Perodua Ativa 2021 dilancarkan — varian X, H dan AV, 1.0L turbo dengan CVT, ASA 3.0, dari RM61k-RM72k

Perodua Ativa 2021 dilancarkan — varian X, H dan AV, 1.0L turbo dengan CVT, ASA 3.0, dari RM61k-RM72k

Akhirnya, hari ini Perodua Ativa dilancarkan secara rasmi di Malaysia dalam satu acara dalam talian, di luar kelaziman sebelum ini. Dengan ini, nama SUV kompak terbaru Perodua ini juga disahkan sebagai Ativa; dalam bahasa Portugis, ia bermaksud “aktif”. Harga rasmi juga telah diumumkan; bermula dari RM61,500 bagi varian X, kepada RM66,100 bagi varian H.

Bagi varian paling atas, AV, ia dijual pada harga RM71,200, atau RM72,000 jika dengan pilihan warna dua tona dengan bumbung hitam. Semua harga ini atas jalan, tidak termasuk insurans dan dengan pengecualian SST. Ini juga sedikit lebih rendah berbanding harga anggaran yang diumumkan sebelum ini, iaitu RM62,500 hingga RM73,400.

Banyak juga perincian lain yang sudah diketahui sebelum ini. Spyshot, ulasan ringkas pandu uji pertama antara yang pernah kami laporkan sebelum ini. Kini, tiba masanya untuk mengetahui perincian lebih dalam dan menyeluruh tentang Perodua Ativa.

Ativa menjadi model pertama Perodua bagi era Transformasi 3.0 syarikat itu, yang dikenali Perodua Smart Build. Dalam era baru ini, fokus dihalakan ke arah kemapanan dan globalisasi. Perodua akan bekerjasama lebih erat bersama rakan teknikalnya, Daihatsu, yang juga merupakan anak syarikat milik Toyota di peringkat global.

Ini model rebadge Daihatsu Rocky?

Sekali pandang, macam ya. Tapi bukan. Daihatsu Rocky dan kembarnya Toyota Raize diperkenalkan di Jepun pada penghujung 2019. Mungkin ada yang ingat, tempoh waktu yang ada sebelum Ativa dilancarkan di sini adalah masa yang diperlukan untuk mengadaptasi model berkenaan bagi pasaran Malaysia.

Perodua Ativa 2021 dilancarkan — varian X, H dan AV, 1.0L turbo dengan CVT, ASA 3.0, dari RM61k-RM72k

Tapi bukan itu ceritanya. Rocky-Ativa memang dirancang sebagai model yang berkongsi banyak perkara, dan Perodua telah terlibat di dalam rekaan dan pembangunan model SUV kompak ini sejak awal, ketika ia dimulakan tiga tahun lalu. Seperti juga yang dijelaskan oleh Presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad, ketika ini ada 50 staf Perodua yang sedang tinggal dan bekerja bersama Daihatsu di Jepun, dari bahagian rekaan dan kejuruteraan.

Maksudnya, memang ada input Perodua di dalam model yang dikongsi ini, termasuk pada Rocky. Maka sebab itulah iras rekaan dari Myvi — misalnya pada bahagian belakang — bukanlah tidak sengaja berlaku. Dan, untuk menghasilkan sebuah model yang berkongsi banyak unsur, produk akhir itu perlu memenuhi dan menepati keperluan pelbagai pasaran. Ini bukan kerja mudah.

Disebabkan itu staf Perodua diterapkan di DMC, bertujuan untuk memberikan maklum balas dari pasaran Malaysia. Prosesnya tidak lagi sama seperti pengenalan model kei car awal oleh Perodua dahulu. SUV ini memang sejak awal direncanakan untuk menjadi model pasaran luar, dan Malaysia menjadi antara pasaran penting untuk Daihatsu.

