GALERI: Geely Boyue 1.8 TGDi facelift 2018 – asas SUV pertama Proton yang akan muncul tahun ini

GALERI: Geely Boyue 1.8 TGDi facelift 2018 – asas SUV pertama Proton yang akan muncul tahun ini

Minggu lalu Proton telah membuat satu lagi teaser berbentuk mock-up bagaimana rupa SUV pertamanya yang bakal muncul pada suku keempat tahun ini. Menerusi prebiu tersebut juga, kita sudah dapat bayangan bahawa Proton bakal mengambil model dengan enjin 1.8 liter TGDi, dan ia dari versi facelift terkini yang telah masuk ke pasaran China awal tahun ini.

Ketika mengunjungi Beijing Motor Show baru-baru ini juga, rakan kami dari paultan.org versi bahasa inggeris, Danny Tan turut sempat untuk melawat kilang Geely di Baoji, China dan ‘berkenalan’ lebih rapat dengan Boyue facelift 2018 1.8 liter TGDi berkenaan.

Bouye merupakan antara model penting dalam barisan produk Geely kerana model tersebut menjadi SUV kegemaran kebanyakkan pengguna di China. Tahun lalu sahaja, Boyue telah dijual sebanyak 286,900 unit di republik berkenaan, atau empat kali lebih banyak dari jualan keseluruhan model Proton di Malaysia untuk tahun 2017.

Model facelift ini diperkenalkan tidak sampai dua tahun selepas SUV segmen-C ini membuat kemunculan sulungnya. Ia menampilkan rekaan berbeza dari model pre-facelift bermula pada bahagian muka yang menampilkan rupa yang lebih agresif. Ia diberikan apron yang lebih garang dengan kedua-dua liang “kemasukan udara sisi” lebih besar serta lampu kabus LED telah diletakkan pada bahagian lebih rendah di bampar hadapan.

GALERI: Geely Boyue 1.8 TGDi facelift 2018 – asas SUV pertama Proton yang akan muncul tahun ini

Sekilas pandang, lampu hadapan dan juga gril model kemaskini ni kelihatan sama dengan model terdahulu. Tetapi sekiranya anda perhatikan dengan lebih teliti, terdapat kemasan berwarna hitam pada lampu utama serta bukaan kecil antara gril “expanding cosmos” tersebut dengan bampar pada model facelift ini.

Pada bahagian belakang pula, Boyue facelift ini diberikan lensa lampu yang lebih gelap pada unit yang menampilkan bar LED tersebut. Bampar juga telah disentuh semula dengan pemadanan skid plate yang lebih lebar serta rekaan baharu pada perumah tip ekzos (dengan ekzos sebenar disebaliknya) dan juga diberikan reflektor mendatar.

Model facelift ini diberikan rim baharu berdiameter 19-inci, namun jika kos jualan dan penyelenggaraan diambil kira, model versi Proton nanti mungkin hanya menerima rim berdiameter 18-inci. Secara keseluruhan, SUV yang direka oleh bekas pereka Volvo, Peter Horbury ini kelihatan sedikit seperti Range Rover Evoque.

Masuk ke kabin, bahagian yang menerima perubahan paling besar adalah pada sistem infotaimennya. Skrin sesentuh baharu ini masih lagi kekal dengan saiz lapan-inci, tetapi tidak lagi mempunyai butang fizikal, sebaliknya menggunakan butang digital sepenuhnya. Resolusinya turut dipertingkatkan kepada 1920×720 piksel bersama interface yang direka semula, manakala kamera 360-darjah turut memaparkan halangan berbentuk 3D disekeliling SUV tersebut.

GALERI: Geely Boyue 1.8 TGDi facelift 2018 – asas SUV pertama Proton yang akan muncul tahun ini

Ciri baharu lain termasuk empat port USB tambahan (dua hadapan dan dua belakang), serta tambahan satu lagi port USB yang terletak di pelapik bumbung berhampiran dengan cermin pandang belakang – direka khas untuk pemasangan dashcam bagi mengelakkan wayar yang berselirat. Satu lagi rekaan menarik pada kabin Boyue ini adalah suis larasan berasingan untuk tempat duduk penumpang hadapan pada sebelah dalam yang memudahkan pemandu dan penumpang hadapan melaras kedudukan tempat duduk berkenaan – ciri yang seakan sama pada Toyota Camry.

Model facelift ini turut menawarkan upholsteri dalaman dengan warna Tea Brown, paparan menyala P-R-N-D pada sebelah tombol gear dan juga sistem bunyi dari pakar audio iaitu Morel. Bouye juga diberikan perincian kecil yang agak menarik berbentuk G yang berulang dan kelihatan seperti dinding Tembok Besar China, diberikan pada tuil isyarat membelok/pengelap cermin, kemasan pada pembuka pintu dan juga pada jaring pembesar suara.

