Bersempena penganjuran After Work Fest 2026 di Stadium Merdeka Sabtu ini, 25 Julai, Rapid KL akan melanjutkan waktu operasi bagi Laluan MRT Kajang dan Monorel sehingga 12.30 tengah malam bagi memudahkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam ke acara tersebut.
After Work Fest dipanggil sebagai festival muzik tahunan berskala besar dan tahun ini bakal menampilkan barisan artis dari Taiwan, Jepun dan Malaysia. Selain persembahan muzik, acara yang berlangsung sepanjang hari itu turut menempatkan lebih 60 gerai jualan.
Dengan kehadiran pengunjung yang dijangka tinggi, kawasan sekitar Stadium Merdeka dijangka mengalami kesesakan lalu lintas yang lebih teruk daripada biasa. Keadaan mungkin menjadi lebih mencabar sekiranya hujan, justeru penggunaan pengangkutan awam dilihat sebagai pilihan yang lebih praktikal.
Bagi pengunjung yang ingin ke lokasi acara menggunakan tren, stesen MRT Merdeka merupakan stesen yang paling hampir dengan Stadium Merdeka, manakala pengguna Monorel boleh turun di Stesen Maharajalela. Selain itu, waktu operasi Stesen Pasar Seni di Laluan MRT Kajang turut dilanjutkan sehingga 12.30 tengah malam.
Rapid KL turut memaklumkan penumpang yang ingin meneruskan perjalanan ke Laluan MRT Putrajaya boleh membuat pertukaran tren di Stesen TRX. Bagi stesen lain, waktu operasi adalah seperti biasa dan hanya penumpang yang berada di dalam sistem akan dibenarkan keluar selepas waktu terakhir perkhidmatan.
Orang ramai juga diingatkan supaya menggunakan kad Touch ‘n Go ketika menaiki perkhidmatan rel dan memastikan baki kad mencukupi bagi mengelakkan sebarang kesulitan ketika perjalanan.