Berbanding Rocky, terdapat banyak juga kelainan dan penambahbaikan yang dilakukan terhadap Ativa. Perincian ini akan kita lihat nanti. Perkara ini dikongsikan kepada kami oleh Perodua sendiri. Ada antaranya sangat jelas, ada juga yang tidak kelihatan.

Perodua Ativa 2021 dilancarkan — varian X, H dan AV, 1.0L turbo dengan CVT, ASA 3.0, dari RM61k-RM72k

Mengapa Ativa tidak dilancarkan lebih awal? Sebenarnya, menurut Perodua, tiada kelewatan bagi pengenalan Ativa, walaupun kita dihadapkan dengan cabaran penularan Covid-19 sejak setahun lalu. Mereka memerlukan lebih banyak masa untuk buat persediaan, kerana kerja-kerja yang terlibat juga lebih banyak. Misalnya, Ativa merupakan model pertama yang menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), dan merupakan model pertama menggunakan enjin turbo bagi Perodua, serta pertama kalu juga menggunakan transmisi CVT.

Perodua sangat berbangga dengan kerja-kerja yang dilakukan bersama pembekal dan vendor yang terlibat; hasilnya, 95% daripada kandungan Ativa adalah hasil pengeluaran tempatan sendiri. Ini bahkan lebih besar daripada peratusan sama bagi model Myvi, yang merupakan sebuah model rekaan tempatan yang lahir di sini.

Enjin 1.0 liter turbonya pula dibuat di Perodua Engine Manufacturing, Rawang, sementara CVT dikeluarkan dari kilang Akashi Kikai di Sendayan, Negeri Sembilan. Transmisi ini juga kelak akan di eksport kepada Daihatsu Indonesia.

Teknologi canggih Perodua — DNGA, Turbo, CVT

Ativa menampilkan banyak ciri yang pertama kali diperkenalkan pada model Perodua setakat ini. Ia yang pertama menggunakan platform DNGA, enjin turbo yang pertama dan transmisi CVT yang pertama menggantikan kotak gear 4AT.

Perodua Ativa 2021 dilancarkan — varian X, H dan AV, 1.0L turbo dengan CVT, ASA 3.0, dari RM61k-RM72k

Kami telah huraikan tentang platfrom DNGA dengan terperinci. Ia sebuah platform terkini Daihatsu, lebih kukuh, selamat dan senyap. Ia juga sebuah platfrom modular yang direka dengan kesediaan untuk dilanjutkan penggunaannya dengan teknologi elektrifikasi. Dengan kilang Perodua kini bersedia untuk menguruskan platform DNGA ini, kita boleh jangkakan lebih banyak model baru berkualiti tinggi akan dihasilkan kelak. Ativa menjadi teraju permulaannya.

Kalau platform baru, tak bolehlah gunakan enjin lama. Oleh itu, enjin yang ada juga adalah baru; unit 1KR-VET 1.0 liter turbo, DOHC VVT tiga-silinder — keluarga enjin yang sama dengan yang digunakan Axia/Bezza, tetapi dengan tambahan pengecas turbo, yang memberikan banyak perbezaan antara keduanya.

Enjin ini menghasilkan 98 PS pada 6,000 rpm dan 140 Nm tork dari 2,400 rpm hingga 4,000 rpm. Ini menyaksikan kelebihan 30 PS dan 50 Nm daripada unit enjin sama tanpa turbo. Namun, tork maksimumnya dicapai lebih awal, bahkan lebih awal daripada enjin 1.5L Myvi (136 Nm pada 4,200 rpm). Perodua maklumkan yang enjin 1.0L turbo ini mampu memberikan prestasi yang sama seperti unit 1.5L.

Butang Power pada stereng pula memberikan lonjakan respon dari enjin dan CVT-nya, memudahkan lagi pemandu meraih kuasa ketika memotong. Kadar purata penggunaan minyak adalah 18.9 km/l dalam mod ECE. Daihatsu mendakwa 18.6 km/l bagi Rocky dalam kitaran WLTP yang lebih ketat. Ciri Idle Stop yang Perodua perkenalkan sejak pengenalan Bezza datang standard. Untuk tahu lebih lanjut tentang enjin 1KR-VET, rujuk di sini.

