PANDU UJI: Volvo V40 T5 Drive-E Polestar – hot hatch dengan talaan dan ubahsuai serius terus dari kilang

PANDU UJI: Volvo V40 T5 Drive-E Polestar – <em>hot hatch</em> dengan talaan dan ubahsuai serius terus dari kilang

Bila berbicara tentang prestasi dan imej ‘Boy Racer‘, jenama Volvo mungkin agak dipinggirkan kerana pengeluar automotif dari Sweden tersebut lebih sinonim dengan teknologi berkisar keselamatan. Tetapi bagi pengikut jenama berkenaan, mereka pasti tahu bahawa Volvo mempunyai warisan sejarah sukan permotoran yang agak unik dan boleh dibanggakan.

Sejarah sayap perlumbaan rasmi Volvo bermula pada era 80’an apabila Volvo Motorsport Division (sebelum itu dikenali sebagai Volvo R-Sport) ditubuhkan, bertanggungjawab membina kereta lumba serta alat ganti yang boleh digunakan pada jentera lumba sebenar dan juga versi jalan raya biasa. Projek berkenaan telah melahirkan jentera lumba Volvo 240 Turbo Group A serta sebilangan model homologasi produksi jalan raya biasa yang telah disyaratkan pembinaannya dalam undang-undang perlumbaan kelas Group A oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

240 Turbo berkenaan berjaya memberikan impak pada dunia perlumbaan apabila dinobatkan sebagai juara Kejohanan Touring Car Eropah (ETCC) 1985 dan juga kejohanan DTM Jerman pada tahun yang sama. 240 Turbo juga beraksi cemerlang pada Kejohanan Touring Car Australia (kini dikenali sebagai Kejohanan V8 Supercar Australia) di bawah seliaan pasukan Volvo Dealer Team dengan menjuarai perlumbaan tersebut untuk musim 1986.

Selain bermulanya era imej prestasi untuk Volvo pada waktu tersebut, jenama Scandinavia itu juga cuba menyampaikan mesej bahawa teknologi turbo merupakan masa hadapan untuk kereta-kereta penumpang menerusi model 240 Turbo yang dihasilkan dengan produksi besar-besaran. Imej unik ini juga diteruskan pada tahun 90’an di mana Volvo menerusi Tom Wilkinshaw Racing telah membawa model 850 Estate ke kancah perlumbaan Kejohanan Touring Car British (BTCC), menjadi model wagon pertama yang bertanding dalam sejarah perlumbaan berkenaan.

PANDU UJI: Volvo V40 T5 Drive-E Polestar – <em>hot hatch</em> dengan talaan dan ubahsuai serius terus dari kilang

Walaupun tidak menjadi juara, 850 Estate jelas memberikan saingan yang cukup sengit kepada jentera lain dan ia disifatkan bukan bahan gurauan seperti yang dijangkakan pada awal pengumuman penyertaannya. Model versi jalan raya wagon tersebut – 850 Estate T5 dan T5R – juga telah mengangkat nama Volvo ketika itu, yang telah menghasilkan wagon dengan praktikaliti kenderaan keluarga tetapi dijana enjin 2.3 liter lima silinder turbo berkuasa tinggi.

Fast forward terus ke masa sekarang, kereta-kereta lumba Volvo moden kini di bina oleh Polestar Racing. Polestar pada asalnya merupakan badan asing dari Volvo tetapi dilantik sebagai pasukan untuk menyediakan jentera-jentera perlumbaan rasmi jenama tersebut termasuk terlibat dalam pembinaan S60 Wilson Security Racing GRM yang bertanding dalam perlumbaan Australian V8 Supercars. Akhirnya, Polestar dibeli oleh Volvo pada tahun 2015 dan kemudian jenama tersebut kini diangkat sebagai divisi perlumbaan, talaan serta jenama berprestasi tinggi rasmi Volvo.

Jadi, sebagai pengguna, apa yang anda dapat menerusi sayap perlumbaan milik Volvo ini? Salah satunya adalah unit yang saya uji pandu kali ini iaitu Volvo V40 T5 Drive-E dengan pakej penuh Polestar Performance Optimisation. Model V40 T5 Drive-E asas sudah pun diuji sebelum ini dan ia sebenarnya sudah cukup baik untuk dijadikan pilihan alternatif jika anda berminat untuk mendapatkan sebuah hot-hatch yang berada setara dengan Volkswagen Golf GTi atau Mercedes-Benz A250.

V40 T5 Drive-E versi standard dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM180,888 manakala untuk pakej lengkap program Polestar Performance Optimisation ini dijual dengan harga RM59,999. Pakej lengkap ini boleh dibahagikan kepada lima bahagian iaitu casis, sistem kemasukan (intake) dan ekzos, roda, dalaman dan luaran, serta pengoptimuman talaan enjin. Pakej ini tidak semestinya dibeli secara lengkap kerana Volvo Car Malaysia (VCM) turut menawarkannya secara berasingan.

