Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memang dikenali sebagai penggemar kenderaan dan memiliki koleksi yang pelbagai. Dengan latar ini, maka beliau menjadi antara yang terawal diberi peluang untuk mencuba SUV pertama Proton X70.

Daripada laman Facebook rasminya, disiarkan beberapa gambar yang menunjukkan Sultan Ibrahim sedang meninjau dan mencuba sendiri Proton X70 dari dekat. Baginda mendekati model terbabit pagi ini di Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru. Selain itu, taklimat ringaks turut disampaikan berkaitan model ini oleh CEO Proton Edar, Abdul Rashid Musa selama sejam.

Baginda kemudiannya memandu uji sendiri Proton X70 berkenaan, yang difahamkan dari spesifikasi Executive AWD dalam warna Cinnamin Brown, lengkap dengan kemasan dalaman kulit berwarna hitam. Executive AWD merupakan satu daripada empat varian yang akan ditawarkan, terdiri daripada Standard 2WD, Executive 2WD dan Premium 2WD. Semuanya dikuasakan oleh enjin 1.8 liter turbo dengan janaan 181 hp/285 Nm, dengan transmisi automatik enam-kelajuan.

Dipertontonkan September lalu, Proton X70 akan dilancarkan November nanti, selepas siri jelajah pra-tonton ke seluruh negaranya selesai pada 4 November nanti. Perincian lanjut akan ada di sini.