Ketika pelancaran SUV Jetour T1 semalam, Jetour Malaysia turut mengumumkan bahawa ia bakal melancarkan sebuah model ‘SUV off-road premium’ baharu ke pasaran tempatan. Rasanya tidak sukar meneka model apa yang bakal dilancarkan tersebut, kerana ketika berlangsungnya Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 bulan lalu, jenama SUV dari China berkenaan sudahpun mempertontonkan sebuah model yang menepati ciri-ciri tersebut iaitu Jetour G700.
Model ini telah membuat penampilan sulungnya di China ketika Auto Shanghai 2025 berlangsung, dan kemudian ia didedahkan kepada media Malaysia ketika di bawa ke Auto Beijing 2026 pada April lalu, bagi memberikan petunjuk bahawa ia bakal dilancarkan di sini pada masa hadapan.
G700 dihasilkan jauh dengan dimensi panjang 5,198 mm, lebar 2,050 mm, tinggi 1,956 mm dengan jarak roda 2,870 mm. Jadi ia jauh lebih besar dari T2 yang hanya berukuran panjang 4,785 mm, lebar 2,006 mm, tinggi 1,870 mm dengan jarak roda 2,800 mm.
Berbanding T2 yang masih diasaskan dari casis unibody, G700 adalah SUV off-road tulen yang dibina dengan asas casis ladder frame. Sesuai dengan asasnya, G700 ini menampilkan rekaan badan yang berkotak, diberikan pelindung-pelindung badan plastik yang tebal, rel bumbung yang berfungsi serta tayar gantian bersaiz penuh digantung pada pintu tailgate belakang dengan engsel di bahagian tepi.
Rekaan badan, sistem mekanikal dan tetapan suspensi pada G700 ini direka agar ia mempunyai jarak kelegaan tanah 230 mm, sudut approach 35-darjah, sudut berlepas 28-darjah dan sudut breakover 21-darjah agar ia boleh melepasi pelbagai halangan pada laluan off-road, serta meredah air pada kedalaman 900 mm.
Pada bahagian dalaman, G700 masih mengekalkan rekaan berkotak seperti model-model off-road Jetour yang lain. Ia turut disertakan dengan satu skrin panjang berukuran 35.5-inci merentangi hampir sepenuhnya bahagian atas papan pemuka yang memberikan fungsi paparan instrumen dan pelbagai informasi lain, bersama satu lagi skrin infotainmen bersaiz 15.6-inci pada bahagian tengah.
Praktikaliti juga masih dikekalkan di mana butang-butang fizikal untuk kawalan pendingin hawa diletakkan pada konsol tengah, bersama pad pengecas tanpa wayar dan juga satu lagi platform yang mengumpulkan suis-suis fizikal untuk pilihan mod pemanduan serta pemilih pacuan.
Di China SUV besar ini juga menampilkan pilihan konfigurasi lima atau enam tempat duduk di mana untuk versi dengan tiga baris tempat duduk diberikan kerusi kapten pada baris kedua. Ia juga hadir dengan skrin 17.3-inci yang boleh dilipat pada bumbung khas untuk penumpang kabin belakang, tempat duduk hadapan dengan fungsi pemanas, pengalir udara dan pengurut, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, sistem bunyi Lexicon dengan 18-pembesar suara serta pelbagai pilihan upholsteri dari bahan kulit dan sued yang boleh dipilih.
Untuk unit rangkaian kuasa pula, G700 ini digerakkan dengan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) yang menampilkan enjin 2.0 liter empat-silinder turbo berkuasa 211 PS dan tork maksima 340 Nm bersama kotak gear khusus hibrid (DHT) dua-kelajuan, sebuah motor elektrik berkuasa 286 PS/360 Nm untuk memacu gandar hadapan, dan juga sebuah lagi motor elektrik berkuasa 408 PS/435 Nm bagi memacu gandar belakang.
Ini memberikan kemampuan pacuan semua roda di mana agihan tork antara roda hadapan dan belakang dibuat sepenuhnya secara elektrik tanpa sebarang penghantaran mekanikal, dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 904 PS dan tork maksima 1,135 Nm.
Kuasa berkenaan membolehkan SUV bersaiz gergasi ini memecut dari keadaan pegun sehingga 100 km/j hanya dalam masa 4.6 saat, mencapai kelajuan maksima 180 km/j, serta mampu membuat pusingan tank dan juga ‘merayap’ dalam kelajuan rendah pada laluan off-road. Jetour turut mendakwa bahawa G700 PHEV ini mampu mencapai pengunaan petrol dengan kadar serendah 1.39 liter untuk perjalanan 100 km dalam kitaran ujian WLTC.
Motor-motor elektrik berkenaan menerima kuasa dari bateri litium logam fosfat (LFP) berkapasiti 34.13 kWj keluaran CATL, yang turut membolehkan ia bergerak dengan hanya kuasa elektrik pada jarak 100 km dalam kitaran ujian CLTC. Secara keseluruhan, dengan kapasiti tangki petrol 100 liter dan juga satu cas penuh bateri, Jetour mendakwa bahawa G700 ini boleh bergerak sejauh 1,000 km.
Walaupun hanya PHEV dan bukan EV penuh, G700 beroperasi dengan asas elektrikal 800 volt. Ini membolehkan ia menerima pengecas pantas DC sehingga 170 kW yang membolehkan cas elektrik memenuhi bateri dari 30-80% dalam masa hanya 10 minit.
Jetour G700 ini dibekalkan dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Tahap 2. Kamera 360-darjah juga diberikan bukan hanya digunakan untuk keselamatan, malah turut membantu dalam pemanduan laluan sukar dengan menyediakan pandangan ‘casis lutsinar’ untuk mengesan halangan di bawah lantai.
Bila agaknya model ini dilancarkan? Seperti yang telah kami laporkan sebelum ini, G700 mungkin hanya tiba di bilik-bilik pameran di Malaysia pada tahun hadapan. Ia juga berkemungkinan akan dijual pada harga RM250,000, atau sekitar RM100,000 lebih mahal dari T2. Jika benar anggaran harga tersebut, adakah anda rasa Jetour G700 ini berbaloi untuk dimiliki dengan perincian-perincian dibekalkan?
GALERI: Jetour G700 di KLIMS 2026
GALERI: Jetour G700 di Auto China 2026






Jetour T2
dari RM156,800
Jetour VT9
dari RM119,350
Jetour Dashing
dari RM106,800