Kotak gear DCT 7-kelajuan pada Proton X70 lebih efisien dari DSG Volkswagen, penuhi standard Volvo

Kotak gear DCT 7-kelajuan pada Proton X70 lebih efisien dari DSG Volkswagen, penuhi standard Volvo

Sebelum ini, Proton telah mengesahkan bahawa X70 versi CKD yang akan dilancarkan tahun ini bakal dilengkapi kotak gear klac berkembar (DCT) automatik tujuh-kelajuan bagi menggantikan transmisi auto konvensional pada versi CBU. Oleh itu, sekumpulan media telah diterbangkan ke Ningbo, China bagi mengetahui lebih lanjut berkenaan kotak gear yang dibangunkan oleh Geely dan Volvo berkenaan.

Kotak gear DCT ini adalah dari jenis klac basah, dihasilkan di kilang Geely Chunxiao dan Changing di wilayah Zhejiang, China. Ia kini sudahpun digunakan dalam pasaran bagi digandingkan dengan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo yang terdapat pada Volvo XC40 dan berberapa model divisi mewah Geely iaitu Lynk & Co.

Buat masa ini, kotak gear tersebut juga telah dipadankan pada enjin 1.8 liter turbo untuk SUV Boyue Pro. Boyue standard yang seiras X70 untuk pasaran China masih lagi menggunakan kotak gear auto enam-kelajuan yang dihasilkan pengeluar kotak gear dari Australia (juga kini milik Geely), Drivetrain Systems International (DSI). Jadi spesifikasi padanan enjin dan kotak gear pada X70 ini adalah unik dan ekslusif untuk Proton.

Kotak gear DCT baharu ini mempunyai saiz yang hampir sama dengan kotak gear auto DSI sebelum ini, tetapi ia telah dihasilkan dengan lebih ringan; hanya 75 kg. Bukan itu sahaja, ia juga mampu menukar gear dengan kelajuan jauh lebih pantas – sepantas 0.3 saat! – serta mampu menahan tork maksima sehingga 330 Nm.

Kotak gear DCT 7-kelajuan pada Proton X70 lebih efisien dari DSG Volkswagen, penuhi standard Volvo

Dengan rekaan yang lebih efisien juga, kotak gear DCT ini mampu membebaskan tork 15 Nm pada enjin, membolehkan bacaan kuasa untuk Proton X70 CKD nanti adalah 181 hp/300 Nm. Ia juga dipadankan dengan tuil penukar gear dan pedal penukar gear pada stereng menggunakan teknologi shift-by-wire.

Bila menyebut berkenaan kotak gear DCT, sudah tentu ramai yang dihantui isu kotak gear DSG keluaran Volkswagen kan? Menurut Geely, mereka telah menghasilkan transmisi DCT dengan klac basah mereka ini dengan mengambil kotak gear DSG VW jenis klac kering sebagai kayu aras.

Geely yakin dengan penggunaan klac basah yang jauh lebih lasak, mereka mampu mengelakkan masalah-masalah kerosakan yang berlaku pada kotak gear VW. Mereka juga menghasilkan kotak berkenaan dengan memenuhi seliaan ketahanan Volvo yang jauh lebih ketat, dan direka bagi boleh beroperasi lebih dari 350,000 km, berbanding standard industri yang hanya mensyaratkan 240,000 km.

Selain itu, kotak gear DCT Geely-Volvo ini juga didakwa mampu beroperasi jauh lebih efisien dari kotak gear klac kering VW (yang mencatatkan kadar kecekapan lebih tinggi dari transmisi DSG klac basah), dengan kadar kecekapan purata keseluruhan 94.6% serta mampu mencapai kadar maksimum 97%.

Kotak gear DCT 7-kelajuan pada Proton X70 lebih efisien dari DSG Volkswagen, penuhi standard Volvo

Kadar kecekapan maksimum yang dicatatkan berkenaan adalah hampir sama dengan kotak gear manual, dan ia dibuktikan dengan Boyue Pro 1.8 2WD pasaran China yang mampu mencapai penggunaan bahan api 7.5 liter untuk setiap 100 km. Menurut Geely lagi, kotak gear baharu ini turut lebih efisien dari kotak gear konvensional lapan-kelajuan (88%) dan enam-kelajuan (89%) keluaran Aisin.

Bukan alang-alang ujian yang telah dilakukan oleh Geely untuk transmisi baharu ini. Menurut mereka, kotak gear ini telah diuji dalam keadaan cuaca ekstrem. Ujian cuaca panas telah dijalankan di Turpan (China), Alice Spring (Australia) dan Afrika Selatan, manakala ujian cuaca sejuk pula dibuat di Jokkmokk dan Colmis (Sweden) serta di Heihe dan Yakeshi (China).

Mereka turut menjalankan ujian kawasan altitud tinggi di Gunung Kunlum dan Alps, ujian cuaca basah dibuat di Hainan, manakala ujian pemanduan bandar pula dijalankan di Chongqing (Shanghai, China) serta Stockholm dan Gothenburg (Sweden). Secara keseluruhan, kotak gear ini telah diuji sejauh lebih dari sembilan juta kilometer.

Bagi menambahbaik ketahanan dan juga kecekapan kotak gear ini, ia turut direka bagi beroperasi dengan menggunakan cecair transmisi berkelikatan rendah. Ini adalah mustahak kerana kotak gear DCT sememangnya menggunakan minyak gear berbeza dari cecair ATF yang digunakan pada transmisi auto biasa.

Walau bagaimanapun, Proton masih lagi belum memberikan perincian penuh terhadap spesifikasi cecair transmisi berkenaan, tetapi mereka telah mengesahkan bahawa sela masa penukaran minyak tersebut adalah lebih kurang sama dengan ATF, dan harganya juga adalah lebih murah dari apa yang digunakan oleh X70 CBU buat masa sekarang.

Proton X70 CKD ini adalah salah satu antara dua model utama yang akan dilancarkan oleh Proton tahun ini selain SUV segmen-B X50, dan pelancarannya dijangka akan dibuat dalam masa terdekat.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required