PANDU UJI: Volvo V40 T5 Drive-E Polestar – <em>hot hatch</em> dengan talaan dan ubahsuai serius terus dari kilang

Tidak perlu diperkatakan lagi berkenaan ciri-ciri lain yang ditawarkan termasuk sistem keselamatan kerana ia adalah 100% sama dengan model asas V40 T5 Drive-E yang telah diulas sebelum ini.

Untuk pakej dalaman dan luaran yang berharga RM8,735, ia hadir dengan penutup cermin sisi berwarna hitam dan juga sepasang sirip yang ditambah pada spoiler belakang, membuatkan ia kelihatan seperti sepasang tanduk. Walaupun dengan pakej ini, rupa keseluruhan V40 ini sebenarnya masih minimalis dan mengekalkan imej sleeper asalnya. Jika anda melihatnya dari hadapan, langsung tiada apa-apa tanda ia merupakan versi lebih istimewa.

Pakej ini juga hadir dengan kemasan pada bendul pintu dengan logo Polestar dan juga pedal-pedal sport serta tombol gear eksklusif yang turut diberikan lencana Polestar untuk bahagian dalaman. Seperti juga bahagian luaran, kabin V40 Polestar ini masih lagi tidak mencerminkan imej yang racy, tanpa apa-apa kemasan berunsur gentian karbon mahupun balutan alcantara. Namun, anda boleh memilih sendiri tema Performance pada paparan instrumen digital kereta ini bagi mendapatkan feel yang lebih sporty menerusi latar belakang paparan yang berwarna merah.

Provokasi keseluruhan rupa luaran kereta ini sebenarnya datang dari pakej roda yang dipadankan (berharga RM21,079). Menerusi pakej tersebut, V40 ini diberikan rim 19-inci lima jejari berkembar asli dari Polestar, dibaluti tayar berprestasi tinggi Pirelli P Zero bersaiz 235/35R19. Apa yang menarik, walaupun rim berkenaan mempunyai dimensi lebar hanya 8jj, tayar dengan lebar 235 berkenaan kelihatan sedikit ‘terkangkang’ seperti perlu di ‘stretch‘ ketika dipadankan.

Dua pakej berbeza diberikan khas untuk tujuan prestasi dan tambahan kuasa enjin iaitu pakej sistem kemasukan dan ekzos (RM13,778) serta pakej pengoptimuman talaan enjin (RM5,665). Untuk pakej sistem kemasukan dan ekzos, ia hadir dengan penapis udara ‘drop-in’ Polestar beserta penutup kotak udara baharu, sistem ekzos keluli tahan karat dengan logo Polestar pada tip muffler serta diffuser udara pada bampar belakang.

Manakala untuk pengoptimuman pula, Polestar memberikan talaan baharu terhadap enjin 2.0 liter empat silinder turbo Drive-E asal V40 T5 ini, mengekstrak lebih tenaga menjadikan jumlah kuasa keseluruhan kini menjadi 253 hp (dari 245 hp) dan tork maksima 400 Nm (dari 350 Nm). Atas kertas, ia membolehkan hot hatch ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.2 saat, 0.1 saat lebih pantas dari versi standard.

Bersama kuasa yang diperhebat ini, Polestar turut hadir dengan pakej casis (RM14,538) bagi memastikan pengendalian V40 seiring dengan kuasa tambahan yang diberikan. Pakej prestasi tinggi ini terdiri dari penyerap hentak lengkap dengan spring asli dari Polestar, yang bukan sahaja lebih keras, malah turut merapatkan lagi badan kereta ini ke permukaan jalan dan memberikan stance yang lebih menarik.

Dengan pelaburan hampir RM60k ini, adakah ia memberikan perubahan besar berbanding V40 T5 Drive-E standard? Untuk permulaan, kita lihat dahulu pada prestasi enjin. Sebaik sahaja enjin dihidupkan buat pertama kali setelah menerima kereta ini, perkara yang mula-mula membuatkan saya tidak sabar untuk memandunya adalah bunyi yang dihasilkan oleh muffler Polestar yang lebih besar berbanding versi standard.

Bunyi ketika idling yang bergema cukup untuk membuatkan orang yang lalu lalang disekelilingnya menoleh kearah kereta ini. Tetapi apabila ia sudah bergerak, bunyi yang dihasilkan tidaklah begitu kuat malah anda mungkin akan terlupa berkenaan muffler tersebut ketika memandu secara cruising di lebuh raya. Bunyi berkenaan hanya akan kembali mengaum ketika enjin diberikan load contohnya ketika mendaki bukit atau pedal pendikit ditekan secara agresif – namun saya masih rindukan bunyi ‘menggelegak’ yang dihasilkan enjin T5 lima silinder Volvo generasi-generasi terdahulu.