Perodua Ativa 2021 dilancarkan — varian X, H dan AV, 1.0L turbo dengan CVT, ASA 3.0, dari RM61k-RM72k

Selain enjin, gandingan transmisi CVT-nya juga penting. Digelar D-CVT atau Dual Mode CVT, penggunaan kali pertama CVT oleh Perodua ini juga merupakan sistem CVT “split gear” pertama di dunia. Ringkasnya, D-CVT menggabungkan pacuan tali sawat dengan pacuan gear untuk memperbaiki kecekapan, pecutan dan kesenyapannya.

Dari kelajuan rendah/sederhada, D-CVT berfungsi seperti CVT lain, dengan tork dari enjin melalui pengubah tork dan ke dalam input pulley, sebelum dipindahkan kepada output pulley melalui tali sawat dan kemudian ke roda. Bagaimanapun, dalam kelajuan tinggi, D-CVT berubah ke dalam split mode, memanfaatkan pacuan gear untuk memberikan kuasa yang lebih cekap (kurang kehilangan kuasa), dengan putaran pacuan tali sawat diturunkan dengan ketara. Turut ada mod manual dengan tujuh nisbah maya — tolak tombol gear ke kiri untuk menukarnya.

D-CVT ini juga berbeza daripada Direct Shift-CVT oleh Toyota, yang digunakan pada model seperti RAV4 dan Lexus UX. Tidak sama dengan CVT biasa yang ada pada Vios, Direct Shift-CVT ini melibatkan tambahan “launch gear” yang bertindak sebagai gear pertama bagi transmisi AT biasa. Kalau anda berminat untuk tahu lebih lanjut tentang D-CVT, sila rujuk di sini.

Yang besar tak selalunya lebih baik

Tentang dimensinya, Ativa mempunyai panjang 4,065 mm dan 1,710 mm lebar. Dengan sedikit melebihi empat meter panjang, SUV kompak ini ditakrifkan daripada SUV segmen A kepada segmen B kecil oleh Perodua. Apapun, ini bukan angka yang sama dengan Rocky; Ativa 70 mm lebih panjang. Ini disebabkan oleh rekaan berbeza untuk bampar Ativa.

Pada ketinggian 1,635 mm, model Perodua ini juga 15 mm lebih tinggi berbanding model JDM-nya. Ini pula disebabkan talaan suspensi khusus untuk Malaysia, yang lebih keras berbanding talaan untuk keselesaan yang ada pada Rocky, ia turut menaikkan sedikit kedudukan SUV ini dan memberikan jarak kelegaan tanah sebanyak 200 mm. Jarak antara roda pula ialah 2,525 mm.

Sekadar gambaran saiz Ativa, ia mempunyai tapak 170 mm lebih panjang dan 25 mm lebih sempit berbanding Myvi. Jarak antara rodanya pula 25 mm lebih panjang. Jika dibandingkan dengan Proton X50 pula, Ativa 265 mm lebih pendek dan 90 mm lebih sempit, dengan jarang antara roda kurang 75 mm. Jadi, ini menunjukkan bahawa Ativa memang sedikit lebih kecil daripada SUV segmen B biasa.

Bagaimanapun, saiz luaran biasanya bukanlah cerminan tepat bagi keluasan ruang dalaman. Sebagai contoh, ruang but Ativa ialah 369 liter, mengalahkan Proton X50 yang menyediakan 330 liter. Perlu diingat, Perodua juga menyediakan tayar ganti saiz penuh dengan rim sebenar (X50 datang dengan tayar space saver). Kit menukar tayar pada Ativa pula diletakkan di bawah kerusi penumpang depan.

