Sime Darby Auto ConneXion-Ford (Auto ConneXion- Ford), pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia, telah memperluaskan lagi barisan baharu Ranger dengan melancarkan varian Platinum, Sport 2.0 dan 3.0 serta XL terbaharu hari ini.
Dalam masa yang sama, ia juga bagi meraikan kejayaan syarikat ini selepas lebih 24,000 unit Ford Ranger generasi baharu telah pun berada di jalan raya di Malaysia sejak dilancarkan pada 2022, sekali gus membuktikan kedudukannya sebagai salah satu trak pikap unggul yang semakin popular di negara ini.
Untuk varian baharu ini, Ranger Platinum ditawarkan pada harga bermula RM205,888, manakala Ranger Sport 3.0L pula RM159,888, Ranger Sport 2.0L berharga RM145,888 dan dari RM127,888 bagi Ranger XL. Kesemuanya adalah harga atas jalan tanpa insurans.
Bagi Ranger Platinum, ia dilengkapi enjin diesel turbo V6 3.0L yang menghasilkan 250 PS pada 3,250 rpm serta tork 600 Nm pada 1,750 hingga 2,000 rpm. Dipadankan dengan transmisi automatik 10-kelajuan dengan Select Shift dan Electro-Magnetic Transfer Case (EMTC) untuk sistem 4X4 Shift. Bagi sistem suspensi, ia menggandingkan Double Wishbone dengan Coil Spring untuk hadapan dan Leaf Spring di belakang.
Bagi penampilannya, ia diberikan gril Platinum yang tersendiri, lampu utama projektor LED dengan larasan automatik, lampu nyalaan siang C- Clamp LED, lampu kabus hadapan/belakang serta lampu belakang dengan unit LED, roda aloi 20-inci yang dibaluti tayar profil 255/55 R20, sistem rak fleksibel disertai landasan bumbung Swing-in-Place dan ciri Power Roller Shutter, scuff plate, pemijak tepi dan bilah pengelap cermin dengan pengesan hujan. Untuk warna luarannya, ia diberikan tiga pilihan iaitu Acacia Green, Meteor Grey dan Absolute Black.
Untuk ruang kabinnya yang dinaiktaraf dengan sentuhan Platinum termasuk menampilkan kemasan dalaman Ebony Black, tempat duduk kulit dengan fungsi pemanas dan pengudaraan untuk pemandu serta penumpang hadapan yang dipadankan dengan kemasan timbul eksklusif Platinum. Tempat duduk pemandu diberikan larasan kuasa 10-hala dengan fungsi memori, sama seperti bahagian penumpang hadapan tetapi tidak disertakan dengan fungsi memori.
Ciri kelengkapan lain yang diberikan termasuklah sistem bunyi Bang & Olufsen lapan-pembesar suara, kawalan suhu elektronik dwi-zon, parkir brek elektronik, unit utama skrin sesentuh 12-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, Bluetooth, butang penghidup enjin dan kemasukan tanpa kunci, kluster instrumen digital berwarna 12.4-inci, pengecas Qi tanpa wayar dan cermin pandang belakang auto kelam.
Bagi varian Sport pula, ia diberikan pilihan enjin 3.0L V6 Turbo Diesel dan 2.0L Turbo Diesel, trak ini menggandingkan prestasi dan kegunaan praktikal harian dengan sempurna. di mana varian 3.0L didatangkan dengan sistem pacuan empat roda penuh masa, manakala varian 2.0L dilengkapi sistem pacuan empat roda separuh masa.
Untuk varian 3.0L, ia diberikan enjin 3.0 liter V6 Turbo Diesel berkuasa 250 PS pada 3,250 rpm dan tork 600 Nm pada 1,750-2,000 rpm yang juga dipadankan dengan transmisi automatik 10-kelajuan dengan Select Shift dan Electro-Magnetic Transfer Case (EMTC) untuk sistem 4X4 Shift.
Manakala bagi varian 2.0 pula, ia digandingkan dengan enjin 2.0 liter turbo diesel dengan hamburan kuasa 170 PS pada 3,500 rpm dan tork 405 Nm pada 1,750-2,500 rpm, yang digandingkan bersama transmisi automatik 10-kelajuan dengan Select Shift dan Electronic Shift On The Fly (ESOF).