Tentu ada yang mempertikaikan dengan mengatakan “bayar mahal-mahal, 0-100km/h lebih laju 0.1 saat je?” Perlu diingatkan, prestasi asal enjin E-Drive berkenaan sebenarnya sudah cukup pantas dengan rekod pecutan dari pegun hingga 100 km/j 0.2 saat lebih laju dari VW Golf GTi dalam keadaan standard. Untuk membuatkan sebuah enjin itu lebih laju tanpa penukaran apa-apa hardware, serta tanpa menaikkan tekanan boost turbo bukan sesuatu yang mudah.

Tambahan pula talaan baharu yang diberikan oleh Polestar ini tidak akan memendekkan jangka hayat enjin, malah menurut Volvo penggunaan bahan apinya masih lagi kekal sama pada tahap 16.4 km/l, sama seperti enjin standard. Talaan ini juga sebenarnya bukan sekadar menghasilkan catatan yang lebih baik diatas kertas semata-mata. Elemen keseronokkan memandu juga ditambah pada talaan baharu ini di mana respon pendikit jelas lebih agresif terutamanya ketika memilih mod Sport.

Respon ketika pemandu mengangkat kaki dari pedal pendikit juga diberi perhatian di mana engine braking kini lebih baik. Selain itu, talaan ini juga turut memberikan tukaran gear yang jelas lebih pantas, serta gear hold yang lebih lama sekiranya kekal dengan menggunakan mod automatik.

PANDU UJI: Volvo V40 T5 Drive-E Polestar – <em>hot hatch</em> dengan talaan dan ubahsuai serius terus dari kilang

Secara jujur, dengan talaan baharu yang diberikan ini memang agak sukar untuk menahan diri dari tidak menekan pedal pendikit V40 ini secara agresif serta menggunakan mod Sport, seakan ketagih. Oh ya, pengoptimuman talaan enjin serta muffler yang lebih besar tersebut turut memberikan bunyi letupan seperti yang dihasilkan oleh Golf GTI setiap kali gear ditukar pada takat putaran enjin melebihi 5,000 rpm.

Enjin yang lebih berkuasa ini walau bagaimanapun turut memberikan torque steer pada stereng yang lebih kuat dari biasa, cukup untuk membuatkan anda terkejut apabila stereng berkenaan sedikit liar ketika pertama kali cuba memberikan pecutan agresif pada hatchback ini. Namun, setelah biasa, torque steer berkenaan sebenarnya mudah untuk dijangka serta dikawal, dan saya tidak mempunyai masalah untuk bermain dengan pedal pendikit ketika meredah selekoh secara agresif.

Polestar memberikan sistem suspensi yang benar-benar serius pada pakej casis yang ditawarkan. Penyerap hentak dan spring yang diberikan cukup keras, tahap keras yang sama seperti Civic Type-R FD2 dan boleh membuatkan anda terhenjut-henjut di dalam kereta ketika memandu pada permukaan tidak rata.

Tetapi, jika dipandu pada jalan berliku, V40 Polestar memberikan satu lagi ketagihan baharu iaitu ‘menyerang’ selekoh dengan kelajuan tinggi. Suspensi yang keras ini jelas memberikan olengan yang sangat minimum dan dapat mengekalkan kestabilannya walaupun di pandu laju ketika meredah selekoh, ditambah pula dengan tayar Pirelli P Zero, ia terasa begitu melekat di atas permukaan jalan raya.

PANDU UJI: Volvo V40 T5 Drive-E Polestar – <em>hot hatch</em> dengan talaan dan ubahsuai serius terus dari kilang

Namun, tidak semua tempat kelebihan ini dapat digunakan. Anda akan berseronok pada jalan dengan permukaan yang baik seperti pada jalan Ulu Yam Baharu dan juga di Kuala Kubu Bharu. Tetapi untuk laluan ‘touge’ dengan permukaan jalan yang teruk dan beralun contohnya seperti Hulu Langat ke Kuala Klawang, memandu hatchback ini memerlukan perhatian yang lebih kerana sifatnya yang ‘memantul-mantul’.

Keselesaan? Saya rasa tak perlu diulas lebih kerana ia cukup untuk membuatkan muka penumpang berkerut dan mempersoalkan “kenapa kereta mewah seperti Volvo ni pun ‘kejung’ semacam?” Pendek kata, talaan yang diberikan pada pakej casis Polestar ini adalah untuk mereka yang hardcore – lebih mementingkan prestasi berbanding keselesaan.

Walau bagaimanapun, seperti yang dinyatakan tadi, anda tidak ‘dipaksa’ untuk membeli pakej lengkap termasuk dengan penyerap hentak dan spring berkenaan. Jika anda suka sebuah V40 dengan kuasa lebih tinggi tetapi kekal pada keselesaan standard, anda berhak untuk tidak memilih pakej casis ini.

Secara peribadi pula, saya sukakan pakej lengkap, yang membuatkan kereta ini mempunyai karekternya tersendiri – nampak biasa, tapi penuh dengan elemen ‘because race car‘ yang tidak praktikal untuk kegunaan harian, meletakkannya ia sebagai kereta pilihan untuk mereka yang benar-benar gemar memandu serta meletakkan prestasi sebagai kriteria paling atas.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required