Proton X50 dilancarkan – bermula RM79k – RM103k

Proton X50 dilancarkan – bermula RM79k – RM103k

Ok, tak payah menceceh panjang lebar untuk mukadimah – hari ini Proton X50 dilancarkan secara rasmi, dengan harga yang telah pun diumumkan. Seperti yang anda tahu sebelum ini, SUV segmen-B pertama dari Proton tersebut ditawarkan dalam empat varian berbeza.

Model paling asas Proton X50 Standard dijual pada harga RM79,200, diikuti varian Executive dijual pada harga RM84,800, model Premium pula berharga RM93,200, manakala versi tertinggi Proton X50 Flagship dijual pada harga RM103,300. Ini adalah harga untuk semenanjung Malaysia, manakala di harga Sabah dan Sarawak semua varian adalah RM2,000 lebih tinggi.

Semua harga yang dinyatakan ini juga adalah harga atas jalan tanpa insuran dan pengecualian SST hingga 31 Disember, dan ia berserta perlindungan waranti selama lima tahun tanpa had perbatuan dan pakej internet 4G 1GB/sebulan percuma selama lima tahun. Manakala untuk 30,000 pelanggan pertama yang menempah X50 sebelum 31 Disember turut menerima kos upah percuma untuk tiga kali servis.

Dari kesemua varian yang ditawarkan, hanya varian tertinggi Flagship dijana oleh enjin 1.5 liter tiga silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (GDI) menghasilkan 177 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 255 Nm pada takat 1,500 rpm hingga 4,000 rpm.

Proton X50 dilancarkan – bermula RM79k – RM103k

Untuk varian lain, ia masih diberikan enjin 1.5 liter Turbo tetapi dengan sistem suntikan bahan api pelbagai titik (MPI) menjana 150 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 226 Nm bermula 1,500 rpm hingga 4,000 rpm.

Walau bagaimanapun, kesemua jenis enjin hanya dipadankan dengan kotak gear automatik klac berkembar jenis basah tujuh-kelajuan 7-DCT yang dibangunkan bersama Geely dan Volvo, memacu hanya roda hadapan. Gandingan ini membolehkan model Flagship memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat.

Untuk penggunaan bahan api pula, enjin Turbo MPI akan memberikan kadar penggunaan bahan api 6.5 liter untuk setiap 100 km (15.4 km/l), manakala model dengan enjin 1.5L T-GDI pula mampu mencatatkan bacaan lebih rendah iaitu 6.4 liter setiap 100 km (15.6 km/l).

Proton X50 dilancarkan – bermula RM79k – RM103k

Proton X50 ini diasaskan dari platform B-segment Modular Architecture (BMA) Geely-Volvo yang menampilkan suspensi Topang McPherson di hadapan dan juga Torsion Beam di belakang. Ia dihasilkan dalam dengan dimensi 4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,609 mm tinggi, bersama jarak roda 2,600 mm. Ruang but pula dihasilkan dengan kapasiti 330 liter.

Sebagai perbandingan, dimensi X70 pula adalah 4,519 mm panjang, 1,831 mm lebar dan 1,694 mm tinggi, dengan jarak roda 2,670 mm. Manakala berbanding pesaing utamanya Honda HR-V, X50 adalah 4 mm lebih pendek, 10 mm lebih lebar, 4 mm lebih tinggi serta jarak roda yang 10 mm lebih pendek.

Pada bahagian muka, X50 dilengkapi dengan rekaan gril infinite weave dengan jalur bingkai warna merah dengan logo Proton baharu di tengahnya. Ia diapit lampu utama LED dengan dua jalur DRL di dalamnya. Semua varian X50 dibekalkan dengan lampu hadapan LED, manakala varian Executive ke atas diberikan fungsi lampu automatik dan juga lampu kabus LED.

Proton X50 dilancarkan – bermula RM79k – RM103k

Dari sisi, anda boleh lihat ‘otot-otot’ yang bermula pada penutup bonet hadapan bersambung pada fender sisi, dan kemudian ia mengalir ke pintu, mewujudkan satu garis bahu yang cukup jelas dan memberikan imej lebih teguh. Cermin sisi paling belakang diberikan garisan bawah seperti X70, manakala tiang-D menerima kemasan hitam bagi membuatkan bumbung nampak seakan terapung.

Kesemua varian X50 menerima kit badan agresif seperti Binyue varian Sport di China dengan ciri seperti bampar hadapan lebih garang dengan gril lebih besar, skirt sisi lebih menyerlah dan diffuser bawah bampar belakang yang juga lebih besar dengan kemasan seakan gentian karbon.