Kedua-duanya berkongsikan elemen luaran yang sama termasuk gril hadapan hitam dengan bampar hadapan yang sama dengan warna badan, lampu hadapan projektor LED, pelekat badan yang diperbaharui dan rekaan baharu bagi roda aloi 18-inci yang dibaluti tayar profil 255/65 R18. Bagi warna luaran pula, kedua-duanya diberikan pilihan rona Lightning Blue dan Absolute Black, namun versi 2.0 menerima warna eksklusif Artic White, manakala 3.0 turut diberikan rona Command Grey.
Bagi bahagian kabinnya pula, ia juga berkongsi ciri kelengkapan yang sama, antaranya, roda stereng empat-jejari, tuil brek tangan, Lane Changing Mode, unit utama skrin sesentuh 12-inci dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, empat port pengecas USB, empat-pembesar suara, butang penghidup enjin dan kemasukan tanpa kunci dan kawalan suhu elektronik dwi-zon.
Ranger XL menampilkan penjana kuasa 2.0 liter turbo tunggal dengan output 170 PS pada 3,500 rpm dan tork 405 Nm pada 1,750-2,500 rpm dan kotak gear automatik enam-kelajuan kini digantikan dengan transmisi automatik 10-kelajuan dengan Select Shift dan Electronic Shift On The Fly (ESOF).
Untuk penampilan luarannya, ia diberikan kemasan hitam termasuk pada bahagian gril hadapan, bampar belakang, pembuka pintu dan tailgate serta perumah cermin sisi. Selain itu, ciri kelengkapan lain termasuklah bampar hadapan yang sama warna badan, lampu utama halogen dengan larasan manual, lampu belakang juga unit halogen, lampu kabus belakang dan roda keluli 16-inci yang dibaluti tayar 255/70 R16. Model ini diberikan tiga pilihan warna badan iaitu Arctic White, Meteor Grey dan Absolute Black.
Ciri kelengkapan bagi kabinnya pula termasuklah roda stereng empat-jejari balutan material Polyurethene, tuil parkir brek, unit utama skrin sesentuh 12-inci dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, empat port pengecas USB, empat-pembesar suara, paparan kluster TFT lapan-inci, kawalan suhu elektronik dwi-zon, tempat duduk balutan fabrik, larasan manual empat-hala bagi tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan serta satu ciri baharu yang ditampilkan iaitu kamera undur.
Bagi aspek keselamatan dan bantuan pemandu, varian Platinum diberikan tujuh unit beg udara dan enam unit untuk varian Sport 2.0L, 3.0L dan juga XL. Ciri standard lain terdiri daripada Bantuan dan Amaran Ketibaan Lorong, Sistem Pengesan Titik Buta, Bantuan Lampu Tinggi, Kepekaan Trafik Lintasan Belakang, Pemusatan Lorong, Pengehad Kelajuan, Sistem Pemantauan Tekanan Tayar, Kamera Panorama 360-darjah, Kawalan kelajuan Aktif, ABS dengan EBD, Kawalan Kestabilan kenderaan, Sistem Kawalan Cengkaman, Bantuan Brek, Kawalan Mula Mendaki, Kawalan Menurun Bukit, Rollover Mitigation (ROM), Trailer Assist dan sensor parkir hadapan dan belakang.
Kesemua varian ini berukuran 5,370 mm panjang, 1,918 mm lebar dan 1,884 mm tinggi dengan jarak roda 3,270 mm, juga dengan jarak kelegaan tanah mencecah 230 mm serta mampu meredah air sedalam maksimum 800 mm. Ia juga mampu membawa muatan berkapasiti hingga 1,000 kg dan keupayaan tunda sehingga 3,500kg.
Menurut Auto ConneXion- Ford, sempena dengan promosi pelancaran barisan model baharu ini, pelanggan yang membeli Ranger XL dan Ranger Sport 2.0L selewat-lewatnya pada 31 Ogos 2026 akan menerima Ford Front HD1080p Dashcam secara percuma, manakala pelanggan yang membeli Ranger Sport 3.0L dan Ranger Platinum 3.0L akan menikmati Pelan Perkhidmatan Lanjutan Asas (Basic Extended Service Plan, ESP) selama dua-tahun secara percuma.
Ford Ranger Platinum 3.0 2026
Ford Ranger Sport 3.0 2026
Ford Ranger Sport 2.0 2026
Ford Ranger XL 2026



Ford Ranger
dari RM115,888
Ford Ranger Raptor
dari RM248,888
Ford Everest
dari RM281,888