Lantai but Ativa juga datang dengan dua tahap. Lantai paling rendah berikan 369 liter, lantai atasnya pula berikan kapasiti 303 liter (but Myvi ialah 277 liter). Penyandar kerusi belakang boleh direbahkan dengan nisbah 60:40. Pelitup ruang barangan bagaimanapun hanya dari jenis kain; sekadar untuk melindungi penglihatan terhadap barangan dalam but, tetapi tak boleh letak barang di atasnya.

Perodua Ativa 2021 dilancarkan — varian X, H dan AV, 1.0L turbo dengan CVT, ASA 3.0, dari RM61k-RM72k

Penyandar belakang pula boleh dilaraskan sebanyak dua tahap serta dua slot pengecas USB (varian X dan AV sahaja). Kerusi depan pula semuanya larasan manual, tetapi datang dengan rekaan yang jauh lebih baik daripada apa yang ada oleh Perodua setakat ini. Bagi varian paling tinggi, ia menggunakan balutan kulit (dengan bahagian suede), sementara varian rendah gunakan fabrik. Tidak ketinggalan, perehat lengan di depan; juga yang pertama untuk Perodua.

Dari segi ruang keseluruhan, Ativa menyediakan keluasan yang memadai. Cuma, kalau dengan Myvi atau X50, kedua-dua kereta berkenaan dirasakan lebih luas. Bahagian tempat duduk kerusi Ativa juga agak pendek. Mungkin anda perlu melihatnya sendiri depan mata barulah akan tahu bahawa ruang yang ada ini sesuai untuk kegunaan anda atau tidak.

Kelengkapan canggih, skrin besar

Senarai kelengkapan yang ada pada Ativa, terutama bagi varian AV yang paling tinggi sangat mengkagumkan. Apa lagi kalau mengambil kira harga jualannya antara RM60k-RM70k. Aspek keselamatannya sahaja memang boleh dibincangkan secara berasingan.

Beri perhatian dulu terhadap teknologi lampu yang digunakan pada Ativa. Ia menggunakan lampu utama reflektor LED, sama seperti Myvi, tetapi varian paling asas X menerima tambahan Auto High Beam (AHB). Ciri ini akan diaktifkan pada kelajuan 30 km/j ke atas, atau ketika persekitaran jadi gelap. Sistem akan mematikan lampu tinggi berkenaan sekiranya mengesan kenderaan datang.

Perodua Ativa 2021 dilancarkan — varian X, H dan AV, 1.0L turbo dengan CVT, ASA 3.0, dari RM61k-RM72k

AHB memang berguna dan ditawarkan pertama kali oleh Perodua. Varian H dan AV pula bagaimanapun menampilkan lampu utama LED dengan Adaptive Driving Beam (ADB). Ia sistem lampu tinggi pintar yang akan melaraskan LED individual dan mengawal capahan cahaya agar tidak menyilaukan pemandu kenderaan yang datang dari arah depan.

Lampu depan ini juga datang dengan lampu isyarat sequential dan lampu limpahan tepi. Ciri terakhir ini, yang turut dikenali sebagai lampu selekoh, akan menerangi sudut laluan ketika stereng dipusing ke arah yang sama lampu isyarat diberi. Ketika mengundur pula, kedua-dua lampu selekoh ini akan menyala dan menerangi persekitaran untuk memudahkan pemandu. Semua ciri ini biasanya hanya ada pada kenderaan premium yang jauh lebih mahal. Selebihnya, lampu belakang kombinasi LED adala standard untuk semua Ativa, sementara H dan AV menerima lampu kabus depan LED.

Ciri lain yang ditawarkan kepada umum ialah masukan tanpa kunci dan Push Start. Keyless Entry pada Ativa turut menerima peningkatan; tiada butang perlu ditekan pada pintu, ia kini menggunakan sensor elektrostatik yang bertindak balas dengan sentuhan.