Bahagian kabin SUV ini juga menampilkan kualiti yang agak baik dengan plastik lembut diberikan pada panel pintu dan juga bahagian atas papan pemuka, serta menerima jahitan sebenar. Tempat duduk dan juga balutan kulitnya lembut, digabungkan dengan kemasan-kemasan brushed metal pada pelbagai bahagian memberikan ‘perisa’ lebih kepada kereta buatan Eropah.

Pemandu pula akan menerima paparan informasi digital sepenuhnya dengan rekaan grafik seakan pada Volvo S60 dan V40 generasi sedia ada. Kluster paparan tersebut akan menayangkan animasi ‘selamat datang’ pada permulaan dan kemudian akan menampilkan pelbagai grafik berbeza bergantung pada mod pemanduan yang dipilih – anda boleh menonton video yang kami paparkan di bawah.

Untuk keselamatan, sistem Pemantau Titik Buta pada Boyue kini akan memberikan amaran kepada penumpang ketika pintu mahu dibuka sekiranya terdapat aliran trafik pada bahagian berkenaan. Ciri bantuan pemanduan lain masih lagi kekal dengan brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, amaran keluar laluan dan juga lampu tinggi automatik. Kesemua ciri ini telah Proton sahkan akan dipadankan untuk versinya, dan ia bakal menjadi model pertama diberikan ciri sedemikian untuk model dalam julat harga yang sama.

Ciri lain yang turut telah disahkan oleh Proton untuk SUV pertamanya nanti termasuk Smartphone Remote Control, Smart Air Purifier (mungkin “pembersih udara” yang boleh ditemui pada liang penghawa dingin untuk penumpang belakang pada Boyue ini), sistem pemantau tekanan angin tayar dan juga sistem infotainmen dengan skrin lapan-inci dan hubungan internet 4G sama seperti Boyue facelift ini.

Tiada perubahan mekanikal diberikan untuk model kemaskini berkenaan dimana pasaran China masih diberikan dua pilihan enjin sama ada unit 2.0 liter NA berkuasa 139 hp/178 Nm atau enjin 1.8 liter petrol turbo. Model turbo tersebut diberikan talaan kuasa berbeza bergantung kepada pilihan transmisi – 161 hp/250 Nm untuk model manual enam-kelajuan manakala 181 hp/285 Nm untuk versi automatik konvensional enam-kelajuan. Pasaran China turut menawarkan pilihan sama ada pacuan hadapan atau AWD.

Untuk versi Proton nanti, ia telah disahkan akan dijana enjin 1.8 liter turbo TGDi, serta kami jangka kedua-dua versi pacuan hadapan dan AWD akan ditawarkan. Menurut label penggunaan bahan api yang dilihat pada model pasaran China ini, model pacuan hadapan dengan enjin TGDi berkenaan (seberat 1,690 kg) adalah 7.8 liter untuk 100 km (12.8 km/l). Enjin tersebut juga kelihatan sangat kemas menampilkan penutup pada segenap ruang enjin.

Bercakap berkenaan kilang Geely ini, ia telah memulakan produksi secara besar-besarannya pada Ogos 2016 dengan kapasiti pengeluaran 200,000 unit setahun. Ia beroperasi dengan 2,400 pekerja di barisan produksi, manakala 500 orang lagi bertugas untuk mengeluarkan sejumlah 800 unit kereta setiap hari. Kilang di Baoji ini juga sebenarnya hanya berperanan untuk memasang Boyue sahaja, di mana sebuah lagi kilangnya turut memproduksi SUV tersebut bagi memenuhi permintaan pasaran.

Kilang ini juga beroeprasi dengan tahap automasi yang tinggi (80% dalam bengkel kimpalan) dan dilengkapi dengan pelbagai peralatan paling maju dalam industri antaranya penekan stamping dari Amino Corp Jepun, robot linear tujuh-paksi dari ABB Switzerlnd, robot kimpalan Comau dari Itali, teknologi kimpalan Peralihan Keluli Sejuk dari Fronius Austria dan juga perlatan untuk ukuran dari Durr Jerman.

Geely juga mendakwa proses produksi untuk kilangnya ini adalah kombinasi teknik terbaik dari Jepun, Eropah dan Volvo sendiri. Boyue juga menerima markah tertinggi dalam ujian keselamatan pelanggaran di China kerana dibina dengan keluli pembentukan-termo berketegaran tinggi (1,650 Mpa berbanding keluli HPF Proton dengan 1,470 Mpa) – tentunya terhasil dengan DNA teknologi Volvo yang terkenal mengutamakan keselamatan.

GALERI: Prebiu SUV Pertama Proton di Malaysia

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required