Diperkenalkan kali pertama pada tahun 2006, Yamaha 135LC kini sudah berada dalam pasaran Malaysia selama 20 tahun, melalui beberapa kali perubahan dan peningkatan. Bagi menyambut pencapaian itu, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) mengeluarkan empat warna baru bagi versi terkini, Fi kapcai tersebut.
Warna yang dipanggil sebagai Matador Red, Tank White dan Samba Green dijual pada harga RM8,298, manakala warna istimewa sempena ulang tahun, Celeste (biru muda) dengan rim warna emas dijual RM500 lebih tinggi, menjadikannya RM8,798. Semua harga ini tidak termasuk insurans dan didatangkan dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.
Setiap pembelian 135LC juga didatangkan dengan kunci cakera brek bernilai RM100 secara percuma, sementara versi ulang tahun ke-20 (Celeste) ditambah dengan bakul plastik hadapan yang mempunyai plat nombor keluaran menandakan keistimewaannya.
Bahagian lain motosikal ini masih lagi sama seperti waktu ia dilancarkan dahulu, bermula dengan enjin yang menggunakan unit satu silinder 135 cc dengan sistem suntikan bahan api dan penyejukan cecair, dipadankan bersama kotak gear empat kelajuan untuk menghasilkan kuasa 12.5 hp pada 8,000 rpm, dan tork maksimum 12.2 Nm.
Untuk sistem brek, kedua-dua bahagian menggunakan tetapan cakera, dengan angkup satu piston masing-masing di hadapan dan belakang, sementara suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan monoshock di belakang. Hanya pemula elektrik sahaja yang disediakan pada motosikal ini, dan tiada penendang kaki.
Pada bahagian meter, ia menggunakan unit digital LCD seperti Y16ZR. Berat keseluruhan 135LC Fi adalah 109 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 4.6 liter serta rim bersaiz 17 inci, dengan tayar saiz 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang.


























