Proton X70: Teknologi multimedia dan aplikasi pintar – GPS, Voice Command, “cloud” dan muzik tanpa had

Proton X70: Teknologi multimedia dan aplikasi pintar – GPS, Voice Command, “cloud” dan muzik tanpa had

Satu perkara paling menarik dan penting yang akan ditawarkan pada Proton X70 ialah berkaitan teknologi perhubungan, atau connectivity multimedia serta aplikasi-aplikasi mudah alih lainnya. Untuk mudahkan anda faham, ia seperti operasi yang mirip telefon pintar anda. Bezanya, ia nanti akan dibangunkan khusus untuk kegunaan dalam kenderaan.

Pengantar keseluruhan sistem multimedia ini adalah melalui sebuah head unit dengan TFT 8-inci skrin sentuh (resolusi 1,280 x 720) yang hadir bersama sistem GKUI – yang ditawarkan sebagai ciri standard bagi semua varian. Buat masa sekarang, ia beroperasi menggunakan platform Android terlebih dahulu sebelum dilanjutkan kepada Apple CarPlay nanti.

Unit ini mempunyai kapasiti storan sebanyak 16GB serta boleh melakukan kemaskini over-the-air (OTA) bagi sistem multimedia berkenaan (dan bukan untuk kemaskini sistem kenderaan secara keseluruhannya). Antaramuka sistem ini hadir dengan penampilan yang asas, tetapi turut memberi peluang kepada pengguna untuk mengubah tema latar mengikut kesukaan dan selera masing-masing.

Ada lima ciri yang diketengahkan pada laman utama skrin unit ini; Voice Command, GPS, Music, Phone dan juga System Settings. Untuk menggunakan head unit berkenaan, ia sama sahaja dengan cara kita menggunakan skrin sentuh pada telefon – leretkan ke kanan atau ke kiri untuk melihat aplikasi yang ada.

Proton X70: Teknologi multimedia dan aplikasi pintar – GPS, Voice Command, “cloud” dan muzik tanpa had

Paling menarik ialah ciri Voice Command yang sempat dilakukan demonstrasi kepada media dalam sesi taklimat kedua hari ini. Buat masa ini, ia hanya boleh mengesan pertuturan yang menggunakan bahasa Inggeris. Menurut Proton, aplikasi sama dalam bahasa Thailand dan Indonesia sedang dibangunkan dan tidak menolak kemungkinan untuk menghadirkannya di dalam bahasa Malaysia kelak.

Apa yang boleh dilakukan melalui ciri ini. Mudahnya, anda boleh bercakap dengan kenderaan. Bayangkan fungsi suara robot Siri atau Google Assistant. Untuk mengaktifkan ciri ini, pengguna hanya perlu menyapa dengan ayat “Hi, Proton”.

Ia kemudian akan bertanya sekiranya anda perlukan apa-apa bantuan. Antara fungsi pada kenderaan yang boleh dikawal dengan suara adalah seperti memperlahankan pendingin hawa (“It’s too cold”), membuka sunroof (“I want to see the sun”), menaikkan volume audio, memilih lagu serta meminta sistem ini melalui ciri GPS mencadangkan tempat makan berdekatan (“I’m hungary”). Bahkan, untuk menurunkan cermin tingkap juga boleh dengan arahan suara ini.

Satu lagi ciri menarik yang perlu dinyatakan ialah aplikasi Proton Link; anda boleh mengetahui banyak perkara tentang kereta anda melalui telefon pintar. Tempoh servis, cermin tingkap sudah ditutup atau belum, pintu rapat atau tidak, kereta sudah dikunci atau tidak dan sebagainya hanya melalui aplikasi khusus ini – boleh juga mengawal fungsi-fungsi berkenaan dari jauh sebagai ciri remote control. Ia juga akan menunjukkan lokasi semasa di mana kereta anda berada.

Proton X70: Teknologi multimedia dan aplikasi pintar – GPS, Voice Command, “cloud” dan muzik tanpa had

Proton X70 juga boleh berfungsi sebagai hotspot internet untuk kepada penumpang. Pelanggan yang membeli SUV ini akan diperlukan untuk mendaftar kad e-SIM dari Celcom selaku rakan penyedia perkhidmatan, untuk anda mempunyai capaian internet dan mengubungkan semua aplikasi yang ada pada kenderaan. Inilah apa yang dimaksdukan model ini bertindak sama seperti telefon pintar sedia ada.

Kapasiti dan pakej data yang ditawarkan disifakan oleh Proton memadai untuk menjalankan aktiviti-aktiviti rutin pengguna. Namun, jika perlukan data tambahan, pakej berasingan turut ditawarkan. Perincian lebih lanjut tentang perkhidmatan ini akan dihuraikan dengan lebih terperinci nanti.

Kepada kaki muzik, anda akan mempunyai capaian tanpa had dari aplikasi yang disediakan oleh Tencent yang berpusat di Singapura. Ia menampilkan musik dari artis-artis di bawah naungan Sony Music, Warner Music dan Universal Music. Dan, lebih menarik, tiada iklan seperti Spotify. Selain itu, ia juga dilengkapi dengan platform radio digital Raku.

Bagaimana untuk menyimpan semua data yang ada ini? Jalan keluarnya mudah; sistem ini turut didatangkan dengan ciri storan “cloud” yang membolehkan anda menyimpan apa saja tanpa perlu runsing tentang keluasan atau kapasitinya.

Proton X70: Teknologi multimedia dan aplikasi pintar – GPS, Voice Command, “cloud” dan muzik tanpa had

Proton X70 juga dilengkapi dengan enam slot USB; dua untuk pemandu dan penumpang hadapan, satu di belakang cermin pandang belakang untuk memudahkan anda memasang dashcam, satu pada konsol tengan dan dua lagi untuk penumpang belakang. Bagi sistem bunyi pula, terdapat sembilan pembesar suara semuanya (empat di depan, empat di tengah dan satu subwoofer di belakang).

Petanya pula menggunakan Baidu Map, dengan kandungan yang dibangunkan di Malaysia, termasuk mampu memaklumkan status trafik. Jika anda ingin gunakan Waze, anda boleh lakukannya melalui sambungan kabel (mirroring) untuk dipaparkan pada skrin kenderaan. Tapi, ia hanya untuk Android sahaja buat masa ini.

Semua ini adalah sebahagian daripada usaha Proton untuk memperkenalkan sebuah eco-sistem perhubungan digital yang lebih menyeluruh di masa depan, sesuai dengan peredaran pasaran. Melihat kepada senarai yang dinyatakan ini sahaja sudah cukup menunjukkan komitmen mereka.

Semua ini biasanya ditawarkan pada model-model kenderaan yang lebih premium, tetapi kini ada pada kenderaan Proton. Jadi, hanya satu perkara sahaja lagi yang akan menjadi penentu sama ada orang ramai akan “menerima” model ini atau sebaliknya – harga, yang hanya akan diumumkan pada majlis pelancarannya November nanti.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required