Vespa 946 Horse dilancar di Malaysia – harga RM109k

Didi Group selaku pengimport dan pengedar rasmi motosikal Vespa di Malaysia melancarkan model keluaran terhad 946 Horse untuk pasaran, pada harga RM108,999 tidak termasuk insurans. Untuk pasaran global, cuma 888 unit 946 Horse ini dikeluarkan dan Malaysia menerima tiga unit.

Menurut maklumat yang kami terima, semua tiga unit ini sudah pun terjual, tetapi mereka yang berminat masih boleh membuat tempahan dan Didi Group akan cuba mendapatkannya jika masih tersedia di pasaran luar.

Model eksklusif ini meneruskan tradisi siri Vespa 946 edisi terhad yang sebelum ini menampilkan tema Arnab, Naga dan Ular. Vespa 946 Horse 150 tampil dengan rekaan istimewa yang menggabungkan elemen kemewahan, seni dan warisan jenama Vespa, menjadikannya antara model paling eksklusif dalam rangkaian pengeluar tersebut.

Antara perincian istimewa bagi 946 Horse ini antaranya adalah warna coklat gelap pada badan gabungan besi dan aluminium, lencana V bersama hiasan bentuk ladam kuda warna emas di bawah tempat duduk melengkungnya, beg barangan belakang kulit asli buatan Itali, serta pemegang dan batang cermin sisi yang dibalut kulit.

Pada bahagian mekanikal, 946 Horse pasaran Malaysia ini menggunakan enjin empat strok satu silinder 150 cc suntikan bahan api, dan diberikan dengan kelengkapan seperti panel paparan LCD, lampu depan dan belakang LED serta rim 12 inci di depan dan belakang.

Tags: