Proton X70 dilancar secara rasmi – harga bermula RM99,800 hingga RM123,800, 4 varian ditawarkan

Proton X70 dilancar secara rasmi – harga bermula RM99,800 hingga RM123,800, 4 varian ditawarkan

SUV pertama dari Proton – X70 akhirnya dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohammed di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. Boleh dikatakan semua perincian berkenaan SUV segmen-C tersebut sudah pun didedahkan oleh Proton, cuma yang belum adalah harganya sahaja.

Seperti diketahui, empat varian ditawarkan untuk model ini, bermula dengan varian asas Standard 2WD dijual pada harga RM99,800, varian Executive 2WD berharga RM109,800, varian Executive AWD berharga RM115,800 manakala varian tertinggi Premium 2WD berharga RM123,800. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan, tanpa insuran, termasuk waranti lima-tahun/150,000 km. Istimewa untuk pelanggan di Sabah dan Sarawak, Proton X70 akan dijual di dua negeri Borneo berkenaan dengan harga yang sama dengan di semenanjung.

Dengan pengumuman harga ini, sah Proton menawarkan sebuah SUV segmen-C seperti Honda CR-V, Mazda CX-5 dan Volkswagen Tiguan, pada harga sekitar SUV segmen-B yang lebih kecil seperti Honda HR-V dan Mazda CX-3. Malah model varian tertinggi X70 juga dijual jauh lebih murah dari Toyota C-HR yang juga dari segmen-B. Versi-versi awalan ini juga adalah dari unit CBU dari China, sementara produksi model CKD dengan lebih banyak perincian tersendiri dari Proton dihasilkan di Tanjung Malim hanya akan bermula tahun hadapan.

Proton X70 dilancar secara rasmi – harga bermula RM99,800 hingga RM123,800, 4 varian ditawarkan

Proton X70 mempunyai dimensi 4,519 mm panjang, 1,831 mm lebar, 1,694 mm tinggi serta jarak roda 2,670 mm. Bagi memudahkan anda membuat perbandingan, SUV Proton ini adalah 77 mm lebih pendek dan 24 mm kurang lebar dari CR-V, tetapi 15 mm lebih tinggi dan mempunyai jarak roda 10 mm lebih panjang dari SUV segmen-C Honda tersebut.

Kesemua varian yang ditawarkan ini berkongsi enjin dan transmisi yang sama iaitu enjin petrol empat silinder 1.8 liter TGDI turbo berkuasa 181 hp dan tork maksima 285 Nm digandingkan dengan kotak gear enam kelajuan automatik. Enjin ini diambil terus dari asas X70 iaitu Geely Boyue dan ia perlu diselenggara menggunakan minyak pelincir dari Shell.

Untuk model 2WD dengan berat 1,700 kg, X70 mencatatkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 10.5 saat manakala penggunaan bahan api kitaran campuran pula adalah 7.8 l/100 km (bersamaan 12.8 km/l). Tiga pilihan mod memandu boleh dipilih oleh pemandu iaitu Normal, Eco dan Sport.

Proton X70 dilancar secara rasmi – harga bermula RM99,800 hingga RM123,800, 4 varian ditawarkan

Ketiga-tiga mod ini akan melibatkan perubahan warna pada bahagian meter; warna putih bagi mod Normal, beralih ke Eco dalam warna hijau dan terakhir mod Sport dalam warna merah untuk memudahkan pemandu serta mewujudkan kelainan rasa pemanduan bagi setiap mod yang ada.

Proton mengambil pendekatan yang hampir sama dengan Honda CR-V, di mana versi dengan sistem pacuan semua roda hanya ditawarkan pada model pertengahan, sementara versi dengan spesifikasi tertinggi hanya menerima pacuan roda hadapan. Juga seperti CR-V, ia hanya datang dengan versi lima tempat duduk, tanpa pilihan tempat duduk pada baris ketiga.

Rekaan luaran SUV ini menampilkan rekaan sedikit berbeza dari Geely Boyue facelift. Pada bahagian hadapan, gril asal Boyue digantikan dengan gril Proton yang dihasilkan dari inspirasikan dari busur panah dengan kemasan krom, manakala rekaan bahagian tengahnya digelar infinite weave yang diambil dari elemen ukiran kayu pada rumah-rumah tradisi melayu.

Bahagian lain dilihat masih sama seperti Boyue facelift, dan kerja-kerja penghasilan X70 ini sebenarnya tertumpu kepada untuk merubah kedudukan pemandu dari sebelah kiri ke sebelah kanan memandangkan tiada lagi Boyue atau produk lain dari Geely dengan konfigurasi pemanduan sedemikian.

Menurut ketua pereka Proton, Azlan Othman, perubahan kosmetik kecil ini adalah untuk mempercepatkan pengenalan X70 dalam pasaran, manakala versi CKD yang akan hadir pertengahan tahun hadapan bakal menampilkan perubahan yang lebih besar.