Di dalam, skrin sentuh besar sembilan-inci terletak di tengahnya untuk sistem infotainmen. Interface sama seperti yang ada pada Myvi. Tiada sambungan Apple CarPlay atau Android Auto. Tetapi pengguna Android boleh memanarkan telefon mereka ke skrin melalui SmartLink (HDMI port). Pemandu boleh menekan butang suara pada stereng dan beri arahan melalui Google Voice.

Perodua Ativa 2021 dilancarkan — varian X, H dan AV, 1.0L turbo dengan CVT, ASA 3.0, dari RM61k-RM72k

Sistem skrin sentuh datang sekali dengan kamera undur dan larasan bunyi automatik. Varian X tidak mempunyai skrin sentuh untuk radionya, USB dan Bluetooth. Radionya juga kelihatan agak aneh dalam papan pemuka tersebut, yang memang direka untuk skrin apung yang besar. Ativa juga menjadi model pertama Perodua yang menawarkan panel instrumen digital dalam harga begitu.

Berada di sebelah kiri speedometer, skrin TFT tujuh-inci tersebut menggabungkan “rev counter” dan trip komputer. Ada empat tema paparan yang boleh dipilih. Ia juga datang dengan ciri unik menarik; pengingat hari jadi atau ulang tahun.

Ciri yang tiada pada Rocky

Ada beberapa ciri yang sebelum ini ditawarkan pada model Perodua yang lain tetapi tidak lagi ada pada Ativa. Antaranya cangkuk teh tarik dan cangkuk beg tangan, serta pengimbas Smart Tag yang semuanya ada pada Myvi. Berbanding Rocky, Ativa menerima panel digital kawalan pendingin hawa sendiri, tetapi tanpa fungsi auto. Butang M1 dan M2 yang ada itu adalah untuk memori pendingin hawa; anda boleh tetapkan pilihan yang diinginkan.

Juga unik untuk Ativa ialah butang Lock/Unlock pada konsol tengah, di sebelah brek tangan. Ini adalah peningkatan dari Rocky, yang tidak mempunyai ciri sama. Kedudukan di tengah itu juga membolehkan semua penumpang untuk mengaksesnya. Pengunci pintu automatik berdasarkan kelajuan kenderaan juga ciri baru bagi Perodua.

Perodua Ativa 2021 dilancarkan — varian X, H dan AV, 1.0L turbo dengan CVT, ASA 3.0, dari RM61k-RM72k

Selain itu, Ativa juga hadir dengan tayar ganti saiz sebenar, lengkapi dengan rim yang digunakan oleh model ini. Model Daihatsu itu juga menggunakan tailgate daripada plastik, sebaliknya Ativa datang dengan material logam — Perodua mungkin membuat pilihan ini mungkin kerana ia lebih ringkas, mungkin lebih murah dan tiada tanggapan bahawa ia berkualiti rendah.

Terakhir, cermin sisi Ativa diwarisi daripada Aruz, dengan saiz yang lebih besar dan lebar berbanding Rocky. Bahagian tiang-A juga ada sirip penstabil, yang baru saja ditambah untuk model JDM tersebut juga. Jika dilihat dari spesifikasi yang setara, Ativa RM10k lebih murah berbanding Rocky 2WD di Jepun. Ini sangat jarang berlaku. Di Jepun, pembeli boleh memilih ciri lain seperti kamera 360-darjah, Auto Parking Assist dan kawalan pendingin hawa.

Aspek keselamatan terbaik, autonompous Tahap 2

Ini sisi Ativa yang paling cemerlang agaknya. Sistem Advanced Safety Assist (ASA) yang diperkenalkan pada Myvi 2017 lalu kini diberikan peningkatan menjadi versi 3.0 pula (versi 2.0 ada pada Aruz). ASA yang terdiri daripada ciri Amaran Pra-Perlanggaran (PCW), Brek Pra-Perlanggaran (PCB atau AEB), Amaran Pergerakan Depan (FDA) dan Kawalan Salah Operasi Pedal (PMC) kini ditawarkan standard bagi semua varian Ativa — biasanya hanya untuk varian paling tinggi.

