Hari ini telah berlangsungnya satu lagi sesi pra tonton awal untuk SUV Proton X70 di Petaling Jaya, dan Proton telah mendedahkan lebih lagi perincian tentang kenderaan itu, bersama imej baru. Tempahan untuk SUV pertama Proton ini juga sudah dibuka bulan lepas, manakala pelancarannya akan berlaku bulan hadapan.

Setakat ini kita sudah tahu X70 akan ditawarkan dalam empat varian iaitu Standard 2WD, Executive 2WD, Executive AWD dan Premium 2WD. Semuanya dikuasakan oleh enjin empat silinder petrol turbo TGDi 1.8 liter yang mempunyai kuasa 181 hp dan tork 285 Nm dari 1,700 hingga 4,400 rpm, bersama padanan kotak gear automatik enam kelajuan dengan mod manual. Seperti yang boleh dilihat pada nama varian itu, sistem pacuan roda hadapan dan semua roda ada disediakan.

Versi 2WD mempunyai berat 1,700 kg, dan ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 10.5 saat dan mempunyai penggunaan bahan api bercampur 7.8 l/100 km (bersamaan 12.8 km/l). Untuk mengenali varian Standard 2WD, ia datang dengan lampu utama halogen, rim 17 inci, tempat duduk balutan fabrik serta skrin sesentuh 8.0 inci yang disambung dengan kamera undur.

Sistem infotainmen GKUI yang diberi adalah menggunakan asas Android, dan datang dengan slot kad SIM, memori dalaman 16 GB, sambungan WiFi, Bluetooth, navigasi, pengenalan suara serta bermacam lagi. Perinciannya akan kami buat dalam satu artikel lain.

Varian seterusnya adalah Executive 2WD, yang ditambah dengan lampu utama serta lampu siang LED dan rim 18 inci di luar. Di dalam pula terdapat tempat duduk balutan kulit, larasan kuasa untuk tempat duduk pemandu serta pandangan kamera 360 darjah. Varian Executive AWD – seperti yang diuji oleh Sultan Ibrahim – pula ditambah dengan sistem pacuan semua roda Borg-Warner serta sistem pemerhati tekanan angin tayar.

Varian paling tinggi iaitu Premium 2WD membawa X70 sama tahap dengan SUV Jepun pada aspek kelengkapan. Daripada ciri yang ada pada varian Executive, ia ditambah lagi dengan tempat duduk kulit Nappa, pelarasan kuasa untuk tempat duduk penumpang hadapan, bumbung panoramik dan sistem Advanced Driver Assistance System (ADAS).

Sistem ADAS yang menggunakan kamera dan radar ini menghasilkan pelbagai ciri keselamatan lain seperti Autonomous Emergency Braking (AEB), Adaptive Cruise Control (ACC, dari 30 hingga 150 km/j), Lane Departure Warning (LDW, tiada gangguan pada stereng), Blind Spot Information System (BLIS) dan Intelligent High Beam Control (IHBC yang dapat merendahkan kembali lampu tinggi secara automatik apabila ada kenderaan yang datang).

Ciri Electronic Stability Control (ESC) dan enam beg udara diberikan standard untuk semua varian. Menurut Proton, kenderaan yang digunakan sebagai asas untuk X70 iaitu Geely Boyue facelift berjaya mendapat lima bintang serta markah yang tertinggi bagi kelasnya dalam ujian perlanggaran China NCAP (lebih tinggi daripada markah 56.6 yang diperoleh BMW X1). Anda juga boleh menjangkakan X70 akan mendapat lima bintang dalam ujian ASEAN NCAP nanti.

Kita juga sudah mengetahui Proton X70 akan ditawarkan dalam lima warna iaitu Flame Red, Snow White, Armour Silver, Jet Grey dan Cinnamon Brown, tetapi ia bukanlah untuk semua varian. Varian Premium 2WD yang paling tinggi disediakan dengan Flame Red sebagai warna eksklusifnya, dan empat warna lain juga masih boleh didapati manakala varian Executive 2WD disediakan dalam empat warna dan dua lagi varian yang lebih rendah cuma boleh didapati masing-masing dalam dua pilihan warna sahaja.

Pada bahagian dalam, varian Standard menggunakan tempat duduk fabrik, manakala varian Executive menggunakan kulit sintetik. Kedua-duanya berwarna hitam, dan dipadankan sama dengan kulit pintu. Kulit Nappa yang diberikan pada varian Premium pula adalah berwarna coklat.


GALERI: Pilihan warna luar Proton X70