Masuk ke kabin, hampir keseluruhan rupa adalah seiras dengan Boyue facelift. Namun Proton turut memberikan ‘sentuhan Malaysia’ pada bahagian dalaman X70. Jika gril pembesar suara dan kemasan bahagian belakang pembuka pintu Boyue diberikan rekaan ‘G’ yang membentuk motif seperti dinding tembok besar negeri China, komponen yang sama pada X70 menerima elemen infinite weave seperti pada gril hadapan.

Bagi varian asas Standard 2WD, ia datang dengan lampu utama halogen, rim 17-inci, tempat duduk balutan fabrik hitam serta skrin sesentuh 8.0 inci yang disambung dengan kamera undur. Sistem infotainmen GKUI yang dibekalkan menggunakan asas Android, dan datang sekali dengan kad SIM, memori dalaman 16 GB, sambungan WiFi, Bluetooth, navigasi, pengenalan suara serta bermacam lagi. Untuk mengetahui lebih berkenaan sistem infotaimen pintar ini, baca berkenaan sistem GKUI pada ARTIKEL PADA PAUTAN INI.

Untuk varian pertengahan Executive 2WD, ia ditambah dengan lampu utama serta lampu siang LED bersama rim 18 inci bagi bahagian luar. Manakala dalam kabin, versi ini tempat duduk balutan kulit sintetik hitam, larasan kuasa untuk tempat duduk pemandu serta pandangan kamera 360 darjah. Bagi varian Executive AWD pula, ia menerima sistem pacuan semua roda Borg-Warner serta sistem pemerhati tekanan angin tayar.

Varian paling tinggi Premium 2WD diberikan kelengkapan penuh yang mampu menandingi spesifikasi model-model SUV Jepun dalam kelas yang sama. Ia menerima kesemua ciri yang ada pada varian Executive, bersama penambahan lain seperti tempat duduk kulit Nappa berwarna perang, tempat duduk penumpang hadapan larasan berkuasa, bumbung panoramik dan sistem Advanced Driver Assistance System (ADAS).

Sistem ADAS tersebut menggunakan kamera dan radar ini menghasilkan pelbagai ciri keselamatan lain seperti Autonomous Emergency Braking (AEB), Adaptive Cruise Control (ACC, dari 30 hingga 150 km/j), Lane Departure Warning (LDW, amaran atau bantuan fizikal pada stereng), Blind Spot Information System (BLIS) dan Intelligent High Beam Control (IHBC yang dapat merendahkan kembali lampu tinggi secara automatik apabila ada kenderaan yang datang).

SUV keluaran Proton ini turut dilengkapi dengan ciri lebih maju yang tidak ada pada saingan sekelasnya. Antaranya adalah hubungan dengan aplikasi telefon pintar untuk semua varian yang memaparkan pelbagai maklumat seperti jarak yang boleh dicapai dengan bahan api yang ada, purata penggunaan bahan api, jarak untuk servis seterusnya, serta boleh mengawal pelbagai fungsi seperti lampu dan juga kunci. X70 juga dibekalkan dengan lampu yang dipancarkan pada permukaan tanah apabila pintu hadapan dibuka (untuk varian Executive keatas sahaja)

Ciri Electronic Stability Control (ESC) dan enam beg udara diberikan standard untuk semua varian. Sebelum dilancarkan, Proton X70 ini telah pun melalui ujian pelanggaran ASEAN NCAP, dan ia lulus cemerlang dengan mendapat keputusan lima-bintang penuh. Menurut Proton lagi, Geely Boyue facelift sendiri sebenarnya telah berjaya mendapat lima bintang serta markah yang tertinggi bagi kelasnya dalam ujian perlanggaran China NCAP – lebih tinggi daripada markah 56.6 yang diperoleh BMW X1.

Proton X70 akan ditawarkan dalam lima warna iaitu Flame Red, Snow White, Armour Silver, Jet Grey dan Cinnamon Brown, tetapi ia bukanlah untuk semua varian. Varian Premium 2WD yang paling tinggi disediakan dengan Flame Red sebagai warna eksklusifnya, dan empat warna lain juga masih boleh didapati manakala varian Executive 2WD disediakan dalam empat warna dan dua lagi varian yang lebih rendah cuma boleh didapati masing-masing dalam dua pilihan warna sahaja.

Harga yang disebutkan di atas juga adalah sekali dengan pakej data internet untuk kad sim bina dalam yang disertakan pada sistem infotainmen GKUI yang dinyatakan sebelum ini. Lebih perincian berkenaan SUV ini boleh anda ketahui di laman Carbase.my.

GALERI: Proton X70 Standard 2WD

GALERI: Proton X70 Executive 2WD

GALERI: Proton X70 Executive AWD

GALERI: Proton X70 Premium 2WD

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required