan bateri dicas sepenuhnya dalam masa 4.5 jam. Pengecasan DC pula menyokong kuasa sehingga 150 kW yang membolehkan tahap bateri meningkat dari 10% hingga 80% dalam masa kira-kira 30 minit.
Untuk aspek keselamatan, Zeekr X 2026 dilengkapi tujuh beg udara serta rangkaian sistem bantuan pemandu termaju. Antaranya termasuk brek kecemasan autonomous (AEB), kawalan jelajah adaptif dengan fungsi henti dan gerak semula, bantuan pemusatan lorong, pertukaran lorong automatik, bantuan stereng mengelak, pemantauan titik buta, amaran trafik silang hadapan dan belakang, amaran pelanggaran belakang, AEB ketika parkir, pemantauan tahap tumpuan pemandu serta amaran pembukaan pintu.
Sekali lagi, barisan Zeekr X 2026 kini ditawarkan pada harga bermula RM158,800 untuk varian Premium dan Flagship pula berharga dari RM175,800. Kedua-duanya diberikan waranti kenderaan lima-tahun atau 150,000 km, waranti komponen bervoltan tinggi selama lapan-tahun atau 160,000 km serta Connected Services percuma untuk setahun dengan data 6GB sebulan.