Tetapi X50 tidak diberikan spoiler bumbung bersaiz besar seperti Binyue kerana Proton merasa ia terlalu ‘melebih-lebih’, namun ia tetap diberikan spoiler dengan rekaan dua slot. Emblem ‘T-GDI’ diberikan pada bahagian bawah pintu model Flagship, manakala model lain dibiarkan kosong.

Enam pilihan warna ditawarkan untuk SUV segmen-B ini iaitu Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Ocean Blue, Citric Orange dan Passion Red. Namun, bukan semua warna ini ada ditawarkan untuk semua varian. Untuk varian asas Standard, ia hanya hadir dengan tiga pilihan warna iaitu Snow White, Armour Silver dan Ocean Blue.

Untuk varian satu tangga lebih tinggi iaitu Executive pula akan ditambah dengan warna Jet Grey dan Citric Orange. Manakala untuk varian tertinggi Premium dan Flagship, kelima-lima warna ini boleh dipilih dengan tambahan satu lagi warna iaitu warna hero, merah yang benar-benar merah Passion Red. Namun hanya model Flagship tampil dengan badan dua-tona di mana bumbungnya dihitamkan.

Pada bahagian roda, model Standard dan Executive diberikan rim aloi 17-inci kemasan perak dengan tayar bersaiz 215/60R17, manakala varian Premium dan Flagship menerima rim aloi 18-inci kemasan dua tona bersama tayar 215/55R17.

Di dalam, rekaan yang sama seperti yang pernah dilihat pada Binyue masih dikekalkan. Ia direka dengan menampilkan kemasan aluminium brushed serta corong pendingin hawa yang kelihatan seperti bahagian belakang enjin jet, bersama ruang storan terlindung di bahagian belakang konsol tengah persis rekaan-rekaan dari Volvo, serta hendal pemegang untuk penumpang hadapan pada konsol terowong.

Pemandu menerima paparan panel instrumen digital dengan skrin LCD bersaiz tujuh-inci. Untuk sistem infotainmen pula, model Premium dan Flagship menerima skrin beresolusi 1920×720 dengan saiz 10.25-inci, manakala varian lebih rendah diberikan skrin beresolusi 1024×600 dengan saiz hanya 8-inci.

Kedua-dua skrin tersebut dikuasakan dengan sistem Geely Key User Interface (GKUI) 19 sama seperti Binyue Pro. Namun untuk hubungan 4G, versi lebih rendah menampilkan slot kad eSIM pada pemain utama, manakala versi tertinggi diberikan eSIM yang terletak di dalam kotak telemetik.

Proton X50 dilancarkan – bermula RM79k – RM103k

Sistem ini dikatakan lebih responsif dengan pemproses quad-core dan unit pemproses grafik (GPU) khas untuknya, serta hadir dengan lebih banyak fungsi. Ini merupakan antaramuka baru jika dibandingkan dengan apa yang ada pada X70, tetapi kekal menampilkan aplikasi yang sama – antaranya ialah navigasi atas talian AMAP baharu (tidak lagi menggunakan aplikasi Baidu) dan aplikasi streaming muzik Joox.

Apple CarPlay dan Android Auto masih tidak disediakan dalam kedua-dua sistem tersebut, namun ia hadir dengan fungsi mirroring QDLink, yang membolehkan aplikasi telefon pintar anda tidak kira iOS atau Android dapat digunakan pada skrin infotainmen X50 ini.

Semua varian X50 dilengkapi dengan sistem arahan suara “Hi,Proton”. Namun untuk varian Standard dan Executive, kawalan sistem berkenaan hanya terhad kepada sistem infotainmen sahaja seperti sistem pada Persona dan Iriz. Manakala pada varian Premium dan Flagship, ia menampilkan kawalan untuk sistem elektronik lain seperti sistem pendingin hawa, tingkap berkuasa dan lain-lain sama dengan sistem pada X70.

Proton X50 dilancarkan – bermula RM79k – RM103k

Dua model tertinggi X50 ini juga menerima sistem kawalan jauh menggunakan telefon pintar menerusi aplikasi Proton Link seperti X70. Dengan sistem ini, anda boleh menghidupkan enjin terlebih dahulu sebelum masuk ke kereta untuk tujuan memanaskan enjin. Jika anda tidak masuk ke kereta dalam masa 10 minit, enjin akan dimatikan secara automatik.