Sistem ini juga telah dikemaskini, misalnya ia sudah boleh mengesan kenderaan dua roda bagi PCW dan PCB (pengesanan pejalan kaki ditambah dalam ASA 2.0) dan julat operasi PCW kini antara 4-120 km/j, naik 20 km/j.

Perodua Ativa 2021 dilancarkan — varian X, H dan AV, 1.0L turbo dengan CVT, ASA 3.0, dari RM61k-RM72k

PCB dan AEB kini boleh digunakan tanpa had. Sebelum ini, selepas tiga kali diaktifkan, enjin perlu dihidupkan semua sekiranya ingin ciri ini aktif. ASA juga kini berfungsi pada waktu malam, hanya untuk kereta dengan lampu belakang menyala. Juga ditawarkan standard pada varian asas X ialah cii Amaran Penukaran Lorong dan Penghindaran.

Ativa AV juga mempunyai ciri pemanduan autonomous Tahap 2 dengan tambahan fungsi seperti Kawalan Mengekal Lorong (LKC), Peninjau Titik Buta (BSM), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) dan Kawalan Melayar Adaptif (ACC, berfungsi dari 30 hingga 125 km/j, tiada pergerakan perlahan dan tidak berfungsi dalam kesesakan).

Selebihnya, senarai aspek keselamatan lain juga mengkagumkan. Ada enam beg udara untuk semua varian, ABS, EBD, BA, VSC, Lampu Isyarat Berhenti Kecemasan, Hill Hold Assist dan Isofix semuanya kini jadi ciri standard dari varian X lagi. Lampu peringatan tali keledar belakang ada di siling. Varian asas juga ada sensor undur, sementara varian H menerima tambahan sensor depan dan kamera undur.

Dengan ini, aspek keselamatan memang menjadi kelebihan Ativa, yang turut dijangka akan menerima penarafan lima-bintang ASEAN NCAP. Proton X50 misalnya bermula dengan hanya empat beg udara bagi varian paling asas, dan semua ciri ADAS hanya ada pada varian Flagship RM103k. Maka Perodua ada banyak kelebihan dalam penawaran keselamatan ini.

Harga dan warna

Pilihan warna bagi varian X dan H terdiri daripada Glittering Silver, Granite Grey dan Cobalt Blue, dengan varian H turut ditawarkan dalam warna Pearl Diamond White dan Pearl Delima Red. Bagi AV pula, ada pilihan Glittering Silver, Granite Grey, Pearl Diamond White dan Pearl Delima Red serta pilihan bumbung hitam bagi dua warna Pearl tersebut (dengan tambahan kos sekitar RM800).

Sekadar recap, Perodua Ativa dijual pada harga RM61,500 bagi varian X, diikuti RM66,100 bagi varian H dan RM71,200 bagi varian AV. Semua ini harga atas jalan tidak termasuk insurans, dengan pengecualian cukai SST. Tempoh jaminan pula kekal lima-tahun/150,000 km, serta tempoh servis bagi Ativa pula ialah setiap 10,000 km.

Jadi, inilah dia perincian lengkap penawaran Perodua Ativa 2021. Apa pandangan anda? Spesifikasi dan galeri ada di bawah.

    Perodua Ativa 1.0T X 2021
    Kelengkapan standard:

    Mekanikal

  • Enjin 1.0 liter 1KR-VET VVT-i DOHC
  • 996 cc turbocas tiga-silinder petrol
  • 98 PS pada 6,000 rpm, 140 Nm tork dari 2,400 hingga 4,000 rpm
  • D-CVT dengan tujuh nisbah maya
  • Pacuan roda depan
  • Enjin Start/Stop automatik
  • Penggunaan minyak 18.9 km per liter
  • Cakera brek berliang (depan), dram (belakang)
  • Suspensi MacPherson strut (depan), torsion beam (belakang)
  • Luaran

