Jetour rancang jadikan Malaysia hab eksport dan R&D

Jetour Malaysia terus menyatakan komitmen untuk menjadikan Malaysia sebagai hab eksport serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi rantau Asia Pasifik (APAC). Perkara itu sekali lagi ditegaskan ketika pelancaran Jetour T1 baru-baru ini, sekaligus mengulangi perancangan yang pernah diumumkan apabila syarikat itu memilih Berjaya Assembly sebagai rakan pemasangan tempatan (CKD) April tahun lalu.

Ketika pengumuman tersebut dibuat, Jetour memaklumkan pihaknya merancang pelaburan berjumlah RM841 juta yang merangkumi sektor pembuatan, R&D dan pembangunan rangkaian pengedarnya di Malaysia. Pelaburan itu dijangka mewujudkan lebih 3,200 peluang pekerjaan selain mencapai kadar komponen tempatan melebihi 40%.

Ketika ini, semua model Jetour yang dipasarkan di Malaysia dipasang dalam negara, termasuk Dashing, VT9, T1 dan T2, sekaligus memperkukuhkan peranan negara sebagai hab pengeluaran utama jenama itu di rantau ini.

Bagi strategi eksport, Jetour akan memberi tumpuan kepada pasaran Brunei dan Afrika Selatan sebagai destinasi awal memandangkan kedua-duanya menggunakan konfigurasi pemanduan sebelah kanan (RHD). Pada masa hadapan, syarikat itu turut merancang mengeksport kenderaan keluar dari Malaysia ke beberapa lagi pasaran termasuk Thailand, New Zealand, Australia, Vietnam dan Mexico.

Jetour rancang jadikan Malaysia hab eksport dan R&D

Senarai tersebut merangkumi negara yang menggunakan konfigurasi pemanduan sebelah kanan dan kiri (LHD), seterusnya menunjukkan kemampuan fasiliti pengeluaran tempatan memenuhi keperluan pelbagai pasaran.

Usaha itu bakal disokong oleh sebuah fasiliti pemasangan CKD baru di Chery Smart Auto Park, Lembah Beringin, yang dijadualkan mula beroperasi pada penghujung tahun ini. Walaupun fasiliti tersebut akan beroperasi secara berasingan daripada Chery Corporate Malaysia, ia masih terletak dalam kawasan yang sama.

Dalam masa sama, Malaysia turut dipilih sebagai lokasi pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) Jetour bagi rantau Asia Pasifik. Pusat ini akan memanfaatkan data serta maklum balas pengguna dari beberapa pasaran utama seperti Indonesia, Afrika Selatan, Thailand dan Australia bagi membangunkan model yang lebih memenuhi keperluan pengguna di rantau ini.

Dengan kepakaran dalam pelbagai teknologi rangkaian kuasa termasuk enjin pembakaran dalaman (ICE), plug-in hybrid (PHEV) dan kenderaan elektrik bateri (BEV), Jetour menyasarkan untuk membangunkan model yang bukan sahaja sesuai untuk pasaran pemanduan sebelah kanan dan kiri, malah disesuaikan dengan keadaan jalan raya, cita rasa pengguna serta keperluan khusus setiap pasaran.