Berita berkenaan Toyota mahu menghasilkan semula kereta sport enjin tengah iaitu Toyota MR2 bukan perkara baharu, di mana ia sudahpun kedengaran hampir sedekad yang lalu. Sejak itu masih tiada yang benar-benar konkrit berkenaan kelahiran semula kereta sport berkenaan sehinggalah Toyota mendedahkan model konsep GR Yaris M Concept ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2025.
Dari luar GR Yaris M Concept berkenaan masih lagi nampak seperti GR Yaris, namun apa yang berbeza enjinnya telah dialihkan ke bahagian belakang pemandu seperti konfigurasi klasik sebuah MR2. Dan kini prototaip ujian yang lebih ‘real’ nampaknya telah muncul di mana Toyota telah mengujinya di litar Fuji Speedway baru-baru ini!
Imej unit prototaip berkenaan telah dimuat naik di akaun X dengan nama You_SuiKoyoAZ, yang menurutnya ternampak jentera berkenaan diuji ketika berkunjung ke Fuji Motorsports Museum yang terletak di Litar Fuji Speedway berkenaan. Bagi memastikan imej ini bukan janaan AI, ia turut disertai dengan video di mana ia mengambil selekoh terakhir Fuji Speedway dan menuju ke laluan lurus utama.
走行動画 pic.twitter.com/5LxZVE7FCC
— ∬なのぽよ∬ →? (@You_SuiKoyoAZ) July 22, 2026
Prototaip kali ini memang nampak seperti kereta sport enjin tengah sebenar dengan badan yang rendah, bahagian belakang yang lebar, jarak antara roda yang jauh serta juntaian belakang yang sangat pendek. Juga terdapat liang udara yang besar pada fender roda belakang dan juga pada cermin sisi belakang, yang lazimnya untuk menyalurkan udara ke ruang enjin yang terletak di bahagian belakang kereta.
Namun apa yang nampak ia belum bersedia untuk diproduksi adalah pada bahagian lampu di mana lampu hadapan dan belakang nampaknya masih ‘dipinjam’ dari Toyota GR Yaris.
Berkemungkinan besar unit prototaip ini sudahpun menggunakan enjin baharu 2.0 liter empat-silinder turbo digelar sebagai G20E yang disumbat pada GR Yaris M-Concept sebelum ini, didakwa boleh ditala bagi menghasilkan kuasa antara 300 hingga 400 PS dan tork maksima sehingga 550 Nm.
GR Yaris M-Concept berkenaan juga bukan hanya diuji di litar unit R&D Toyota, malah ia juga turut dibawa untuk berlumba dalam siri perlumbaan Super Taikyu Endurance di Jepun, digandingkan dengan kotak gear Gazoo Racing Direct Automatic Transmission (GR-DAT) lapan kelajuan bersama sistem pacuan empat roda GR-Four.
Kembali kepada jentera prototaip yang diuji di Fuji Speedway ini, ia mungkin dari versi jentera lumba dalam spesifikasi GT4, berdasarkan rollcage, set roda dan juga sayap jenis swan-neck pada bahagian belakang. Tidak mustahil Toyota akan mendedahkan kereta ini kelak dalam bentuk produksi jalan raya dan versi lumba sebenar seperti kereta sport GR GT sebelum ini yang turut menampilkan versi perlumbaan dalam spesifikasi GT3.
Sekiranya benar, maka GR MR2 ini benar-benar akan meneruskan tugas GR Supra yang telah pun dihentikan pengeluarannya, bukan sahaja sebagai kereta sport produksi yang boleh dibeli di bilik pameran, malah turut akan menggalas tugas sebagai kereta lumba GT4 yang akan disediakan oleh divisi program perlumbaan pelanggan Gazoo Racing.
GALERI: Toyota GR Yaris M Concept di Tokyo Auto Salon 2025


Toyota GR Supra
dari RM698,000
Toyota Yaris Cross
dari RM99,900
Toyota Hilux
dari RM226,300
Toyota Urban Cruiser
dari RM198,000
Toyota bZ4X
dari RM220,000
Toyota GR Yaris
dari RM315,600
Toyota GR Corolla
dari RM368,950
Toyota Camry
dari RM221,800
Toyota Corolla Cross
dari RM133,800