Pusingan ketiga untuk siri perlumbaan ‘one make’ Kejuaraan Toyota Vios Gold (sebelum ini dikenali sebagai Vios Challenge) 2026 bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang Petronas hujung minggu ini, di mana perlumbaan kedua terakhir bagi musim ke-sembilan ini akan berlangsung sekali dengan pusingan ketiga Malaysia Touring Car Championship (MTCC).
Ini bermakna perlumbaan kali ini akan menggunakan sepenuhnya SIC sepanjang 5.543 km, dan ia berlangsung selama sejam untuk setiap perlumbaan, berbanding hanya menggunakan separuh litar dan perlumbaan hanya 30 minit untuk dua pusingan sebelum ini. Dengan cabaran lebih getir ini, setiap pelumba juga berpeluang untuk mengumpul mata dua kali lebih banyak berbanding pelumbaan-pelumbaan sebelumnya.
Seperti biasa Vios Challenge akan menyajikan saingan dari tiga kategori iaitu Super Sporting (profesional), Sporting (Amatur) dan juga Rookie (pelajar-pelajar program pembangunan bakat muda Toyota Gazoo Racing Malaysia). Dan untuk dua kategori teratas, ia kini didominasi oleh pelumba-pelumba pelapis negara yang sedang memburu gelaran juara, dan ada di antaranya adalah alumni TGR Rookies sendiri.
Bagi kategori Super Sporting, bekas juara Rookie 2022 dan juara Sporting Class 2023, Nabil Azlan dari pasukan Laser Motor Racing kini sedang mendahului kejuaraan selepas dua pusingan dengan 58 mata. Namun ia belum cukup selesa buat Nabil kerana rakan sepasukannya Ady Rahimy hanya ketinggalan 9 mata di belakang, manakala juara Super Sporting musim lalu iaitu Freddie Ang dari pasukan Telagamas Toyota berada di kedudukan ke-3 dengan 32 mata.
“Perlumbaan selama 1 jam dan format trek penuh pastinya menjadikan perlumbaan ini lebih mencabar. Ia sangat bergantung kepada konsistensi, siapa yang mampu menguruskan kehausan tayar mereka dengan baik sepanjang jarak perlumbaan, kecergasan, dan keadaan cuaca yang sangat baik,” kata Nabil yang sedang memburu gelaran juara Super Sporting pertamanya.
Nabil menamatkan perlumbaan di tempat ke-4 dalam kedudukan keseluruhan tahun lepas, dan ke-5 dalam penampilan Super Sporting pertamanya pada tahun 2024. Manakala mata yang dikumpul setakat ini adalah hasil dari tiga tempat ke-2 dan satu tempat ke-3 yang diperolehi dalam dua pusingan pertama musim ini.
Ady Rahimi yang menamatkan kejuaraan di tempat ke-3 keseluruhan musim lalu juga mempunyai sasaran yang sama seperti Nabil. Untuk musim ini, Ady telah menang satu perlumbaan dan memperolehi dua tempat ke-3 dalam Pusingan 1 dan 2.
“Kami masuk ke Pusingan 2 secara strategik, menamatkan perlumbaan dengan mata sebanyak mungkin tetapi perlu juga mengambil kira bahawa lebih banyak kemenangan akan disertakan sekali dengan akibat buruk kerana terpaksa membawa lebih banyak balast (penalti berat) ke Pusingan 3. Dengan mata berganda yang dipertaruhkan dalam Pusingan 3, ini adalah keputusan taktikal untuk memastikan kami tidak memulakan hujung minggu perlumbaan dengan kerugian besar,” kata Ady.
Bagi kelas Sporting pula, persaingan sengit dijangka bakal disaksikan antara pendahulu kejuaran Justin Toh dari pasukan BAE Racing by ES Yang dengan sejumlah 49 mata terkumpul, dan juga seorang lagi bekas TGR Rookies iaitu Elson Lew dari pasukan Hong Huat X Armada KK Racing serta Adam Mikail dari pasukan G-Mart Best Autosport di mana masing-masing mengumpul 46 dan 44 mata.
Juga untuk kelas ini, Loke Yin Yi iaitu juara dua kali KRA SKILLDRVN One Make Race Series akan membuat penampilan pertamanya dalam Kejuaraan Toyota Vios Gold. Pelumba wanita berkenaan akan memandu untuk pasukan Unihub Auto-DMW 1 Automobile yang mendapat kerjasama Kegani Racing Academy (KRA).
Unihub Auto Sdn Bhd dan DMW 1 Autombile kedua-duanya merupakan pengedar sah untuk jenama Toyota di Malaysia, masing-masing beroperasi di Puchong, Selangor dan Kudat, Sabah.
“Kerjasama Unihub dengan KRA amat menyokong komitmen berterusan UMW Toyota Motor untuk menyumbang kepada pembangunan sukan permotoran di Malaysia sejak ia mula-mula melangsungkan Vios Challenge pada tahun 2017. Kami telah melihat bagaimana Program Pembangunan Bakat Muda Toyota Gazoo Racing Malaysia telah memainkan peranan penting dalam melatih pemandu muda sejak enam tahun lalu dan apa yang kami harap dapat lakukan sekarang adalah membuka pintu kepada Vios Challenge untuk bakat yang lebih berpotensi di luar ekosistem semasa. Ini adalah sumbangan kecil kami untuk terus memartabatkan sukan permotoran Malaysia,” kata Penolong Pengurus Besar Unihub Auto Sdn Bhd Brandon Lee.
Manakala bagi kelas Rookie, ia kini didahului oleh pelumba simulator Imran Iskandar berumur 17-tahun dengan 63 mata, hanya berbeza dua mata berbanding pencabar terdekat iaitu Ervin Lim.
“Ini merupakan kedudukan yang baik untuk memulakan Pusingan 3, tetapi saya belum terlalu memikirkan tentang kejuaraan keseluruhan. Kita anggap sajalah ia satu lagi perlumbaan pada hujung minggu. Kami semua (pelumba Rookie musim ini) telah bekerja keras untuk berada di tempat kami hari ini dan sejujurnya, setiap individu sangat kompetitif,” kata Imran.
Untuk anda yang mahu menonton di Litar Sepang, akses untuk Grand Stand utama SIC adalah percuma. Namun jika tidak berkesempatan, siaran langsung perlumbaan yang akan berlangsung pada 25 dan 26 Julai ini akan disiarkan menerusi laman-laman media sosial Toyota Gazoo Racing Malaysia.



Toyota Vios
dari RM90,600
Toyota Yaris Cross
dari RM99,900
Toyota Hilux
dari RM226,300
Toyota Urban Cruiser
dari RM198,000
Toyota bZ4X
dari RM220,000
Toyota GR Yaris
dari RM315,600
Toyota GR Corolla
dari RM368,950
Toyota Camry
dari RM221,800
Toyota Corolla Cross
dari RM133,800