Namun, versi pada X50 ini telah ditambah baik di mana selain menghidupkan enjin, ia juga boleh mengawal tetapan sistem pendingin hawa seperti suhu dan tempoh masa operasi dari jarak jauh. Dan jika anda malas mahu menggunakan aplikasi telefon pintar, kunci kawalan jauh X50 ini juga turut disertakan dengan suis penghidup enjin yang diberikan untuk semua varian, sama seperti Honda Civic FC dan Honda Accord 1.5 Turbo.

Proton X50 juga nampaknya diberikan elemen infinite weave pada kabin di mana rekaan yang diinspirasikan dari ukiran kayu pada rumah tradisional melayu tersebut boleh dilihat pada kemasan penutup tweeter dan juga gril pembesar suara pada pintu. Namun pada suis larasan ketinggian lampu hadapan dan pemalap instrumen serta pada kemasan panel suis/lampu pada bumbung masih kelihatan elemen rekaan tembok besar China sama seperti Binyue.

Untuk membezakan setiap varian, versi asas standard menerima upholsteri fabrik dan paparan dari kamera undur pada skrin infotainmen, manakala untuk versi Executive menerima roda stereng yang dibalut kulit bersama tempat duduk dengan upholsteri kulit sintetik. Kedua-dua varian permulaan ini diberikan tema dalaman berwarna hitam sepenuhnya.

Manakala untuk versi Premium, ia ditambah dengan rel bumbung, lampu selamat datang, tempat duduk pemandu larasan kuasa enam-hala, kamera pemantau 360 darjah dan juga sistem pemantau tekanan tayar. Untuk varian tertinggi Flagship pula hadir dengan tambahan bumbung panaromik, cermin pandang belakang anti-silau automatik dan juga sistem pengelap cermin automatik.

Varian tertinggi ini turut menampilkan upholsteri kulit dengan tema warna merah-hitam pada bahagian kabin. Balutan-balutan kulit tersebut bukan hanya pada tempat duduk, malah turut diberikan pada papan pemuka dan juga panel pintu yang juga menggunakan material sentuhan lembut.

Kesemua varian Proton X50 diberikan sistem pendingin hawa zon tunggal, namun model Standard dan Executive hanya hadir dengan sistem manual, manakala versi Premium dan Flagship diberikan sistem automatik.

Proton X50 dilancarkan – bermula RM79k – RM103k

Beralih kepada fungsi keselamatan, model asas diberikan empat beg-udara, sistem brek ABS, EBD bersama BA, kawalan kestabilan elektronik, Traction Control, bantuan mula mendaki, kawalan menurun bukit, Auto Brake Hold serta cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX di belakang. Model Executive ke atas pula diberikan enam-beg udara.

Manakala untuk model Flagship, ia menampilkan fungsi pemanduan sendiri (autonomous) tahap 2, terdiri dari cruise control adaptif (semua varian lain hanya menerima cruise control biasa) dengan fungsi stop & go, bantuan kekal tengah di lorong, bantuan kekal lorong dan juga sistem bantuan parkir yang membolehkan ia diparkir sendiri oleh komputer pada kedudukan selari dan berserenjang.

Proton menawarkan dua pakej aksesori untuk X50 ini iaitu pakej Urban dan pakej Utiliti, di mana kedua-duanya menawarkan fungsi pintu tailgate belakang berkuasa elektrik yang tidak diberikan secara standard pada semua varian X50.

Untuk pakej Urban yang bernilai RM3,500, ia turut datang sekali dengan peranti SmartTag bina dalam, pelapik kaki jenis coil, dan juga pelindung cahaya matahari magnetik. Manakala untuk pakej Utiliti yang berharga RM3,300 pula, ia terdiri dari pelapik kaki PVC, tray untuk ruang but dan juga kemasan scuff plate pada atas bendul pintu.

Buat masa sekarang ke semua aksesori ini termasuk pintu tailgate belakang berkuasa masih belum ditawarkan secara ala-carte, dan anda perlu memilih antara salah satu pakej, dan kami turut diberitahu bahawa ia akan dipasang oleh pengedar dan bukan di kilang.

Pakej-pakej ini juga adalah ditawarkan secara opsyen untuk pelanggan yang berminat sahaja, dan bukan wajib untuk semua pembeli Proton X50 – perkara ini disahkan oleh Proton sendiri.

GALERI:Proton X50 1.5T Flagship 2020

GALERI:Proton X50 1.5T Premium 2020

GALERI:Proton X50 1.5T Executive 2020

GALERI:Gambar rasmi Proton X50 2020

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required