Akta Pengangkutan Jalan kini telah dipinda, sertakan undang-undang baru untuk benteras lumba haram

Undian suara di Dewan Rakyat kelmarin telah meluluskan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), dengan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 selepas sesi pembentangannya dilakukan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Ini melibatkan sebanyak 41 pindaan kepada Akta 333.

Bercakap semasa perbahasan penggulungan mengenai rang undang-undang tersebut, Anthony berkata perubahan tersebut bertujuan untuk memperkukuh kuasa pengawalseliaan serta penguatkuasaan oleh pihak berkuasa. Undang-undang tersebut mengandungi pelbagai peruntukan yang merangkumi langkah penguatkuasaan yang lebih ketat, peraturan berkaitan mikromobiliti, pendigitalan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan, tindakan terhadap pemberi maklumat “tonto” dan penambahbaikan langkah keselamatan jalan raya.

Pindaan tersebut juga merangkumi langkah untuk meningkatkan kadar kompaun maksimum bagi beberapa kesalahan berkaitan trafik dari RM300 kepada RM500, bermula pada 1 Januari 2029. Sebuah seksyen baru juga diperkenal, yang menjadikan perlumbaan haram di jalanan sebagai satu jenayah — menurut beliau, ini merupakan salah satu langkah yang bertujuan bertujuan untuk mencegah kemalangan, kecederaan serta kematian di jalan raya. Di bawah Seksyen 42A baru ini, perlumbaan atau ujian kelajuan yang melibatkan dua atau lebih kenderaan bermotor di jalan awam akan menjadi kesalahan khusus.

Akta Pengangkutan Jalan kini telah dipinda, sertakan undang-undang baru untuk benteras lumba haram

Beliau berkata peruntukan terbaru itu akan membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap mereka yang terlibat dalam perlumbaan atau ujian kelajuan di jalan awam tanpa perlu menunggu kemalangan, kecederaan atau kematian berlaku. “Tujuan utama Seksyen 42A adalah untuk membolehkan tindakan penguatkuasaan awal terhadap aktiviti perlumbaan atau ujian kelajuan di jalan awam. Pindaan ini menutup kelemahan dalam undang-undang sedia ada,” katanya.

Beliau menekankan bahawa undang-undang itu bertujuan untuk menyasarkan aktiviti perlumbaan kompetitif dan ujian kelajuan yang berbahaya, dan bukannya merujuk kepada aktiviti terpencil seperti memecut atau memotong. Beliau juga berkata pindaan itu perlu memandangkan cabaran keselamatan yang dihadapi di jalan raya Malaysia sangat tinggi — dengan angka 6,537 orang terlibat dalam kemalangan jalan raya pada tahun 2025. Daripada jumlah tersebut, 4,340 melibatkan kematian, atau sebanyak 66.4%. Ini termasuklah penunggang motosikal dan penumpang mereka.

Pada masa yang sama, Anthony berkata kerajaan bersetuju bahawa perlumbaan haram tidak boleh ditangani melalui hukuman sahaja, dan golongan muda yang berminat dalam sukan permotoran harus diberikan alternatif yang sah dan lebih selamat, seperti yang dilaporkan oleh The Star.

Akta Pengangkutan Jalan kini telah dipinda, sertakan undang-undang baru untuk benteras lumba haram

Beliau berkata Kementerian Pengangkutan terbuka untuk bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta kerajaan negeri, majlis tempatan dan sektor swasta untuk meneroka pembangunan trek perlumbaan komuniti, tempat sementara dan program pembangunan bakat. “Golongan muda yang mempunyai minat dan bakat dalam sukan permotoran harus disalurkan ke dalam aktiviti yang sah, terkawal dan selamat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa penyediaan litar perlumbaan tidak boleh dilihat sebagai lesen untuk berlumba di jalan awam. “Jalan awam kekal bukan litar perlumbaan,” katanya, sambil menambah bahawa Seksyen 42A bukan sahaja terpakai kepada motosikal tetapi kepada semua kenderaan bermotor yang terlibat dalam perlumbaan haram, termasuk kereta biasa, kenderaan mewah dan kereta berprestasi tinggi, kerana tragedi yang melibatkan kenderaan berkuasa tinggi telah menunjukkan bahawa perlumbaan haram tidak terhad hanya kepada kumpulan “mat rempit”.