LRT3 Laluan Shah Alam bakal beroperasi mulai 29 Jun 2026 – bakal dilancarkan oleh PMX pada Ahad ini

Setelah beberapa kali menangguhkan operasinya sejak tahun lalu, akhirnya Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam akan memulakan perkhidmatannya pada Isnin hadapan, 29 Jun 2026. Perkara ini disahkan sendiri oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, seperti dilaporkan Berita Harian.

Loke turut berkata, operasi LRT3 dijadual dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahad ini (28 Jun 2026).

“Majlis perasmian (LRT3) akan dibuat Ahad ini dan operasi akan mula berkuat kuasa keesokan harinya,” katanya pada sidang media Majlis Perasmian Pembukaan Pejabat Baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Bandar Tasik Selatan sebentar tadi.

LRT3 Laluan Shah Alam bakal beroperasi mulai 29 Jun 2026 – bakal dilancarkan oleh PMX pada Ahad ini

Sepatutnya mula beroperasi pada tahun lalu, namun perkhidmatan LRT3 Laluan Shah Alam ini terpaksa ditangguhkan susulan beberapa isu berkaitan kestabilan sistem dan perisian dikenal pasti semasa fasa ujian serta pentauliahan (T&C).

Perkhidmatan LRT Laluan Shah Alam sepanjang 37.8 km ini menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya ke Johan Setia di Klang. Ia melibatkan 26 stesen termasuk Stadium Shah Alam, Pasar Besar Klang, Seri Andalas dan Johan Setia. Apabila beroperasi kelak, LRT3 mempunyai kapasiti untuk mengangkut seramai 300,000 penumpang sehari, dan kapasiti ini mungkin akan dapat dicapai dengan cepat memandangkan laluan berkenaan melalui kawasan-kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.