iCaur Malaysia pertingkat jaminan bateri, komponen EV kepada 10 tahun untuk model daftar tahun 2026

iCaur Malaysia mengumumkan telah menyerahkan lebih 3,000 kenderaan kepada pelanggan di seluruh negara, tidak sampai setahun selepas pelancaran model pertamanya, 03, pada September 2025. Malahan, model V23 turut mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila muncul sebagai kenderaan elektrik bukan nasional paling laris di Malaysia bagi bulan Mei 2026.

Selain itu, iCaur kini menduduki tangga ketiga sebagai jenama EV paling laris di Malaysia, berdasarkan jualan bagi bulan Mei serta jumlah jualan terkumpul sepanjang tahun ini. Bagi menghargai sokongan pelanggan, syarikat itu mengumumkan peningkatan pakej jaminan untuk komponen utama sistem elektrik kenderaan.

Semua model iCaur yang didaftarkan pada tahun 2026 akan menerima jaminan selama 10 tahun atau 200,000 km bagi bateri penggerak, unit pacuan elektrik dan komponen voltan tinggi. Peningkatan ini merupakan penambahbaikan daripada pakej terdahulu yang menawarkan perlindungan selama lapan tahun atau 160,000 km. Sementara itu, jaminan kenderaan masih dikekalkan pada tempoh tujuh tahun atau 150,000 km.

iCaur Malaysia pertingkat jaminan bateri, komponen EV kepada 10 tahun untuk model daftar tahun 2026

Dalam usaha memperkukuhkan kehadiran jenama di Malaysia, iCaur kini memiliki 21 pusat jualan di seluruh negara. Antara yang terbaru ialah pembukaan bilik pameran butik di Pavilion Bukit Jalil yang dikendalikan oleh Rover Drive Sdn Bhd, serta pusat jualan lengkap di Seremban yang diuruskan oleh NexV Synergy Sdn Bhd.

Syarikat itu menyasarkan untuk mengembangkan rangkaian jualannya kepada 30 cawangan menjelang akhir tahun ini bagi meningkatkan akses pelanggan terhadap produk dan perkhidmatan selepas jualan. Ketika ini, iCaur menawarkan dua model untuk pasaran Malaysia iaitu 03 yang dijual pada harga sekitar RM130,000 dan kini dipasang dalam negara (CKD), serta V23 yang ditawarkan pada harga antara RM120,000 hingga RM133,000.

Kedua-dua model tersebut menggunakan rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya. Namun begitu, iCaur turut memberi bayangan bahawa model dengan teknologi Range Extender Electric Vehicle (REEV) mungkin akan diperkenalkan ke pasaran Malaysia pada masa akan datang.