Pandemik Covid-19 kita ketahui telah memberi kesan meluas kepada semua orang. Bagi sektor automotif misalnya, paling tidak, banyak perancangan bagi pengenalan model baru menjadi caca-marba. Banyak yang dirancang terpaksa diubah atau dibatalkan.

Bagaimanapun, menuju penghujung 2020, beberapa model kenderaan segmen massa sudah diperkenalkan untuk pasaran Malaysia. Ambil contoh segmen B bagi sedan; kini Honda City 2020 dan Nissan Almera 2020 juga telah diperkenalkan, walaupun aktiviti pandu uji medianya masih tertangguh. Tidak lupa dengan segmen B SUV melalui Proton X50, yang juga baru dilancar secara rasmi dan diumumkan harganya minggu lalu.

Namun, ada satu lagi model SUV segmen B yang sepatutnya kita jangkakan, tetapi masih belum ada ura-ura mengenainya. Apa lagi kalau bukan model SUV Perodua D55L. Apa jadi dengan perancangan model ini? Bertenang, kerana seperti yang ramai tahu, Perodua lebih gemar buat kerja diam-diam.

Dalam perkembangan terbaru, Perodua D55L dengan pelekat samaran penuh telah dilihat oleh seorang pembaca kami, Abu Al Farouq, di luar Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya. Walaupun D55L ingin berselindung di sebalik pelekat samaran berkenaan, namun trailer yang mengangkutnya pula tidak segan-segan terpampang nama Perodua – walaupun untuk model Aruz – semacam sengaja ingin menarik perhatian dan memberitahu bahawa model samaran berkenaan ialah dari Perodua.

Tak dapat dipastikan apa yang model berkenaan akan lakukan di sana, mungkin pemeriksaan, atau mungkin juga sekadar sebuah “stunt” untuk menarik perhatian orang ramai agar kembali “mengingati” SUV Perodua yang masih belum diperkenalkan itu. Adakah D55L semakin dekat untuk siap sepenuhnya dan dilancarkan?

Ogos lalu, CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad mengesahkan, dalam perancangan asal syarikat itu sebelum ini pun, D55L tidak akan dilancarkan pada tahun ini. Ia bukan ditunda kerana pandemik dan kesan PKPB yang sedang kita jalani ketika ini, sebaliknya memang tidak direncanakan untuk diperkenal kepada umum tahun ini, walaupun Perodua memang berupaya melancarkan sebuah model baru setiap tahun. Dan, untuk tahun 2020, belum ada model baru yang diperkenalkan.

“Saya tak boleh kata bila, tetapi dalam perancangan asal kami ia tidak akan dilancarkan pada tahun ini. Walau bagaimanapun, kerana kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sebagainya, kami perlu merangka semula jadual, dan ketika ini kami belum lagi membuat keputusan bila mahu melancarkannnya ,” jelas beliau sebelum ini.

Beliau juga secara berkias sebelum ini telah mengesahkan bahawa model baru selepas ini akan menggunakan platform DNGA – ini platform yang sama digunakan pada kembar Perodua D55L, Daihatsu Rocky untuk pasaran Jepun. Apa yang didedahkan oleh Perodua sebelum ini mungkin petunjuk bahawa D55L, bukan sahaja berkongsi platform dengan Daihatsu Rocky, malah hampir pasti akan diberikan enjin 1KR-VET 1.0 liter turbo tiga-silinder berkuasa 98 PS/140 Nm bersama transmisi CVT automatik serupa dengan kembar JDM-nya itu.

Jadi, sekali lagi, adakah Perodua D55L kini semakin hampir dan telah bersedia untuk diperkenalkan di pasaran Malaysia?