  • Lampu utama reflektor dengan lampu tinggi automatik
  • Palang perak atas gril, palang bawah krom
  • Rim 16-inci perak dengan tayar Goodyear Assurance Triplemax 2 205/65
  • Cermin sisi hitam larasan elektrik dengan lipatan manual
  • Pemegang pintu warna badan
  • Tiang-A dan B hitam
  • Lampu belakang LED
  • Antena sirip jerung
  • Kemasan pintu kargo perak
  • Pilihan warna Glittering Silver, Granite Grey dan Cobalt Blue
  • Dalaman

  • Sistem tanpa kunci
  • Butang Push Start
  • Stereng Urethane dengan butang Power
  • Corong pendingin hawa tengah kemasan perak
  • Pemegang pintu hitam
  • Kawalan pendingin hawa digital dengan butang memori
  • Butang kunci sentral di tengah
  • Kerusi balutan fabrik
  • Kluster instrumen analog dengan paparan multi-info
  • Radio dengan sambungan Bluetooth
  • Empat pembesar suara
  • Dua slot USB
  • Penyandar belakang lipatan 60:40 dan boleh direbahkan
  • Lantai but dua tahap (303 liter hingga 369 liter)
  • Tayar ganti saiz penuh
  • Keselamatan

  • Enam beg udara
  • ABS dengan EBD dan Brake Assist
  • Kawalan kestabilan
  • Brek kecemasan autonomous dengan pengesanan pejalan kaki dan pengayuh (kini hingga 120 km/j)
  • Lane Departure Warning and Protection
  • Pedal Misoperation Control (PMC)
  • Front Departure Alert (FDA)
  • Pengingat tali keledar depan dan belakang
  • Isofix di belakang
  • Sensor parkir
  • Perodua Ativa 1.0T H 2021
    Tambahan:

    Luaran

  • Lampu utama LED dengan signal sequential, lampu selekoh dan Adaptive Driving Beam (ADB)
  • Lampu kabus depan LED
  • Gril dengan dua palang krom
  • Skid plate perak di depan dan belakang
  • Rim aloi 17-inci dua tona dengan tayar Bridgestone Turanza T005A 205/60
  • Cermin sisi lipatan automatik elektrik
  • Kemasan pintu kargo krom
  • Pilihan warna Pearl Diamond White dan Pearl Delima Red
  • Dalaman

  • Stereng balutan kulit
  • Kawalan audio pada stereng
  • Kemasan sudut corong pendingin sudut
  • Kemasan perak konsol tengah
  • Pemegang pintu warna perak
  • Perehat lengan tengah
  • Paparan kluster instrumen tujuh-inci
  • Skrin sentuh infotainmen sembilan-inci dengan SmartLink
  • Satu port HDMI
  • Dua slot USB
  • Keselamatan

  • Sensor parkir depan
  • Kamera undur
  • Perodua Ativa 1.0T AV 2021
    Tambahan:

    Luaran

  • Pemegang pintu krom
  • Bumbung hitam untuk Pearl Diamond White dan Pearl Delima Red
  • Dalaman

  • Corong pendingin sudut kemasan merah
  • Pemegang pintu krom
  • Tuil gear krom
  • Butang brek tangan krom
  • Ruang storan konsol tengah
  • Kerusi balutan kulit buatan dengan suede
  • Enam pembesar suara
  • Perakam video digital
  • Filem keselamatan Llumar
  • Keselamatan

  • Kawalan melayar adaptif
  • Bantuan mengikut lorong
  • Peninjau titik buta
  • Amaran lintasan trafik di belakang

Perodua Ativa 1.0L Turbo AV 2021

Perodua Ativa 1.0L Turbo H 2021

Perodua Ativa 1.0L Turbo X 2021

Perodua Ativa 2021 dengan kit Gear Up

Risalah spesifikasi dan perincian Perodua Ativa 2021 & Gear Up

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

 

Add a comment

required

required